Wan Azizah promosi Malaysia Baharu di Asem
BRUSSELS - BELGIUM. "Malaysia Baharu mendukung prinisp adil, tadbir urus baik dan kedaulatan undang-undang serta menjunjung prinsip inklusif dan pembangunan mampan," kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Gembira dengan pencapaian demokrasi kami baru-baru ini, kami berharap bagi dunia yang lebih inklusif, aman dan makmur," katanya dalam ucapan pada sesi pleno kedua Sidang Kemuncak Asia-Eropah (Asem) Ke-12 di sini Jumaat.
Bertema "Memperkukuh Sistem Pelbagai Hala: Meningkatkan Kerjasama Asem Untuk Cabaran Global”, Dr Wan Azizah menyentuh pelbagai perkara seperti kesaksamaan gender, kepelbagaian, pembangunan mampan dan dasar-dasar Malaysia Baharu dalam ucapannya itu.
Ini adalah lawatan pertama beliau ke Eropah selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 21 Mei selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
"Kekuatan kami datang daripada perpaduan atas landasan kebersamaan dan nilai yang kami kongsi … nilai-nilai inklusif, hidup bersama-sama dengan penuh toleransi dan harmoni, berkongsi visi yang sama untuk Malaysia berjaya dan kekal bersatu pada waktu-waktu sukar.
"Inilah nilai-nilai yang dipegang apabila buat pertama kalinya berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan sejak Malaysia merdeka (selepas 61 tahun). Rakyat Malaysia menolak politik yang diselubungi ketidakpercayaan orang ramai, perkauman dan ketaksuban agama, serta rasuah yang berleluasa,” katanya.
Dr Wan Azizah tiba di sini pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asem bertemakan "Eropah dan Asia: Rakan Kongsi Global Untuk Cabaran Global” bermula Khamis.
Sidang kemuncak Asem selama dua hari itu menghimpunkan ketua negara/kerajaan 51 negara Asia dan Eropah, wakil Kesatuan Eropah (EU) dan Setiausaha Agung Asean.
Bernama
Wan Azizah kesal Suu Kyi enggan bela etnik Rohingya
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa kesal terhadap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kerana enggan menghentikan kekejaman tentera negaranya terhadap etnik minoriti Rohingya Islam.
Dr Wan Azizah berkata reputasi Suu Kyi sebagai Pemenang Hadiah Keamanan Nobel tercalar berikutan keengganannya mendesak tentera Myanmar menamatkan kempen keganasan yang berlarutan sekian lama itu.
“Kita dulu pun sama-sama mengetengahkan demokrasi di Myanmar.
“Saya berasa kesal Aung San Suu Kyi tidak membuat apa yang dulunya kita sama-sama rasakan bahawa dia perlu campur sama,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas menemui Federica Maria Mogherini, Wakil Tinggi Kesatuan Eropah (EU) bagi Dasar Luar Negeri dan Dasar Keselamatan pada Khamis.
Wan Azizah berkata dalam pertemuan dua hala dengan wakil EU di luar mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-12 (ASEM) itu, Federica Maria membangkitkan masalah pelarian Rohingya kerana Malaysia antara jiran Myanmar yang mendapat limpahan pelarian yang diusir.
“Beliau (Federica Maria) sendiri telah melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, dan mahu cara terbaik untuk menangani masalah tersebut kerana ramai yang menanggung beban kemanusiaan ini.
“Saya memberitahu kita telah mengambil ramai pelarian Rohingya ini dan cuba sedaya upaya menolong. Kita juga mahu etnik Rohingya berada dalam Myanmar itu sendiri sebagai kerajaan antara junta dan sivil,” kata Dr Wan Azizah.
Laporan baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebut tentera Myanmar perlu disiasat atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya, namun negara itu menolak laporan itu dengan alasan ia ‘berat sebelah’.
Suu Kyi yang pernah dilihat sebagai aktivis berprinsip dan suara untuk hak asasi manusia sejagat, kini berdepan tekanan antarabangsa kerana membiarkan kekejaman tentera negaranya itu.
Dr Wan Azizah tiba di sini pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan ASEM yang bermula semalam (Khamis).
Sidang Kemuncak ASEM selama dua hari itu menghimpunkan ketua-ketua negara atau kerajaan 51 negara Eropah dan Asia, wakil daripada EU dan Setiausaha Agung ASEAN.
MD.
0 comments:
Post a Comment