Sunday, 26 January 2014

Kontroversi kangkung - Sehingga kini, Rang Jaminan itu kekal tiada sekatan di internet...

Isnin, 27 Januari 2014
"Sehingga kini, Rang Jaminan itu kekal untuk memastikan tidak terdapat sekatan di internet," tambah sumber itu lagi.

Kabinet mahu tindakan tegas terhadap lawak kangkung, tetapi jaminan internet gagalkan

Di kemuncak kontroversi kangkung minggu lepas beberapa menteri menggesa agar tindakan tegas diambil untuk menghentikan komen negatif di alam siber terhadap perdana menteri, akan tetapi Rang Jaminan Malaysia untuk internet menghentikan mereka.

The Malaysian Insider difahamkan beberapa menteri berhujah, Putrajaya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat lawak di internet terhadap komen Datuk Seri Najib Razak kerana mengatakan orang ramai seharusnya bersyukur apabila harga sayur turun dan tidak hanya menyalahkan kerajaan apabila berlaku kenaikan harga barang.


"Sesetengah menteri mahukan tindakan terhadap mereka yang membuat lawak akan tetapi tiada undang-undang yang boleh menghalang perbuatan tersebut," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

"Menteri-menteri berkenaan diberitahu Rang Jaminan Malaysia untuk Multimedia Super Corridor (MSC) menghalang penapisan," tambah beliau.

"Lebih baik suruh sahaja kerajaan tutup Facebook, Twitter dan media sosial lain kalau nak hentikan lawak dan jenaka daripada tersebar," kata sumber itu lagi.

Difahamkan, menteri-menteri berkenaan berhenti berhujah apabila dicabar menandatangani keputusan Kabinet secara kolektif untuk menggantung jaminan dibuat perdana menteri pada 1998, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sehingga kini, Rang Jaminan itu kekal untuk memastikan tidak terdapat sekatan di internet," tambah sumber itu lagi.

Terdapat spekulasi elemen dalam kerajaan mencuba untuk menyekat laporan BBC dalam isu kangkung apabila sesetengah pengguna internet Malaysia mengadu gagal untuk mengakses laporan BBC tersebut, sehingga timbulnya pertuduhan berlakunya sekatan internet.

Pengguna internet jalur lebar Telekom Malaysia mengatakan mereka mengalami kesukaran membaca laporan “#BBCtrending: Be careful what you say about spinach” dan video YouTube ucapan Najib yang diremix.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyelia industri komunikasi di negara ini menafikan menyekat akses laporan itu walaupun mempunyai kuasa melakukannya terhadap kandungan dibantah seperti pornografi mengikut Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hanya membenarkan sekatan terhadap laman sesawang sekiranya benar-benar perlu dalam mencegah pelakuan atau cubaan pelakuan sesuatu kesalahan.

Pada 2009, The Malaysian Insider melaporkan Putrajaya mengkaji kemungkinan meletakkan penapis untuk menghalang kandungan yang tidak sesuai menerusi laman sesawang, sebagaimana dilakukan China dengan menghasilkan perisian khas “Green Dam”.

Alasan untuk melakukan sekatan adalah untuk mempertahankan keharmonian kaum dalam negara. Akan tetapi, penapis internet itu tidak pernah dipasang.

Akan tetapi Dr Mahathir mengakui Jun lalu melakukan kesilapan semasa masih berkuasa kerana memberi jaminan tidak akan menyekat internet, ia ekoran keputusan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini yang menyaksikan pembangkang menang lebih banyak kerusi.

Menurut bekas perdana menteri itu, beliau kini terpaksa menimbang semula keputusannya selepas memberikan kebebasan penuh internet semasa mengetuai MSC pada 1996.

“Ketika saya mengetuai MSC, saya ditanya oleh seorang wanita Amerika sama ada kami akan menyekat internet.

“Saya beritahu dia tidak, kami akan jadi sangat bebas… tapi kini saya terpaksa berfikir dua kali,” katanya.

Najib pernah berikrar sebelum ini beliau tidak akan melakukan sekatan internet dan juga meminda undang-undang penerbitan yang sebelum ini memerlukan pembaharuan permit setiap tahun. – tmi

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena