Tuesday, 29 January 2019

[Video Tun M sahkan kontrak ECRL batal] Kalau pun Najib dipenjarakan secepat mungkin, apakah ia bermakna perut dan kebajikan rakyat sudah terjaga?

Selasa, 29 Januari 2019

Kita bukan mahu batal ECRL tapi tak mampu bayar

GAMBAR fail: Projek ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer dianggar membabitkan kos RM81 bilion. - Foto Farizul Hafiz Awang
BH Online.

MEMENJARAKAN NAJIB SEMATA-MATA TIDAK MENJAMIN RAKYAT GEMBIRA

Dalam tulisannya yang seperti biasa adalah atas kapasiti peribadi sebagai blogger dan bukan sebagai Pegawai Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata, rakyat akan lebih gembira terhadap kerajaan selepas berakhirnya PRU14 jika Najib Razak dipenjarakan secepat mungkin.

Menurut beliau, ramai yang menjangkakan bekas Perdana Menteri itu dapat dimasukkan ke penjara dengan lebih awal lagi.

Sebaliknya, tambah beliau, mereka kecewa kerana Najib seolah-olah bebas berkelakuan seperti masih lagi sebagai Perdana Menteri.

Betulkah begitu?

Sebenarnya prestasi kerajaan yang begitu merosot sekarang, boleh dikata terlalu nipis kaitannya dengan sama ada Najib dipenjarakan atau sebaliknya.

Ini kerana rakyat sudah pun bersatu menyingkirkannya melalui peti-peti undi pada 9 Mei lalu.

Walaupun janji menangkap dan menyumbat Najib ke dalam penjara itu didendangkan dengan hebat ketika kempen pilihanraya diadakan, ia hanyalah penting untuk memastikan undi mereka benar-benar terlonggok kepada PH dan usaha menumbangkan BN menjadi kenyataan.

Setelah tugas itu selesai, kebencian kepada Najib dengan sendirinya sudah pun berakhir. Tidak pernah kita melihat Najib dicemuh, dilontar dengan kertas atau kata-kata kesat di tempat awam selepas beliau tidak lagi bergelar Perdana Menteri.

Apa-apa tugas seterusnya berkaitan Najib adalah terserah kepada agensi-agensi penguatkuasa, termasuk Jabatan Peguam Negara.

Dengan terbentuknya kerajaan baru PH, berbanding memenjarakan Najib, harapan rakyat sebetulnya jauh lebih tinggi agar janji-janji manifesto segera dipenuhi terutamanya berkaitan PTPTN, hutang peneroka, pemansuhan tol, memastikan harga barang turun setelah tiada GST, menstabilkan kos sara hidup dan lain-lain seumpamanya berbanding pemenjaraannya.

Pendeknya, melalui pembentukan kerajaan baru ini, yang jauh lebih diharap-harapkan oleh rakyat ialah kepedulian kerajaan terhadap kebajikan dan perut mereka.

Inilah yang menyebabkan asas mengapa merosotnya sokongan rakyat kepada PH sehingga Anwar Ibrahim dan Dr. Rais Yatim pun bersuara mengenainya di mana kemudiannya Tun Mahathir sendiri juga mahu soal kos sara hidup rakyat ini diberi perhatian yang utama.

Dalam konteks janji manifesto, melaksanakan tiga perkara tersebut - tol, hutang peneroka Felda dan PTPTN - selain merupakan ikrar yang tidak boleh dimunafikkan oleh kerajaan, melaksanakannya juga bererti adanya kepedulian pemimpin kepada soal perut, kebajikan dan kos sara hidup rakyat.

Kalau pun Najib dipenjarakan secepat mungkin, apakah ia bermakna perut dan kebajikan rakyat sudah terjaga?

Dalam hal ini, Najib mungkin ada kesalahan tertentu yang memungkinkan beliau perlu dibawa ke mahkamah, dibicara dan kemudian dihukum penjara, namun semua tindakan itu hanya memberi impak yang terlalu sedikit kepada tahap kepuasan rakyat terhadap kerajaan PH.

Sekali lagi, keutamaan rakyat sebenar ialah kebajikan dan perut mereka, apa lagi sesuatu yang sudah dijanjikan dan rakyat pula sudah mendahuluinya dengan memberikan undi, bukannya sama ada Najib dipenjarakan atau masih mampu berlagak seolah-olah masih lagi Perdana Menteri.

Lihat saja bagaimana Anwar yang pernah dipenjarakan oleh Tun Mahathir sendiri pada 1998 dahulu, apakah sehingga tumbangnya BN pada 2018, rakyat menjadi puas hati kepada kerajaan?

Jika rakyat berpuas hati dengan pemenjaraan Anwar, mengapakah akhirnya Tun Mahathir sendiri yang terpaksa pergi ke mahkamah untuk bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagi tujuan berbaik-baik serta berdamai sebelum mampu menumbangkan BN?

Bukankah Anwar yang dipenjarakan sepatutnya sudah menyebabkan gabungan pembangkang jadi berkecai kerana rakyat autumatik akan berpuas hati kepada kerajaan? (ShahbudinHusin 29/01/2019)

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena