Sunday 29 June 2014

Petronas: Amalan meritokrasi beri manfaat pada bumiputera...Kroni Umno pasti tergolek dok!

Ahad, 29 Jun 2014

Amalan meritokrasi Petronas beri manfaat pada bumiputera, hanya rugikan kroni Umno

yeobeeyin
KUALA LUMPUR, 29 JUN: Anjakan sepenuhnya kepada sistem tender terbuka oleh Petronas akan turut memberi manfaat besar kepada golongan bumiputera, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama Yeo Bee Yin.
Beliau berkata demikian membidas desakan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas meletakkan jawatan berhubung wawancaranya dalam akhbar perniagaan The Edge baru-baru ini.
Dalam wawancara itu, Shamsul mendedahkan Petronas menerima tekanan politik untuk memberikan sokongan kepada syarikat yang tidak berpengalaman.
Shamsul menyifatkan amalan kecekapan dan meritokrasi sebagai kunci kejayaan Petronas, manakala khazanah minyak dan gas adalah milik seluruh rakyat, bukan untuk orang Melayu semata-mata.
“Sangat ‘mengagumkan’ melihat Perkasa dan konco-konconya menjadikan sesuatu isu sebagai ‘perkauman’, termasuk kenyataan CEO Petronas yang membangkitkan masalah dihadapi GLC itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, dasar tender terbuka Petronas sebenarnya memberikan manfaat kepada orang Melayu secara keseluruhan dan hanya merugikan syarikat berkaitan dengan Umno yang tidak layak mendapat kontrak.
“Pertama, tender terbuka akan mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan Petronas yang dibayar dalam bentuk dividen kepada kerajaan. Ia boleh disalurkan kepada program pembangunan Bumiputera yang lebih strategik.
“Keuntungan yang lebih tinggi meningkatkan skim habuan pekerja. Bukan sahaja bermanfaat kepada produktiviti syarikat, tetapi membantu membangunkan bumiputera kerana tiga per empat daripada kakitangan Petronas adalah orang Melayu. Habuan berdasarkan prestasi membantu bumiputera yang berbakat dan rajin,” kata Bee Yin.
Tambahnya, tiada sebab Petronas perlu menganugerah kontrak kepada syarikat bumiputera yang tidak layak dan hanya bergantung kepada hubungan politik ketika ia boleh memberi sumbangan kepada pembangunan orang Melayu yang berbakat dan lebih layak.
Dividen Petronas kepada kerajaan wajar dikurangkan
Beliau turut menyokong gesaan agar peratusan dividen diberikan Petronas kepada kerajaan dikurangkan, bagi memastikan pertumbuhan syarikat penyumbang utama dana kepada kerajaan itu.
“Saya yakin perlunya pindaan terhadap Seksyen 4 Akta Pembangunan Petroleum bagi meletakkan had kepada dividen Petronas kepada kerajaan. Ia penting sekarang, terutama apabila Petronas berhadapan cabaran operasi dalam dua bidang yang perlukan pelaburan tinggi, iaitu eksplorasi dan pengeluaran serta integriti aset.
“Seperti kenyataan Tan Sri Shamsul, kita perlu menjadi penjaga yang amanah kepada anugerah semula jadi negara ini,” katanya lagi. – Roketkini.com

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena