Monday 11 January 2016

[Video] Siapa musuh sebenar PAS dalam PRU14 nanti? Mengapa mahu ditongkat UMNO yang sudah patah.

Selasa, 12 Januari 2016


Siapa musuh sebenar PAS dalam PRU14 nanti..?

Shahbudin Husin,

Pas sudah secara rasmi menolak kerjasama politik dengan UMNO dan dalam masa sama, parti itu juga tidak menganggotai Pakatan Harapan atau PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Asas penolakan Pas menolak menyertai PH ialah kerana tidak mahu sekelambu dengan DAP dan Amanah. Pas juga mahu kekal bermusuh dengan UMNO. Bagaimanapun, Pas masih menjalin kerjasama politik dengan PKR, salah satu parti komponen dalam PH.

Baru-baru ini, PH menandatangani kod etika bersama yang antaranya tidak menggunapakai lagi amalan "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam kesepakatan gabungan baru itu untuk berhadapan dengan UMNO dan BN.

Dengan itu, antara lain perkara yang paling bermakna di sebalik persetujuan itu ialah pembahagian kerusi dalam PH nanti akan dilakukan secara konsensus dan persetujuan bersama secara mutlak antara ketiga-tiga partinya.

Kalau bersetuju, mesti setuju dengan sejujurnya dan jika tidak bersetuju, mesti juga tidak setuju sepenuhnya.

Tiada lagi kemungkinan berlakunya persetujuan dimungkiri atau terjadinya pertandingan sesama sendiri yang semata-mata berdasarkan andaian atau syak wasangka calon parti rakan itu tidak boleh dipercayai, disyaki berfahaman sosialis, terlibat dengan pil kuda atau sebagainya.
Melalui persefahaman yang sudah dicapai dalam PH itu, secara tidak langsung bermakna pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah sudah boleh dilaksanakan mulai sekarang agar tempoh masa tidak sampai tiga tahun menjelang PRU 14 akan datang, gerak kerja yang lebih mantap dapat dilaksanakan ke arah mencapai kemenangan.

Secara teorinya, oleh kerana Pas tidak termasuk dalam gabungan PH, kerusi-kerusi yang yang ditandingi oleh parti itu dalam PRU 13 lalu sudah boleh diambilalih oleh Amanah untuk PRU 14 akan datang.

Jika ada pun sebahagian kerusi itu yang tidak sesuai ditandingi oleh Amanah, ia mungkin boleh diserahkan secara sukarela sama ada kepada PKR dan DAP.
Pas pula, disebabkan sudah menjadi parti sendirian berhad yang tidak mahu menyertai PH dan menolak juga kerjasama dengan BN, tentu saja boleh memilih untuk bertanding di mana-mana saja kerusi yang diminatinya.

Sehingga ini, Pas hanya bertahalul siyasi dengan PKR saja, tetapi tetap menganggap UMNO, DAP dan Amanah sebagai musuhnya.

Jadi, di kerusi manakah Pas akan bertanding dalam PRU 14 nanti?

Disebabkan adanya kerjasama dengan PKR, Pas mungkin memberi laluan untuk pertandingan satu lawan satu di kerusi-kerusi yang PKR bertanding berhadapan dengan UMNO dan BN, namun bagaimana dengan kerusi yang ditandingi oleh DAP dan Amanah?

Meskipun ada pendapat mengatakan Pas berhak bertanding di kerusi-kerusi lamanya, Amanah juga merasakan hak itu sudah berpindah kepada mereka sebagai rakan gabungan dalam PH, manakala Pas sudah bersendirian.

Adakah Pas akan berkeras mahu bertanding  juga, lalu menjadikan berlakunya pertandingan tiga penjuru?

Jika ia berlaku, siapakah yang berpotensi mencapai kemenangan?

Di kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO, apakah pula sikap dan pendirian Pas nanti?

Memandangkan Pas kekal menganggap UMNO sebagai musuhnya, adakah parti itu akan meletakkan calon-calonnya juga untuk bertanding di semua kerusi UMNO dan menjadikan berlakunya perebutan tiga penjuru?

Sekali lagi, di kerusi yang menjadi dominan UMNO, apakah lebih menguntungkan bagi Pas untuk turut bertanding atau membiarkan saja PH berhadapan satu lawan satu?

Bagaimana pula ketika kempen berlangsung,  khususnya di kawasan yang berlaku pertandingan tiga penjuru, siapakah sasaran serangan dan kecaman Pas di pentas-pentas ceramahnya nanti - UMNO dan BN atau PH, DAP dan Amanah?

Di antara ketiga-tiga musuhnya itu iaitu UMNO, DAP dan Amanah, siapakah yang dianggap musuh paling besar bagi Pas sehingga tidak mungkin sama sekali untuk bertolak ansur demi matlamat yang lebih besar? (SH 11/01/2016).
KDL.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena