Tuesday 22 January 2019

[Video Pejabat TPM Nafi Lulus Teks Ucapan Pelancaran Projek EM-IIG] Isu ucapan TPM: Rashid pertimbang tindakan undang-undang.

Selasa, 22 Januari 2019

Isu ucapan TPM: Rashid pertimbang tindakan undang-undang

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon memberi amaran kepada pihak penganjur suatu majlis terdahulu hari ini selepas beliau diminta menyampaikan tesk ucapan yang membawa salah faham terhadap Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam suatu kenyataan hari ini, Rashid berkata beliau diundang ke majlis pelancaran anjuran Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd dalam kapasitinya sebagai bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan bukan sebagai wakil Dr Wan Azizah.
"Saya telah hadir awal ke majlis ini bagi mendengar ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail).
"Saya tidak dijadualkan untuk memberi sebarang ucapan apatah lagi untuk merasmikan majlis tersebut kerana saya dijadualkan ke parlimen Malaysia sebaik sahaja tamat sesi ucapan timbalan perdana menteri bagi menerima kunjungan hormat rombongan Speaker Dewan Rakyat Azad Jammu (negeri di utara India) dan Kashmir.
"Setelah majlis bermula, saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa timbalan perdana menteri tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan saya diminta untuk menyampaikan ucapan majlis tersebut.
"Saya telah diberikan teks ucapan oleh penganjur sebagai panduan dalam ucapan saya. Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya mewakili timbalan perdana menteri ke majlis ini.
"Sebarang kenyataan yang menyatakan bahawa saya mewakili timbalan perdana menteri adalah bertujuan untuk mengelirukan," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Ucapan itu kemudian tersebar kepada pihak akhbar, didakwa dibuat oleh timbalan perdana menteri.
Seterusnya, Pejabat Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa nama Wan Azizah telah disalahgunakan.
Rashid menggesa pihak penganjur membuat penjelasan atau berhadapan tindakan undang-undang.
"Saya menggesa penganjur untuk segera bertindak membetulkan keadaan dan sekali gus membersihkan nama saya dari sebarang kekeliruan.
"Jika pihak penganjur tidak mengeluarkan sebarang penjelasan dan penafian, pihak saya tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.
Pasang serat optik platform 5G
Majlis itu bertujuan melancarkan projek jalur lebar berkelajuan tinggi Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Yang Dipertingkat (EM-IIG)
Projek EM-IIG, yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd, bertujuan untuk menyediakan "kelajuan akses internet terpantas dengan platform 5G" melalui pemasangan serat optik terbesar di dunia yang melibatkan talian sepanjang 110,000km.
Ucapan itu berkata kerajaan akan memberi kerjasama penuh dalam pelaksanaan projek EM-IIG.
Bagaimanapun, Pejabat Timbalan Perdana Menteri berkata hal ini tidak benar, menjelaskan Dr Wan Azizah juga tidak pernah mewakilkan kepada sesiapa untuk membaca teks ucapan beliau pada majlis tersebut.
"Laporan berita yang memetik ucapan daripada timbalan perdana menteri berkaitan projek EM-IIG yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah tidak benar.
"Menggunakan nama timbalan perdana menteri tanpa kebenaran beliau adalah perkara yang serius," kata kenyataan itu.
Pejabat TPM turut memberi amaran kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran.
Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena