Wednesday 3 October 2018

[Video Kali Ke-4 Najib Dipanggil Beri Keterangan kes 1MDB & PAS mohon kes kelayakan Anwar didengar segera] 1MDB: Bukan bongkar laporan lama, tapi siasat semula secara terperinci.

Rabu, 3 Oktober 2018

1MDB: Bukan bongkar laporan lama, tapi siasat semula secara terperinci

Adakah Pengerusi PAC Ronald Kiandee tersalah faham akan tujuan dan maksud usul Parlimen mengarahkan PAC untuk menyiasat semula skandal 1MDB secara terperinci?
Usul Parlimen yang disokong sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen dan diluluskan pada bulan Ogos lalu mengarahkan PAC untuk “melaksanakan semula siasatan terperinci ke atas skandal dan pengelapan wang 1MDB dan syarikat berkaitan bertujuan untuk mengembalikan maruah Dewan Rakyat; dan semua maklumat berkaitan harus didedahkan kepada orang awam”.
Dalam temu bualnya dengan New Straits Times semalam, Kiandee berkata PAC akan “membangkitkan semula dan membongkar (deconstruct)” laporan yang telah diselesaikan sebelum ini mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang “membersihkan” bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada mulanya, Laporan PAC pada Parlimen ke-13 yang sangat tidak memuaskan mengenai skandal 1MDB sebelum ini, tidak pernah “membebaskan” Najib daripada sebarang salah laku membabitkan skandal 1MDB – dakwaan yang berulang kali ditegaskan oleh Najib sendiri sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, namun tidak dapat dibuktikan.
Pada 25 Mac 2018, saya telah menghantar e-mel kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memintanya menetapkan perjumpaan baginya untuk menunjukkan kepada saya dan Setiausaha Publisiti DAP dan Ahli Parlimen PJ Utara (Kini Damansara), Tony Pua, di bahagian mana dalam Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB yang menyatakan bahawa beliau (Najib) dibebaskan daripada sebarang salah laku berkaitan skandal 1MDB yang telah mengubah Malaysia menjadi kleptokrasi global.
Saya berkata bahawa dakwaan Najib yang beliau kononnya telah dibersihkan daripada sebarang salah laku berdasarkan laporan PAC mengenai 1MBD adalah palsu dan tidak berasas, dan contoh terkini “berita palsu” yang dikarang dan dilancarkan oleh mereka yang berkuasa di Putrajaya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.
Saya juga bersedia untuk menurut kemahuan Najib dengan menyatakan bahawa jika beliau tidak dapat menunjukkan bahagian daripada Laporan PAC yang membebaskannya daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB, saya akan berpuas hati jika beliau dapat menunjukkan bahawa beliau telah dibebaskan oleh Laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB – yang tidak didedahkan kepada umum pada masa itu dengan alasan yang tidak masuk akal bahawa ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Tetapi tidak ada sebarang respons daripada Najib kerana beliau tidak dapat memetik bahagian mana daripada Laporan PAC atau Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang membebaskannya daripada sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB!
Ia adalah pemikiran dan mentaliti salah ahli parlimen dan pemimpin Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, apabila mereka menganggap bahawa Laporan PAC telah membebaskan Najib daripada sebarang salah laku skandal 1MDB, dan Kiandee perlu menyingkirkan pemikiran dan mentaliti yang salah itu jika beliau mahu memenuhi tanggungjawabnya sebagai Pengerusi PAC pada Parlimen ke-14.
Bagaimana PAC atau Ketua Audit Negara boleh membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB apabila PAC mahupun Ketua Audit Negara tidak mempunyai peluang untuk menyoal siasat Najib, mengambil kira peranan utama Najib dalam 1MDB?
Sekali lagi, adalah jelas bahawa jika Najib bukan Perdana Menteri, yang memberikan restu dan kuasa sepenuhnya kepada Jho Low untuk melakukan penyelewengan dan rompakan ke atas 1MDB, skandal 1MDB tidak akan berlaku dan Malaysia tidak akan pernah menderita dalam keaiban, rasa malu dan ketidakadilan apabila dianggap di seluruh dunia sebagai kleptokrasi global!
Kiandee sepatutnya sedar bahawa usul Parlimen yang dibawa pada Ogos lalu tidak pernah meminta PAC pada Parlimen ke-14 untuk “membangkitkan semula dan membongkar” Laporan PAC mengenai 1MDB yang dikeluarkan pada sesi Parlimen ke-13 yang lalu, tetapi sebaliknya untuk menjalankan siasatan semula secara terperinci ke atas skandal 1MDB – yang tidak dapat dilakukan oleh PAC pada Parlimen ke-13 ekoran halangan, kesilapan dan subversi keadilan yang dilakukan oleh agen-agen Najib dalam PAC dan Parlimen.
Laporan PAC dalam Parlimen ke-13 mengenai skandal 1MDB telah menghampakan Parlimen dan negara kerana gagal melakukan keadilan terhadap skandal kleptokratik terbesar dalam sejarah negara dan menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi global, yang aib, memalukan, dan tidak adil.
Jangan biarkan Laporan PAC mengenai skandal 1MDB pada Parlimen ke-14 mengikuti jejak langkah seperti yang berlaku pada Parlimen ke-13. – Lim Kit Siang
Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Gelang Patah pada Rabu, 3 Oktober 2018.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena