KERJASAMA DENGAN BN: PAS SUDAH LAMA BERI TALIAN HAYAT
Kerjasama dengan BN: Pas sudah lama beri talian hayat
Parti Amanah Negara (Amanah) tidak terkejut dengan tawaran terbuka Umno untuk bekerjasama dengan PAS kerana parti Islam itulah selama ini yang memberikan oksigen kepada Umno.
Timbalan presiden Amanah, Salahudin Ayub berkata, PAS telah memberikan cukup oksigen kepada Umno kerana di saat Umno hampir kelemasan, tiba-tiba pimpinan tertinggi PAS berikan talian hayat melalui pembelaan mereka kepada pimpinan Umno.
“Umno dapat bekalan oksigen yang cukup… ini satu penghargaan dari Najib kepada PAS,” katanya mengulas ucapan dasar Najib di perhimpunan agung Umno hari ini.
Ketika memberikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini, Najib mengajak ahli-ahli Umno agar turut bekerjasama dengan ahli PAS.
“Saudara dan saudari, kita di dalam Umno, berasa lega, malah gembira, apabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.
“Dengan hati yang terbuka dan sanubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat-Nya,” kata Najib di hadapan perwakilan Umno yang memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Bagi Salahudin, pendekatan yang diambil pimpinan PAS sekarang menunjuk dasar mereka sudah berubah.
“Ia bukan menjadi rahsia umum lagi bila PAS tidak menentang Bajet 2015 Najib, Mursyidul Am PAS yang meminta ahli PAS agar jangan lawan Umno, PAS tidak serang isu besar seperti 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib.
“Ini semua pendekatan mesra Umno yang semakin hari semakin mesra,” kata Salahudin yang merupakan bekas naib presiden PAS itu.
Sehubungan dengan itu, bagi beliau ucapan Najib ini tidak mengejutkan.
“Tanpa Amanah perlu berusaha keras untuk mengatakan semua itu terhadap PAS, perbuatan dan pendekakan yang PAS bawa hari ini menjelaskan kedudukannya di mata rakyat,” kata Salahudin.
0 comments:
Post a Comment