Pakatan Harapan sahut titah raja, bentang bajet fokus 1MDB
Pakatan Harapan juga sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan sebelum pembentangan belanjawan kerajaan dengan memberi fokus kepada langkah untuk menyelesaikan masalah 1Malaysia Development Berhad dengan segera bagi melindungi rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Oktober, 2015.
Dalam kenyataan bersama Pakatan Harapan yang dikeluarkan hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, belanjawan mereka akan memberikan fokus melindungi rakyat daripada terheret dengan sentimen ekonomi akibat masalah 1MDB.
"Pakatan Harapan juga sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan sebelum pembentangan belanjawan kerajaan.
Mereka berkata, Pakatan Harapan juga menjunjung kasih di atas keprihatinan Raja-raja Melayu yang menitahkan supaya keharmonian kaum dan perpaduan dijaga demi kesejahteraan negara.
"Titah tersebut adalah tepat mengambil kira pelbagai kejadian akhir-akhir ini yang seolah-olah cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum-kaum yang lain kebelakangan ini.
"Oleh itu, Pakatan Harapan mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati titah Raja-raja Melayu itu agar menghindari perbuatan atau pengucapan yang menyinggung perasaan orang lain terutamanya yang bersabit kaum dan agama," kata mereka.
Gabungan pembangkang itu juga berkata, mereka akan terus memainkan peranan menemukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk memupuk budaya saling memahami bagi mengendurkan keadaan jika ada percubaan untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
Mereka berkata, seperti tuntutan titah Majlis Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lagi boleh melengah-lengahkan keputusan-keputusan yang penting mengenai 1MDB kerana kegawatan berlarutan dan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.
Pakatan Harapan juga menyeru agar semua institusi awam dan agensi penguatkuasaan di negara ini memainkan peranan dengan sebebas mungkin supaya kemelut 1MDB dapat diselesaikan segera.
"Sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan atau tindakan institusi awam dan agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab boleh ditafsirkan sebagai mengengkari titah Majlis Raja-raja Melayu.
"Kami berdoa agar Raja-raja Melayu akan terus memayungi rakyat jelata dalam mengharungi cabaran mutakhir ini." – 8 Oktober, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pakatan-harapan-bakal-bentang-belanjawan-selesaikan-isu-1mdb#sthash.cBYhMSv2.dpuf
0 comments:
Post a Comment