Friday, 22 June 2018

[Video 'Siasatan 1MDB hampir siap'] Ada apa dengan 18? Tun M mencadangkan umur pengundi diturunkan dari 21 ke 18 tahun! Mengapa ada yang mencebik.

Sabtu, 23 Jun 2018


Anak muda adalah pemimpin masa depan kita. – Ada orang bercakap seperti ini dengan bangganya.
Anak muda adalah pemimpin masa depan kita. – Ada orang bercakap seperti ini hanya untuk memujuk anak-anak mereka.
Anak muda adalah pemimpin masa depan kita. – Ada orang bercakap seperti ini dengan isi tersiratnya; “kau diam dulu sebab sekarang akulah pemimpin kau”.
ANAK MUDA ADALAH PEMIMPIN MASA DEPAN KITA! – Saya percaya dengan sepenuh yakin kepada anak-anak muda negara kita!
Persoalannya, berapakah umur anak- anak muda ini yang kita maksudkan?
Tun Dr. Mahathir mencadangkan umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Banyak yang tertanya-tanya, banyak yang mencebik dan menaruh syak wasangka.
“Eh mereka ni masih budak lagilah!”
“Banyak yang masih belajar lagi… Tak matang lagi mereka nak cakap pasal politik!”
“Mereka ni bawah jagaan ibu bapa lagilah!”
“Belum bayar cukai lagi budak-budak ni, tak berhaklah mereka ni nak mengundi.”
“Mereka senang dikuda-kudakan oleh ahli-ahli politik, orang muda ni tak ada pengalaman yang cukup untuk membezakan siapa cakap benar siapa cakap bohong…”
Banyak lagi soalan dan kritikan yang melihat seolah-olah anak muda yang umurnya 18 tahun ini tidak layak sungguh mengambil bahagian dalam sistem pendemokrasian ini. Sedangkan anak muda yang usianya 18 tahun terkesan secara langsung dan tidak langsung dengan polisi dan sistem pentadbiran negara:
  • Had umur minima untuk mendapatkan lesen memandu motosikal: 16 tahun
  • Had umur minima untuk mendapatkan lesen memandu kereta: 17 tahun
  • Had umur minima untuk berkahwin: 16 tahun (dengan keizinan Hakim)
  • Had umur minima untuk bekerja: 16 tahun
  • Anak muda usia 18 tahun jika melakukan jenayah tetap dikategori sebagai penjenayah dewasa cukup umur dan bukan juvana
  • Had umur minima masuk parti DAP: 17 tahun
  • Had umur minima masuk parti PKR: 18 tahun
  • Had umur minima masuk parti UMNO: 18 tahun
  • Had umur minima masuk parti PAS: 13 tahun (OK ini macam terlampau)
Di bawah Akta Umur Dewasa 1971, seorang rakyat yang berumur 18 tahun dan ke atasnya didefinasikan sebagai dewasa cukup umur.
Di kalangan lebih daripada 200 buah negara yang mempunyai pilihanraya di dunia ini, lebih daripada 90% negara telah mengehadkan umur minima pengundi mereka kepada 18 tahun.
Pada umur 18 tahun, kita percaya anak-anak muda ini boleh memandu, bekerja, menyertai parti politik, menjadi suami isteri orang lain mahupun menjadi ibu bapa orang lain tapi sampai masa bincang pasal politik, kita tarik balik semua keyakinan kita kepada mereka? Apakah logiknya dalam perkara ini?
Kalau kita tidak percaya bahawa anak-anak muda yang berusia 18 tahun ini boleh mengundi mengikut kebijaksanaan mereka, maksudnya kita tidak percaya sistem pendidikan kita, tidak kira pendidikan di sekolah ataupun pendidikan rumah. Kita tidak percaya mereka yang berusia 18 tahun ini merupakan seorang dewasa dan mereka berhak memilih calon ahli parlimen atau ahli dewan undangan mengikut pandangan mereka sendiri.
“Tak apalah, biarkan saja mereka tunggu tiga tahun lagi, biarlah mereka ada masa sikit lagi sebelum buat pilihan…”
“Mereka masih dalam universiti atau kolej lagi, biarlah mereka fokus dalam pelajaran dulu…”
Saya ingin menegaskan di sini, kita bukan ingin memaksa anak-anak muda kita mengundi pada umur 18 tahun, tapi kita menggalakkan mereka supaya mengambil perhatian kepada politik dan isu semasa negara kita. Setentunya tiada masalah sekiranya mereka merasakan mereka masih memerlukan masa untuk buat pertimbangan, ataupun masih ingin fokus dalam pembelajaran, namun siapakah kita untuk membuat keputusan untuk mereka bahawa mereka tidak layak menjadi pengundi pada umur 18 tahun? Mengapa kita perlu halang dan menidakkan ruang dan peluang untuk mereka terlibat secara langsung dalam sistem pendemokrasian negara ini jika sekiranya anak muda yang usianya 18 tahun ini mempunyai tanggungjawab sebagai rakyat dewasa yang lain?
Siapakah kita yang begitu sombong dan ego, yang berasa kita lebih dewasa, lebih berpengalaman, lebih pengetahuan makanya lebih berhak untuk membuat keputusan bagi pihak mereka yang sudah berusia 18 tahun? Pada masa yang sama, pemimpin kita yang paling senior (Tak kiranya dari aspek umur atau pengalaman dan pengetahuan), Tun Dr. Mahathir yang berusia 92 tahun juga memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada anak muda kita.
Di sini, saya bukan sahaja mengalu-alukan cadangan Tun Dr Mahathir ini, saya ingin mencadangkan lagi supaya kerajaan persekutuan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik untuk memudahkan proses pengundian. Tidak akan berlaku lagi masalah borang tak cukup, tak sempat mendaftar sebagai pengundi, pengundi hantu dan masalah-masalah lain sekiranya sistem pemilih bersambung dengan sistem  Jabatan Pendaftaran Negara.
Anak muda adalah pemimpin masa depan kita! – Saya amat percaya bahawa ini bukan satu slogan anak muda untuk syok sendiri saja, atapun satu penipuan orang dewasa untuk menyenang hati anak muda saja. Ini adalah hakikat dan ini adalah kekuatan negara kita.
*Jamaliah Jamaludin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama
Roletkini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena