Wednesday 23 January 2019

[Video Wan Azizah turun berkempen guna kereta sendiri] Sediakah Pas BERTOLERANSI KERUSI dengan Umno dalam PRU akan datang?

Rabu, 23 Januari 2019
Foto Kami Viral.
TS

SEDIAKAH PAS BERTOLERANSI KERUSI DENGAN UMNO DALAM PILIHANRAYA UMUM AKAN DATANG?

Dalam pilihanraya kecil Cameron Highlands dan Semenyih, Pas nampaknya amat berjiwa besar dengan awal-awal mengumumkan sedia memberi laluan dan sokongan kepada UMNO di kedua-dua kerusi tersebut.

Pengundian bagi PRK Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Januari ini, manakala Semenyih ialah 2 Mac depan.

Sebelum ini, di PRK Sungai Kandis juga Pas turut tidak meletakkan calonnya.

Kesediaan Pas memberi laluan kepada UMNO di kerusi yang mereka pernah bertanding ini amat berbeza berbanding sikap keras hati yang ditunjukkan terhadap Pakatan Harapan ketika gabungan itu mengajak mereka bekerjasama menentang BN dalam pilihanraya umum yang lalu.

Selepas melalui fasa kerjasama secara sulit dengan musuh sejak lebih 60 tahun lalu dan sama-sama kalah dalam PRU14 yang lalu, Pas dan UMNO kini boleh dikata selangkah sehayun dan selenggang seirama dalam gerakan politik mereka.

Jika sebelum PRU14, Pas membantu UMNO dengan cara menjadi kuasa ketiga dengan andaian bahawa tindakan pecah undi yang dilakukannya ketika itu dikira mampu membantu Najib Razak mengekalkan kuasa, namun oleh kerana percaturan tersebut tidak membuahkan hasil yang diharap-harapkan, parti Islam itu sekarang memilih secara terbuka menyokong UMNO dan BN.

Pas bukan saja tidak meletakkan calon di beberapa pilihanraya kecil untuk memberi kelebihan kepada UMNO, malah pemimpin tertingginya turut berkempen dan membuat seruan terbuka agar memberi kemenangan kepada BN.

Kata Nik Abduh Nik Aziz, ahli Pas perlu melupakan dendam serta bersikap pemaaf terhadap UMNO yang pernah dimusuhi bertahun-tahun lamanya sebelum ini.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan kerana kerajaan yang memerintah sekarang jauh lebih teruk berbanding BN dahulu.

Tidak dinafikan bahawa kerjasama Pas dengan UMNO di Cameron Highlands dan Semenyih ini, kiranya mampu menghasilkan kemenangan kepada BN, ia pasti akan mengorak langkah baru dalam hubungan kedua-dua parti itu.

Kedua-dua parti tentu saja tiada pilihan lain selain mengukuhkan lagi kerjasama mereka kerana jelas menunjukkan hanya melalui penggabungan tenaga atau pertandingan satu lawan satu saja lebih memungkinkan Pakatan Harapan dapat ditewaskan.

Tetapi, sebagaimana yang kita semua sedia maklumi, Pas dan UMNO adalah dua parti yang sama-sama berteraskan Melayu serta Islam dan sebelum ini pun mereka memang berlawan antara satu sama lain di kawasan pengundi yang sama.

Untuk itu, di mana ada cawangan UMNO, disitulah juga ada ranting Pas. Kekuatan UMNO dan Pas di kebanyakan kawasan kampung, luar bandar dan persekitaran pengundi Melayu selalunya tidaklah jauh berbeza.

Dan persaingan serta perebutan itu telah berlaku sejak lebih 60 tahun lamanya iaitu bermula sejak kumpulan agama memisahkan diri daripada UMNO dan menubuhkan Pas pada tahun 1951.

Sejak itu, hanya sekali iaitu pada tahun 1972, Pas pernah kembali berdakap mesra dengan UMNO dan menyertai BN, sebelum ditendang keluar pada 1978.

Perkembangan akhir-akhir ini menampakkan Pas dan UMNO kembali bertaut mesra. Dalam waktu yang sama, terutama jika kerjasama mereka di Cameron Highlands dan Semenyih nanti membuahkan kemenangan kepada BN, pertembungan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan tidak boleh lagi diabaikan oleh kedua-dua parti.

Makanya, bagaimanakah nanti kerjasama Pas dengan UMNO dalam PRU15 akan datang?

Adakah Pas dan UMNO sedia saling bertolerasi, memberi laluan dan berbahagi kerusi sesama mereka?

Atau mungkinkah Pas akan kembali dengan sikap keras kepala sebagaimana yang pernah ditunjukkannya kepada Pakatan Harapan sebelum ini?

Bagaimana pula dengan pemimpin UMNO dan Pas di bahagian dan kawasan masing-masing, berapa ramaikah yang sedia saling memberi laluan dan bertoleransi atau keghairahan masing-masing untuk bertanding dan menjadi calon akan mengatasi semua kepentingan yang lain? (ShahbudinHusin 23/01/2019)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena