Sunday, 7 October 2018

[Live Sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid] PAS dah hilang roh, serta bentuk wajahnya...

Isnin, 8 Oktober 2018
Walaun faham ke?
PAS dah hilang roh, serta bentuk wajahnya... 
Ramai yang melihat Pas sekarang bukan lagi Pas yang mereka kenali dulu. Pas semasa zaman Yusof Rawa, Datuk Fadzil Nor atau Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu komited dengan wadah perjuangan mereka yang antara lainnya untuk menegak yang haq dan memerangi yang batil atau mungkar. Pas sekarang sudah banyak bertukar wajah, gaya dan cara. Sehingga ada yang mengatakan Pas sudah kehilangan ruh dan bentuk asalnya. 

Pas di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikelilingi oleh segelintir penasihat-penasihat serta dipagari orang-orang kuatnya, parti itu sudah kehilangan identiti dan wadah perjuangan asalnya sekaligus menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak, khususnya kepada ahli dan penyokong mereka di peringkat akar umbi. 

Berikut adalah beberapa contoh keputusan atau pendekatan yang telah diambil oleh Abdul Hadi yang membuat ramai terpinga-pinga tentang hala tuju parti itu: 

1. Keputusan dan pendirian untuk mendampingi, menerima dan bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Razak dan Umno yang ramai menganggap sungguh pelik dan mencabar pemikiran yang logik kerana Pas sudah sekian lama memerangi kemungkaran dan kebatilan yang dilakukan oleh kerajaan Umno/BN. 

2. Mereka membuat keputusan untuk berkerjasama dengan Umno kononnya di atas alasan politik matang yang sejajar dengan prinsip tahaluf siyasi. Sedangkan umum semua tahu bahawa jurang perbezaan wadah perjuangan asal Pas dan Umno adalah begitu besar untuk dirungkaikan. Membuat ahli dan penyokong kedua-dua pihak menjadi keliru dan naik bingung. 

3. Berbagai fatwa halal dan haram dikeluarkan untuk memenuhi agenda ini. Antaranya, satu masa dulu dikeluarkan fatwa bahawa wajib untuk Pas berkerjasama dengan DAP dalam usaha menentang kemungkaran kerajaan Umno/BN tetapi apabila sudah tergoda dengan Umno, maka fatwa haram pula dikeluarkan. 

4. Tindak tanduk Pas semasa PRU14 pula menimbulkan banyak tanda-tanya. Pas tiba-tiba bertindak seperti parti yang kaya-raya yang mempunyai sumber serta dana kewangan yang begitu kukuh apabila memilih untuk bertanding dalam begitu banyak kawasan Parlimen dan Dun. Abdul Hadi mengatakan Pas mahu memerintah negara, malah pernah berkata bahawa Pas mahu menjadi 'kingmaker'. Apapun umum melihat ianya tidak lebih sebagai satu strategi untuk memecah undi dan menyekat kemaraan PH. 

5. Pas dan Abdul Hadi gagal untuk bertindak ke atas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Datuk Husam Musa, bekas pemimpin Pas yang mendakwa Abdul Hadi telah dilemah dan dikompromikan oleh Najib dengan berbagai sogokan termasuk jawatan tinggi dalam Kerajaan Perpaduan dan pemberian wang yang besar sehingga mencecah RM90 juta. 

Ancaman Abdul Hadi untuk mendakwa Rafizi dan Husam yang melemparkan tuduhan-tuduhan tersebut meleset tidak menjadi dan tinggal sebagai ancaman kosong sahaja apabila beliau gagal untuk menyaman mereka. 

Baru-baru ini Abdul Hadi ada menyebut bahawa ada 'orang tengah' sedang memujuk Pas untuk menarik balik kes saman ke atas Clare-Rewcastle Brown dan Sarawak Report di Mahkamah Tinggi London. Kurang jelas apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi dengan istilah 'orang tengah' dan 'tarik balik' itu. Pihak media dan pemerhati politik tanah air sudah mula membuat berbagai andaian dan spekulasi tentangnya. Antaranya ialah kemungkinan kes saman ini akan berkesudahan dengan Pas menarik balik saman tersebut dengan alasan-alasan tertentu. 

6. Abdul Hadi juga asyik memperlekehkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai orang yang sudah tidak relevan dalam arus politik perdana. Beliau juga sering menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kewibawaannya sebagai pimpinan besar dan mengungkit hal-hal peribadinya. Mengikut beberapa pemerhati politik negara, apabila menyingkap sejarah hubungan antara kedua-keduanya serta cetusan beberapa peristiwa di antara dua pemimpin itu, ada yang berpandangan seolah-olah wujud rasa dendam, cemburu, iri hati dan takut dalam hati dan sunabari Abdul Hadi terhadap Anwar. 

7. Pas membuat keputusan awal untuk tidak bertanding di PRK Port Dickson. Ada pemimpin atasan yang berkata keputusan itu diambil kerana hendak memberi laluan mudah kepada Anwar selaku bakal PM . Tetapi Abdul Hadi dan penasihat-penasihatnya mengubah pendirian dan memutuskan untuk meletakkan calon, mungkin kerana kecewa dengan Umno dan BN yang membuat keputusan untuk tidak bertanding. 

Politik Abdul Hadi mengelirukan 

Dengan kepimpinan Abdul Hadi yang penuh dengan kontradik dan dianggap sudah menyimpang jauh dari perjuangan asal Pas, maka kita tidak hairan ataupun terkejut bila Pas berpecah dua dengan terbentuknya parti Amanah oleh sebahagian pemimpin-pemimpin atasan disebut sebelum ini. Malah anak-anak pemimpin asal Pas seperti Mujahid Rawa, Faiz Fadzil dan Nik Omar Nik Aziz juga ikut meninggalkan Pas untuk menyambung perjuangan asal arwah bapa mereka dengan menyertai Amanah. 

Tun Dr Mahathir sering menyebut bahawa politik yang diamalkan Pas telah membawa perpecahan kepada orang Melayu dan bukannya kerana agama Islam. Dan katanya lagi bahawa perpecahan akan berterusan selagi Pas menyalahtafsir dan menyalahgunakan ajaran Islam. 

Pemimpin-pemimpin asal Pas seperti Ustaz Ahmad Awang, Mohamad Sabu, Raja Kamarul Bahrin Ahmad ikut kecewa dan berdukacita dengan tindak tanduk serta politik Abdul Hadi. Ahli dan penyokong Pas, khususnya di pantai timur, mereka perlu berani menilai secara objektif dan kritikalnya apakah yang Abdul Hadi perjuangkan sekarang? 

Dan apakah kepimpinan Pas hari ini menepati wadah perjuangan asal parti atau telah menyimpang jauh? Mereka juga perlu merenungi mengapa Melayu di pantai barat yang dikira lebih maju sudah tidak menyokong Pas? 

Dengan kehidupan moden yang dipacu oleh internet dan dunia yang lebih terbuka, mereka mempunyai akses yang lebih mudah sekarang untuk mendapat laporan dan liputan berita tentang keadaan dan realiti semasa melalui sumber-sumber internet atau media alternatif selain dari sumber saluran parti. 

Dengan pengetahuan yang lebih jelas dan lebih mendalam, hati mereka akan lebih terbuka dan minda lebih kritikal untuk membolehkan mereka membuat pilihan dan keputusan yang lebih tepat bersandarkan kepada fakta dan kebenaran. 

Pun begitu, penulis masih menaruh harapan agar Pas akan kembali ke pangkal jalan dengan ruh asalnya untuk menyambung semula apa yang telah diperjuangkan oleh kepimpinan parti itu sebelum ini. In sha ALLAH. - Wan Haron Wan Hassan 
Tumpang sekole.

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena