Tuesday, 17 June 2014

Rombak Kabinet: PM Gugur Najib? - A Kadir Jasin

Rabu, 18 Julai 2014

Rombak Kabinet : PM Gugur Najib?

A Kadir Jasin

DALAM 1Malaysia macam-macam ada, satu jenaka SMS yang sedang diedarkan berbunyi:

“Cabinet reshuffle soon. The PM is dropping Najib.” (Rombakan Kabinet tak lama lagi. Perdana Menteri akan gugurkan Najib.)

Serah kepada pengguna telefon pintar untuk “menjenakakan” dan meremehkan segala perkara. Tetapi lebih baik mereka berjenaka daripada mengamuk kerana hilang punca! Laughter is the best medicine. Ketawa penawar lara.

Tetapi apabila saya memanjangkan (forward) jenaka itu kepada dua wartawan kanan bergelaran di raja, kedua-dua mereka menyangka saya tersalah taip - typo error.

Jenaka atau tidak, saya rasa Perdana Menteri perlu memikirkan semula kedudukan Mohd Najib sebagai Menteri Kewangan.

Bukan saja pengurusan kewangan negara di bawah Mohd Najib telah mencetuskan pelbagai isu dan persoalan, ia juga berupa konflik kepentingan.

Apabila PM juga bertindak sebagai Menteri Kewangan maka tidak wujud lagilah proses pemisahan kuasa dan timbang tara. Kalau ada menteri yang tidak puas hati dengan peruntukan atau tindak-tanduk Kementerian Kewangan, kepada siapa mereka hendak mengadu?


Prestasi Menteri Kewangan

Sejak Mohd Najib menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2009, pertumbuhan ekonomi negara terus terperangkap dalam lingkungan 5%. Antara 2009 dan 2013, ekonomi negara tumbuh purata 4.28% saja. Menurut seorang bekas Menteri Kewangan, kadar itu adalah “biasa” saja kerana ekonomi Malaysia mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih pesat.

Para ekonomis adalah dipelawa untuk menambah, menolak, menjawab dan menafikan fakta, perangkaan dan kesimpulan yang tersasar. Kebanyakan perangkaan dalam rencana ini adalah daripada sumber rasmi kerajaan.

Defisit belanjawan meningkat daripada 3.2% Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2008 (zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi) kepada 6.7% pada tahun 2010 yang berupa belanjawan pertama Mohd Najib sebagai Menteri Kewangan. Purata defisit belanjawan antara 2010 dan 2014 adalah 5%.

Hutang Kerajaan Persekutuan pula meningkat dengan mendadak sejak Mohd Najib menjadi Menteri Kewangan, iaitu daripada 41.24% KDNK pada 2009 kepada 52.8% pada tahun 2010. Tahun ini (2014) hutang kerajaan dianggarkan naik kepada 54.8% KDNK.

Jumlah hutang kerajaan meningkat daripada RM362.3 bilion pada tahun 2009 kepada RM519.3 bilion pada akhir tahun lalu.

Defisit belanjawan yang tinggi dan hutang kerajaan yang semakin meningkat menyebabkan agensi penarafan antarabangsa Fitch menurunkan penarafan hutang (credit rating) Malaysia daripada stabil kepada negatif pada bulan Julai lalu. Ia adalah tamparan kepada Mohd Najib.

Hutang kerajaan melambung hingga 80.7% pada tahun 1990 akibat krisis ekonomi tahun 1980-an, tetapi turun secara progresif kepada paras paling rendah dalam sejarah, iaitu 31.8% pada tahun 1997. Hutang kerajaan yang kecil itu membantu mengurangkan kesan buruk krisis mata wang Asia 1997/98.

Selain defisit belanjawan dan hutang kerajaan, prestasi ringgit Malaysia juga menimbulkan tanda tanya walaupun Bank Negara tidak putus-putus memberi jaminan bahawa ia "ok".

Antara tahun 2009 hingga September 2013, ringgit Malaysia jatuh 6.3% berbanding dolar Amerika, 6.1% berbanding dolar Singapura, 6.2% berbanding pound sterling, 8.1% berbanding Euro dan 7.8% berbanding mata wang China renminbi. Hanya dengan Yen Jepun, ringgit naik – 7%.

Inflasi yang juga menjadi tanggungjawab Bank Negara, meningkat daripada 0.6% pada tahun 2009 hingga kepada 3.2% pada tahun 2011. Purata kadar inflasi sejak 2009 adalah 1.84%.
Teknokrat Boleh Jadi Menteri Kewangan
Jadi PM perlu menilai semula prestasi (KPI) Mohd Najib sebagai Menteri Kewangan. Lagipun PM perlu tumpu lebih banyak masa mengurus pentadbiran negara yang semakin mencabar.

Umno dan BN memerlukan lebih banyak perhatian beliau kerana masa empat tahun sebelum PRU akan datang bukan lama.

Menteri Kewangan tidak perlu seorang ahli politik. Teknokrat pun boleh. Masakan Malaysia ketandusan bakat ekonomi dan kewangan sehingga tidak ada lagi teknokrat dan ahli perniagaan macam Tun Daim Zainuddin yang dua kali menyelesaikan krisis ekonomi negara?

Pendirian saya dalam hal ini konsisten. Sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyandang jawatan Menteri Kewangan lagi saya telah menulis bahawa PM tidak wajar menjadi Menteri Kewangan apatah lagi apabila kepakaran mereka dalam bidang itu cetek dan dipersoalkan.

Seorang Menteri Kewangan bukan sahaja perlu luas pengetahuan mengenai ekonomi, belanjawan dan mata wang, malah lebih daripada itu dia perlu berani dan tegas. Ini bukan jawatan untuk orang lembik, kurang inisiatif dan kerja ikut pejabat!

PM juga tidak perlu bermuka-muka dengan parti-parti Cina dalam BN. MCA masih dalam mode cakap, tetapi belum ada bukti yang ia kembali mendapat perhatian orang Cina apatah lagi sokongan mereka.

Orang Cina tolak BN, jadi buat apa Mohd Najib terhegeh-hegeh melayan MCA dan Gerakan. The Chinese had said loud and clear they do not need the BN. Let them be!

Tetapi isu jawatan menteri untuk Gerakan sudah menjadi kewajipan kerana itu yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.

PM perlu utamakan kaum majoriti (ertinya Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak) yang daif. Mereka inilah yang menyelamatkan BN pada Pilihan Raya Umum lalu.

Buang Menteri Melayu/Bumiputera yang hambar dan ganti dengan yang lebih muda dan baik.

Manfaatkan duit pembayar cukai. Kurangkan bilangan anggota Kabinet. Hentikan pemborosan. Dahulukan rakyat, utamakan pencapaian. Walk the talk.

NOTA Kaki: Boleh sesiapa beritahu di mana Jho Lo aka Low Taek Jho, wajah 1Malaysia Development Berhad, berada? Lama tidak dengar cerita beliau. 1MDB sudah dua kali tangguh IPO. Apasal? Wallahuaklam.
Posted by Kedah Lanie

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena