Thursday, 25 October 2018

[Video Pelawaan nakal...UmnoBN dah TERSUNGKOQ baru nak pelawa pulak] Najib, Irwan didakwa PECAH AMANAH RM6.6 bilion! Liat juga nyawa Umno parti kleptokrat ni.

Khamis, 25 Oktober 2018
Foto Suara Rakyat.
Pihak pendakwaan memohon Najib & Irwan diikat jamin RM3 juta seorang.
Bagaimanapun peguam bela Najib Shafee Abdullah membantah ATAS ALASAN..

1) Najib sudah bayar ikat jamin sebanyak RM4.5 juta bagi dakwaan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini,

2) Najib tidak berisiko tinggi untuk melarikan diri.

Di kala UMNO merintih dan merayu

Pada tahun 50 Sebelum Masihi, Julius Caesar berjaya menawan wilayah Gaul setelah melancarkan kempen peperangan selama tujuh tahun ke atas kaum Celtic itu. Antara faktor kemenangan mudah Caesar ialah perpecahan dalam kalangan puak-puak Gaul. Hatta upaya raja Vercingetorix (yang sangat terlewat) untuk menyatukan kaum Gaul itu juga gagal.
Vercingetorix akhirnya mengalah dalam Perang Alesia, menyerahkan dirinya sebagai gantian demi menyelamatkan angkatan tenteranya. Raja malang ini dipenjarakan oleh Caesar selama lima tahun sebelum akhirnya dibunuh.
Pembunuhan Vercingetorix juga bukan biasa-biasa. Dia diarak mengekori kereta kuda Caesar, menuju kuil Jupiter dalam upacara khas meraikan kemenangan Rom dalam kempen Gaul itu. Dengan wajah diwarnakan merah menyala, Julius Caesar menawarkan korban manusia kepada dewa-dewa Rom, dengan menjerut leher raja Gaul itu sehingga mati.
Acara ‘triumphus’ itu diadakan buat Caesar meraikan kemenangannya, dengan mengorbankan pihak lawannya yang kecundang; sepertimana fitrah perang politik di mana-mana. Caesar hidup, Vercingetorix mati.
Minggu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rasminya kembali ke Dewan Rakyat, mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson. Beliau bergambar bersama Tun Dr Mahathir Mohamad. Sambil berjabat tangan, kedua-duanya nampak gembira seolah-olah konflik dua puluh tahun lampau langsung tidak pernah terjadi.
Tiga hari kemudian, Anwar sekali lagi muncul dalam satu bingkai bersama Mahathir. Berjalan beriringan bersama-sama menuju Dewan Rakyat bagi pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11. Sekali lagi, kedua-duanya kelihatan bagai pinang dibelah dua.
Rumah tangga Pakatan Harapan nampaknya kian tersusun dan teguh. Entah barangkali tiga pilihanraya lagi pun belum mungkin bergoyang. Berlainan halnya dengan rumah tangga Barisan Nasional dan United Malays National Organisation.
Pada hari yang sama, mantan timbalan perdana menteri merangkap mantan sahabat baik Anwar Ibrahim dibawa ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya dihadapkan dengan 45 pertuduhan di mahkamah pada keesokan harinya.
Liat nyawa UMNO
Sukar untuk tidak melihat bagaimana UMNO berantakan susulan 45 pertuduhan tersebut. Meski pimpinannya gigih menegaskan bahawa UMNO tidak tergugat barang sedikit pun, kita yang sudah mengenali parti itu sejak sekian lama pastinya boleh membaca. Mustahil mereka tidak bertikam dan saling menindih satu sama lain, untuk mendaki tangga politik parti yang kian goyah ini.
Namun begitu, seperti lagu enjit-enjit semut; siapa sakit akan naik atas. Yang digigit akan cuba naik ke atas untuk menggigit yang lain, dan begitulah seterusnya. Tidak sampai satu hari, Tok Mat Hassan dilaporan media sebagai berkata bahawa Ahmad Zahid mungkin perlu berehat.
