Saturday 31 October 2015

Tolak Usul Bajet...Pas tidak sertai? Pulak tu nak hantar pasukan khas beri nasihat Umno...Aduh, 'takkan tak kenal lagi Umno BN'

Ahad, 1 November 2015

Pas sedia hantar pasukan khas beri nasihat Umno

 Pas sedia hantar pasukan khas beri nasihat Umno
KUALA TERENGGANU - Pas mengambil pendekatan berkecuali daripada menyertai cadangan penolakan usul Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, saranan menolak usul bajet itu tidak akan disertai ahli parlimen dari Pas dan ia telah dipersetujui sebulat suara.

“Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi membangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.

“Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Program Dialog Rakyat Bersama Pas di Hotel Tanjung Vista, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menyarankan kesemua ahli parlimen pembangkang menolak usul Bajet 2016 sebagai salah satu protes menolak kepimpinan Najib.

Abdul Hadi berkata, Pas kini berpaksi kepada perjuangan bagi mengubah dasar pemerintahan kerajaan, bukan semata-mata ingin berebut jawatan dan mahu memerintah negara.

“Pas sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya Umno ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita akan ambil pendekatan lain iaitu ‘ambil alih’ pemerintahan.

“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikut kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” katanya.

Abdul Hadi berkata, terdapat beberapa kaedah lain bagi menjatuhkan Perdana Menteri sama ada melalui pilihan raya atau undi tidak percaya.

“Hari ini, daripada 220 kerusi yang ada, 89 adalah milik pembangkang. Persoalannya, adakah dengan jumlah itu ia bolehkah menjatuhkan beliau (Najib) dengan undi tidak percaya? Kecualilah, jika orang-orang Umno undi bersama,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, beliau secara dasarnya bersetuju dengan bantuan-bantuan yang diberi kerajaan terhadap rakyat, bagaimanapun cara pelaksanaan dan pengurusan bantuan itu tidak dipersetujui kerana berlaku banyak kepincangan.

“Setuju dengan Umno bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana Pas lebih selesa duduk di luar BN, bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan Umno.

“Sebagai langkah untuk memperbetulkan kerajaan, Pas bersedia menghantar pasukan untuk berbincang dengan Umno baik mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan, kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya,” katanya.

Mengenai kerjasama politik bersama DAP, Abdul Hadi berkata, DAP dilihat masih menyayangi Pas malah parti politik itu masih memerlukan Pas kerana ia tidak boleh berdiri sendiri lebih-lebih lagi untuk memerintah.

“Bila dah tiada kerjasama dengan DAP, kita boleh letak calon kita di mana-mana kawasan mereka, begitu juga di kawasan MCA atau MIC.

“Sama ada calon memang atau kalah, dari situ kita boleh nilai pengikut-pengikut kita untuk jangka masa panjang dan masa akan datang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena