Dakwah pilihan terbaik atasi gejala LGBT
Kewujudan golongan LGBT perlu diperakui supaya dakwah dapat dijalankan.
UPDATED
PETALING JAYA: Pendekatan dakwah dengan mendekati golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah langkah terbaik, tegas Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (PAN), Dr Dzulkefly Ahmad.
“Hanya dengan mendekati mereka kita dapat terangkan bagaimana membangunkan sebuah negara yang sihat, sejahtera dan makmur.
“Pendirian inklusif Amanah menuntut kita bertemu dengan golongan itu. Kita tidak mengiktiraf (gaya hidup) mereka, tetapi menerima keberadaan mereka dalam masyarakat kita,” tegas beliau.
Laporan FMT pada 5 Disember lalu (Sabtu) telah salah memetik dan salah melapor kenyataan pemimpin kanan Amanah itu. Laporan bertajuk “Amanah sedia dekati LGBT” itu telah mengundang persepsi yang salah terhadap parti itu.
Beliau ditemui wartawan kami di forum Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan di ibu negara Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menolak sebarang bentuk kekerasan, hukuman dan mendahulukan cara penerangan yang paling sesuai untuk menangani kumpulan itu.
“Berikan dakwah. Itu peranan kita. Berikan pencerahan pada dia, berikan masa kepada dia supaya bertaubat,” kata beliau.
Beliau seterusnya memetik ayat al-Quran yang menegaskan hak memilih atau ‘freedom of choice’ yang Allah berikan kepada manusia. Namun Allah juga mengingatkan konsekuensi akan pilihan yang dibuat manusia.
FMT telah menghubungi Dr Dzulkefly untuk memohon maaf dan menyiarkan laporan ini sebagai pembetulan kepada kesilapan itu.
Beliau semasa memberi kenyataan kepada wartawan kami telah memberi amaran supaya jangan memutar kenyataan beliau.
Kesalahan di pihak kami amat dikesali.
FMT
0 comments:
Post a Comment