Permainan tikam menikam dan gigit menggigit ini akan berlarutan; paling kurang untuk satu tahun lagi, sementara menunggu senarai panjang pimpinan UMNO diheret ke mahkamah seorang demi seorang. Ini secara berkesan akan melemahkan struktur parti kleptokrat tersebut, sambil dengan cemerlang meminggirkannya ke bahagian nota kaki sejarah, sebagai sebuah parti yang membunuh dirinya sendiri akibat sikap tamak haloba terhadap kuasa dan pangkat.
Anggota dan penyokong UMNO malahan sampai terpaksa merayu supaya salah silap pimpinan mereka tidak diambil tindakan. Mereka mendesak kerajaan agar tidak melakukan ‘politik balas dendam’ dan menggesa kerajaan Pakatan Harapan menjalankan tugas mentadbir kebajikan rakyat, ketimbang terus mengambil tindakan undang-undang ke atas pimpinan parti mereka.
Desakan dan gesaan ini sebenarnya adalah rintihan di lubuk hati yang paling dalam. Meski berbunyi marah-marah, terpekik-pekik soal kezaliman, keadilan, hatta reformasi. Gerombolan kalah pilihanraya ini ternyata terpaksa merayu simpati kerajaan agar janganlah diapa-apakan pimpinan parti mereka.
Ini pengakhiran yang sangat menyedihkan bagi sebuah parti yang tidak sampai setahun lalu mendabik dada sebagai parti keramat yang akan hidup seribu tahun lagi. Syukurlah rakyat telah membuat keputusan berani dan bijak untuk membakulsampahkan United Malays National Organisation pada bulan Mei lalu.
Rakyat menang, UMNO kalah
Kemenangan rakyat itu nyata telah membuatkan UMNO tertunduk tewas, seperti yang dilihat sendiri Menteri Industri Utama, Teresa Kok di Parlimen minggu sudah.
Najib Razak, katanya, langsung tidak panggung kepala melihat Tun Dr Mahathir berucap. Najib mungkin malah belum lagi pernah berucap ke muka Mahathir di Dewan Rakyat. Malu barangkali, setelah tewas di tangan orang yang dirasakannya boleh ditewaskan dengan taktik-taktik kotor sebelum PRU14.
Sepanjang tempoh pertembungan kumpulan Mahathirista dengan kumpulan yang menjulang bontot Najib Razak sejak pertengahan 2015, kita telah menyaksikan percubaan demi percubaan dilakukan untuk melemahkan Parti Pribumi Bersatu pimpinan Mahathir. Percubaan itu berkemuncak dengan ‘pembubaran’ Bersatu oleh Pendaftar Pertubuhan. Ini setelah semua suara menentang kleptokrasi Najib dalam rejim lampau dilengser, dipecat dan dibuang jauh-jauh.
Pasca 9 Mei, pendaftaran Bersatu dipulihkan, selain pendaftaran Pakatan Harapan sebagai sebuah parti politik yang sah.
Dalam tempoh lima bulan sahaja, semuanya sudah terbalik. Dan kini ahlul bait Zahid Hamidi dan Najib Razak pula mengambil peranan sebagai mangsa politik kerajaan. Peranan yang 20 tahun lalu enggan diterima Zahid sendiri, apabila berpaling daripada gerakan Reformasi dan kembali ke pangkuan UMNO.
Bezanya, 20 tahun selepas gerakan Reformasi, rakyat Malaysia sudah boleh memeriksa sendiri bukti dan keterangan di hujung jari masing-masing. Sukar untuk menyamar sebagai mangsa apabila bukti sudah terang-terang berada di mata; tinggal masa untuk diuji di mahkamah sahaja.
Di saat ini lah UMNO merintih sayu. Melihat senarai pertuduhan terhadap mantan presiden dan isteri, serta kini terhadap presiden yang mungkin sahaja bakal digulingkan; tidak hairanlah kenapa Elly Suriati pun tak tentu arah dibuatnya.
Inilah bibit-bibit sakaratul maut United Malays National Organisation yang bertahun-tahun telah kita nantikan.
Namun seperti ada makhluk yang menghalang. Liat betul nyawa parti kleptokrat ini bergelut dalam kemabukan menuju hujung nyawa. Barangkali perlu dibuka atap bumbung PWTC, sambil tengkuk UMNO dijerut perlahan-lahan menerima takdir kekalahan. Sepertimana fitrah setiap kesudahan peperangan. – Roketkini.com
*Tulisan ini terlebih dahulu disiarkan di portal The Malaysian Insight

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena