Saturday 6 October 2018

[Video Khalwat, Dr M sokong kenyataan Mujahid & Wak Jahid cakap jumpa Penderma Arab? Dia punya SEMBANG FUHHHH] PM: Islam tak suruh panjat rumah orang cari dosa & Mungkin tiada lagi operasi antikhalwat di premis peribadi.

Sabtu, 6 Oktober 2018

PM: Islam tak suruh panjat rumah orang cari dosa

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini Islam tidak mengajar penganutnya untuk menceroboh ruang peribadi orang lain atas nama mencegah maksiat.
"Islam tak suruh kita pergi cari (dosa) orang, nak cari salah saja, tak suruh.
"Sampai nak panjat masuk dalam rumah orang apa semua, itu bukan Islam," Mahathir memberitahu pemberita selepas menyampaikan ucapan di suatu persidangan di ibu negara hari ini.
Perdana menteri diminta mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa awal hari ini yang menyebut dasar Islam Putrajaya akan berpegang dengan Islam yang "rahmatan lil alamin" (rahmat ke sekalian alam).
Dalam wawancara dengan The Star, Mujahid dilaporkan memberi bayangan akan mengakhiri operasi serbuan oleh pihak berkuasa agama bagi menyiasat laporan khalwat atau maksiat lain yang dilakukan secara tertutup.
Islam tak zalim
Ditanya penekanan Mujahid mengenai Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam itu, perdana menteri menjelaskan ia tergantung kepada taksiran seseorang dan Islam bukanlah suatu agama yang kejam.
"Islam tak zalim. Islam bukan soal potong tangan. Bukan itu.
"Terdapat banyak cara hukuman yang lebih ringan tetapi orang-orang ini mahu mengganggu orang lain, hendak potong tangan orang, penggal kepala, itu bukan Islam namanya," tegas beliau.
Beliau berkata dalam Islam tidak mudah untuk mengambil nyawa seseorang.
"Hak kita sebagai manusia memang agama mengambil berat tentang nyawa seseorang, bukan mudah hendak bunuh orang, potong kepala kerana perbuatan itu membunuh orang dan Islam melarang membunuh orang lain," katanya.
Pentadbiran mengenai hal ehwal agama termasuklah operasi antikhalwat terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.
Mujahid, dipetik wawancara The Star juga berkata beliau sedang cuba meyakinkan agensi-agensi supaya melaksanakan dasar Islam Putrajaya yang memmbawa rahmat ke seluruh alam.
Mk.

Mungkin tiada lagi operasi antikhalwat di premis peribadi

Jabatan agama Islam negeri-negeri mungkin tidak lagi menjalankan serbuan ke atas premis persendirian yang disyaki menjadi lokasi khalwat atau maksiat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof berkata pihaknya percaya apa yang dilakukan oleh orang Islam di tempat tertutup bukan urusan kerajaan.
"Katakanlah anda melakukan sesuatu maksiat secara peribadi, dalam ruangan peribadi, saya takkan masuk campur.
"Sebagai contoh mengambil arak salah untuk orang Islam tetapi kalau seseorang itu meminumnya dalam tempat peribadi maka di pihak kerajaan saya takkan campur tangan," katanya dalam temu bual yang disiarkan The Star hari ini.
Menurut beliau apa yang menjadi kebimbangan kerajaan ialah sesuatu tindakan atau kesalahan yang dilakukan di khalayak ramai sehingga mengganggu sensitiviti atau menyentuh isu perundangan atau jenayah.
Katanya jika keadaan itu berlaku barulah kerajaan akan masuk campur.
Katanya pihak berkuasa Islam bukanlah mahu menjadi polis moral tetapi kerana ingin memastikan ruang awam sentiasa terpelihara.
Berfikiran konservatif
Keadaan sama, kata Mujahid, berlaku pada kes-kes yang melibatkan insiden disyaki khalwat.
Menurut anggota parlimen Parit Buntar itu beliau berharap kejadian seperti memecahkan pintu premis bagi menangkap suspek khalwat tidak lagi berlaku pada masa depan.
"Isu penguatkuasaan ke atas kesalahan khalwat disalahgunakan dan dalam sesetengah kes, dieksploitasi.
"Penting untuk mereka (pegawai penguat kuasa) tidak campur tangan dalam ruang individu," katanya.
Mengakui tindakan membuat serbuan sebegitu terletak dalam bidang kuasa jabatan agama Islam negeri, Mujahid menjelaskan, beliau sedang berhubung dengan agensi terbabit untuk meyakinkan mereka supaya mengambil pendirian sama dengan Putrajaya.
Dalam temu bual itu Mujahid juga mengakui beliau berdepan tugas berat untuk mengubah imej kementerian yang diketuainya sekarang.
The Star kemudian memetik kenyataan Mujahid yang berhasrat mengubah pemikiran kakitangan kerajaan yang "berfikiran konservatif" dengan berhasrat mempertahankan Islam mengikut kefahaman mereka saja.
Pada masa sama katanya beliau perlu bertegas dengan prinsip Islam sebagai rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam).
"Naratif kami mengenai Islam akan diterjemah ke dalam dasar-dasar kerajaan, semua kegiatan perundangan Islam dan hubungan dengan agama lain.
"Kecintaan kepada Islam tidak mengancam kepentingan orang ramai atau perpaduan dan keharmonian negara," katanya.
Mk.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena