Tuesday 9 February 2016

[Video] PAS Boikot Himpunan 365 #BebasAnwar..."Saya rasa terkilan, kami jemput tapi pimpinan PAS tidak ada yang hadir.

Rabu, 10 Februari 2016

PAS Boikot Majlis Bebaskan Anwar Malam Tadi

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bersama naib presiden yang juga anaknya, Nurul Izzah Anwar (kiri) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu mengaminkan doa pada program Himpunan 365 sempena setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan di Sungai Buloh, malam tadi. –
Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat sempena genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara di Sungai Buloh malam tadi menyaksikan tiada seorang pun pemimpin PAS hadir memberikan sokongan.

Sebaliknya, sekurang-kurangnya 15 pemimpin politik pembangkang daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyampaikan ucapan secara bertali arus di atas pentas sementara di depan pintu masuk penjara itu.

Jurucakap penganjur daripada kumpulan yang menggelar diri mereka "Pro98 Reformis Malaysia", Dr Badrulamin Bahron berkata, mereka menjemput PAS bermesyuarat untuk penganjuran acara malam ini sejak 2 bulan lalu tetapi tidak diendahkan.

"Saya rasa terkilan kerana sepanjang perjalanan program daripada mesyuarat ke mesyuarat walaupun kami jemput tapi pimpinan PAS di semua peringkat tidak ada yang hadir dan kemuncaknya tidak ada seorang pun pada malam ini.

"Sedangkan, program malam ini acara rakyat untuk membebaskan ikon perjuangan rakyat bagi meneruskan agenda reformasi," kata pengerusi tetap PKR Sabak Bernam itu ketika ditemui selepas acara tamat pada 12 malam.

Bagaimanapun, ketidakhadiran pimpinan PAS tidak merencatkan mood sambutan acara.

Bahu jalan di depan Penjara Sungai Buloh dipenuhi kereta sejak jam 8 malam lagi.

.Gerai menjual makanan ringan turut didirikan, tidak ubah seperti ceramah kempen pilihan raya.

Mencuri perhatian ramai ialah puteri sulung ketua umum PKR itu, Nurul Izzah Anwar yang cuba meniup semangat kira-kira 1,000 penyokong.

Katanya, orang ramai tidak perlu bersedih dengan pemenjaraan Anwar yang dianggap sebagai seorang tahanan politik.

"Ingat pesanan saya, jangan sedih.

"Nak sedih buat apa? Bukan kita yang rasuah. Kitalah patriot yang sebenar," kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu disambut tepukan gemuruh hadirin.

Selain Nurul Izzah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan ringkasnya menggesa orang ramai untuk meneruskan perjuangan suaminya.

"Selagi hayat dikandung badan kita teruskan perjuangan kerana inilah yang Datuk Seri Anwar mahu kita lakukan," kata Dr Wan Azizah.

Sebelum itu, tepat 10 malam Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah melepaskan beberapa ekor burung merpati ke udara sebagai simbolik kepada gesaan mereka agar Putrajaya membebaskan Anwar.

Pada acara sama, sasterawan negara yang kini menganggotai DAP, Datuk A Samad Said turut mendeklamasikan sajak bertajuk "Puisi Lara Datuk Seri Anwar Ibrahim".

Sebelum itu juga, aktivis pelajar Mashitah Sulaiman turut mendeklamasikan sajak berjudul "Rajawali" yang ditujukan kepada Anwar.

Hadir sama pada sambutan malam tadi daripada Amanah ialah presidennya, Mohamad Sabu, setiausaha agung, Anuar Tahir, ahli jawatankuasa pusat Dr Mohd Hatta Ramli dan Khalid Samad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim daripada DAP turut hadir dan berucap dalam dialek Jawa.

Majlis tamat dengan bacaan doa diketuai Badrulamin dan nyanyian lagu "Negaraku".

Pada 10 Februari, 2015 Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar sekali gus menamatkan kerjayanya sebagai ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Mahkamah mengetepikan permohonan Anwar yang meminta hukuman lebih ringan daripada dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum itu dan pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman ditingkatkan. – tmi
BLM.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena