Najib perlu berhenti perbodohkan rakyat – Kit Siang
Kit Siang mendesak Perdana Menteri memberi penjelasan isu 1MDB dan RM2.6 bilion pada Perhimpunan Agung UMNO 2015.
KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menasihatkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menganggap 30 juta rakyat Malaysia seperti orang bodoh.
Beliau berkata demikian berikutan dakwaan Najib yang pembangkang tidak bercakap menggunakan fakta mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, sekiranya pembangkang dianggap seperti itu (tidak bercakap menggunakan fakta), mengapa Najib tidak hadir di Parlimen untuk menerangkan kontroversi mengenai isu RM2.6 bilion dan 1MDB yang dikaitkan dengannya pada minggu lalu.
“Kita juga perlu menanyakan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden UMNO), Datuk Seri Shafie Apdal (Naib Presiden UMNO) dan Tan Sri Gani Patail (bekas Peguam Negara) juga terpesona dengan pembohongan yang dibuat oleh pembangkang?
“Beliau (Najib) harus diingatkan petikan Abraham Lincoln ‘Anda boleh menipu semua orang dalam beberapa waktu tetapi anda tidak boleh menipu semua orang dalam sepanjang masa,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah.
Kit Siang juga menggesa Najib menjelaskan beberapa isu yang dikaitkan dengannya dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 seperti isu 1MDB, dana RM2.6 bilion dan adakah benar Najib merupakan Perdana Menteri pertama yang disiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
FMT.
0 comments:
Post a Comment