Saturday 3 June 2017

[Video Najib Bayar Shafie RM9.5 juta, ARMADA Lapor Polis] Sindrom bisu jadi ancaman baru Malaysia.

Sabtu, 3 Jun 2017

Sindrom bisu jadi ancaman baru Malaysia

Pendedahan Sarawak Reports bahawa Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak telah menyalurkan sejumlah RM9.5 juta ke akaun peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah sebelum kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan amat mengejutkan semua pihak.
Kejutan (shocking) berkaitan berita tersebut telah melahirkan 2 reaksi berbeza. Segmen rakyat yang cintakan negara marah dan bertindak membuat laporan polis dan tuntutan siasatan dijalankan. Segmen pemerintah yang cintakan habuan dunia pula membisu seribu bahasa. Tidak pasti samaada sikap membisu ini disebabkan oleh perasaan takut atau masih teraba-raba mencari helah. Tiada seorang pun pemimpin Umno yang berani memberikan reaksi membela bos mereka yang kini terkapai-kapai mencari Syeikh Arab bagi melepaskan diri.
Bayaran jutaan ringgit tersebut menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap integriti pihak Pendakwaan dan kebebasan badan Kehakiman kerana Tan Sri Shafee adalah peguam yang dilantik Peguam Negara terdahulu bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan pertuduhan liwat 2.0 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana beliau telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 5 tahun.
Isu yang sebegini serius harus disiasat pihak Polis kerana Tan Sri Shafee mempunyai percanggahan kepentingan dalam kes tersebut dan ia menimbulkan spekulasi negatif kerana dibimbangi boleh mencemar ketelusan dan keadilan keputusan rayuan tersebut.
Pendedahan ini juga memberikan impak negatif terhadap profesion peguam kerana peguam perlu bertindak secara integriti dan digniti sepertimana yang termaktub dalam Legal Profession (Practice and Etiquette) Rules 1978. Bar Council perlu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Tan Sri Shafee berhubung dakwaan ini bagi membersihkan nama baik profesion ulung ini. Menjunjung prinsip bahawa keadilan perlu dilihat dilaksanakan, peluang untuk Tan Sri Shafee untuk memberikan penjelasan yang positif dan konkrit harus diberikan.
Pendedahan ini adalah sesuatu yang amat jeopardise sistem pentadbiran negara kerana wang yang didakwa disalurkan tersebut adalah wang SRC International yang dipinjam daripada dana awam Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang didakwa oleh DOJ Amerika Syarikat sebagai wang yang telah diseleweng. Bukti bertulis yang didedahkan Peguam Negara pada 27 Januari 2016 bahawa Perdana Menteri telah menerima wang daripada SRC International adalah kes prima facie wujudnya salahlaku jenayah pecah amanah oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri hingga saat ini tidak menafikan menerima wang tersebut, malahan tidak pula membayar balik kepada KWAP walaupun telah dibuktikan ianya wang KWAP.
Seharusnya pihak Polis, SPRM dan Peguam Negara mengambil langkah segera agar siasatan dapat dijalankan di bawah pelbagai undang-undang jenayah termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap semua individu atau organisasi yang telah dibayar oleh Perdana Menteri daripada wang SRC ini. Pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab undang-undang dan sosial untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang. Keluhuran undang-undang perlu sentiasa dijunjung dan dipelihara.
Sikap Perdana Menteri yang terus membisu terhadap dakwaan salahlaku dalam skandal penyelewengan berskala mega ini menunjukkan tiadanya sifat akauntabiliti Perdana Menteri. Perdana Menteri perlu menjelaskan tujuan beliau membayar wang sebanyak itu dan adakah wang itu telah diisytiharkan kepada LHDN bagi pengauditan dan potongan cukai.
Kelemahan Kerajaan dan pihak berkuasa menyelesaikan isu yang amat serius ini akan menghakis kepercayaan lebih ramai pelabur dan menyebabkan nilai ringgit semakin susut yang akhirnya mengakibatkan ekonomi negara semakin merosot dan kehidupan rakyat semakin tertekan dan menderita.
Maka, dakwaan Perdana Menteri bahawa keadaan ekonomi akan lebih parah jika bertukar kerajaan adalah helah bagi menipu rakyat sedangkan isu korupsi yang menjerut beliau adalah isu tunjang kemerosotan ekonomi sekarang. Perkara ini adalah konsisten dengan kenyataan mantan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zety Akhtar Aziz bahawa ringgit hanya akan pulih jika isu 1MDB diselesaikan. Siasatan menyeluruh dan bebas terhadap Perdana Menteri adalah langkah pertama penyelesaian isu 1MDB.
Namun, Perdana Menteri masih lagi bebas dan isu 1MDB tidak juga selesai kerana sikap membisu pihak berkuasa. Sikap membisu yang sedang melanda negara hari ini menjadi ancaman baru kepada kestabilan ekonomi dan demokrasi negara.
Faiz Fadzil ialah timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional 

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena