‘Tok Arab’ gila pun tak akan bagi RM2.6 bilion – Mahathir
Wang RM2.6 bilion perlu dimasukkan dalam penyata kewangan UMNO yang akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO.
KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan hadir Perhimpunan Agung UMNO kerana mahu mendengar penjelasan RM2.6 bilion oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, wang derma RM2.6 bilion seharusnya dimasukkan ke dalam penyata akaun UMNO sebagai bukti.
“Kali ini saya nak dengarlah, sebab itu saya nak pergi Perhimpunan Agung UMNO, yang mana Bendahari ikut peraturan mesti jelaskan kewangan UMNO, ada atau tak RM2.6 bilion.
“Kalau tak ada di mana?…,” katanya ketika berucap di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru.
Mengulas lanjut, Tun Mahathir mengulangi pendirianya bahawa beliau tidak percaya derma RM2.6 bilion itu disumbangkan oleh penderma dari Timur Tengah seperti yang didakwa Najib.
Beliau berkata demikian berdasarkan pengalamannya ketika menjadi Perdana Menteri, tiada langsung derma dari Timur Tengah yang diperolehinya.
“Duit itu daripada “Tok Arab”. Saya ingat kalau Tok Arab itu gila pun dia tak bagi.
“Minta derma dari negara Arab? Masa saya minta tak pernah dapat..kosong.. dia (orang Arab) angkat kitab bagi sikit adalah itu,” katanya lagi.
Justeru, Dr. Mahathir berkata, Najib seharusnya menggunakan peluang di dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti untuk menjelaskan mengenai RM2.6 bilion bagi mengembalikan keyakinan semua pihak.
Katanya, selagi Najib tidak menjelaskan, beliau tidak akan percaya bahawa RM2.6 bilion itu diperoleh daripada penderma Timur Tengah.
FMT.
0 comments:
Post a Comment