Sunday 17 April 2016

NAJIB SEGERA LETAK JAWATAN...Pengakuan Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir.

Ahad, 17 April 2016

KENYATAAN MEDIA
PENGAKUAN MENTERI ARAB WAJARKAN NAJIB SEGERA LETAK JAWATAN
1. Pengakuan daripada Menteri Luar Arab Saudi bahawa kerajaan mereka yang menderma kepada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak seolah-olah meletakkan Perdana Menteri Malaysia telah dibeli.
2. Malaysia adalah sebuah negara yang dikenali khususnya dalam rangkaian negara OIC dan NAM di atas sifatnya yang berkecuali. Nama Malaysia selama ini harum dalam beberapa isu termasuk peperangan Bosnia, isu Afghanistan dan juga sokongan terhadap Palestin.
3. Perdana Menteri sebelum ini dapat memainkan peranan dalam OIC untuk menyatakan pandangan, yang membawa nilai positif kepada OIC dan umat Islam.
4. Arab Saudi kini sedang mengetuai suatu blok besar di Timur Tengah dan dilihat sedang bertelagah dengan kumpulan dari blok lain. Oleh itu pengakuan memberi derma kepada Najib itu telah menyebabkan Malaysia seolah-olah telah dibeli untuk menyertai blok yang diketuai oleh Arab Saudi itu.
5. Kesannya, imej hebat Malaysia selama ini akhirnya telah terjejas dengan derma ini. Malaysia tidak lagi dilihat berkecuali dan boleh memainkan peranan.
6. Untuk keluar daripada kemelut ini, saya dengan penuh tawaduk dan rendah diri memohon Najib supaya berhenti dari menjadi Perdana Menteri secara terhormat. Tindakan ini penting bagi menamatkan segala bentuk spekulasi dan tohmahan kepada Malaysia sekaligus memulihkan imej negara yang kini buruk di Timur Tengah termasuk di Eropah.
7. Malaysia hendaklah kembali memainkan peranan seperti dahulu menjadi orang tengah, pendamai, dan bukannya pengadu domba. Itulah peranan yang dimainkan oleh semua Perdana Menteri sebelum Najib Tun Razak.
"Harapan Baru"
HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
17 April 2016 / 09 Rejab 1437H

Sumbangan Derma Kepada Najib Memang Dari Arab Saudi - Adel Al-Jubeir


Adel Al-Jubeir (Gambar Bernama)
Daripada Mohd Shukri Ishak 

ISTANBUL, 15 April (Bernama) -- Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir hari ini mengaku bahawa sumbangan derma kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memang datang daripada negara itu.

"Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

"Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Khamis.

Sebelum itu, Adel mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Jan lepas, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Mohamed Apandi berkata siasatan menunjukkan bahawa jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena