Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris memberitahu, kebanyakkan mereka sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan tertinggi parti seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan hasrat tersebut.
Tanpa mendedahkan nama pemimpin tersebut, beliau berkata, proses tersebut pada masa ini sudah 80 peratus selesai.
“Memang betul ada (akan ada pemimpin UMNO sertai Bersatu), mereka telah berjumpa Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Bila dan siapa, minta maaf saya tidak boleh dedahkan dengan lebih lanjut.Kita tunggu dan lihat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau di Pusat Tranformasi Nelayan, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin turut mendedahkan perkara sama dan memaklumkan pemimpin-pemimpin terbabit sama ada secara perseorangan atau berkumpulan telah mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi parti.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar UMNO baru-baru ini mengesahkan menyertai Bersatu.
Sementara itu, Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu berkata, dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa Bersatu melakukan provokasi bagi menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri adalah tidak benar.
“Soal ini (Ahli Parlimen UMNO akan sertai Bersatu) tidak ada kena mengena dengan Anwar,” katanya- UTUSAN ONLINE