Wednesday 12 December 2018

[Video Pemimpin UMNO Sabah Nyatakan Hasrat Pada Tun M] Pemuda Amanah Nasional: Pendedahan Kewangan Tabung Haji perlu DISIASAT bukan DIBELA!

Khamis, 13 Disember 2018

PENDEDAHAN KEWANGAN TABUNG HAJI PERLU DISIASAT BUKAN DIBELA

Kenyataan Media Pemuda Amanah Nasional
1. Pemuda AMANAH memandang serius empat perkembangan terkini yang telah mencemarkan imej institusi Islam di Malaysia iaitu Lembaga Tabung Haji. Pemuda AMANAH juga kecewa kerana semua masalah yang telah dibangkitkan berkaitan Tabung Haji baru-baru ini telah timbul ketika pemerintahan Barisan Nasional, namun tidak diselesaikan malah telah disembunyikan. Ini dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat Muslim Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

2. Baru-baru ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa telah mendedahkan kepincangan kewangan Tabung Haji yang telah mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion. Beliau juga telah mendedahkan bahawa hibah ataupun dividen Tabung Haji telah diedarkan walaupun nilai liabiliti badan berkenaan jauh melebihi jumlah asetnya sejak tahun 2014. Perkara ini yang telah melanggar Akta Tabung Haji 1995, juga telah disahkan oleh laporan audit PricewaterhouseCoopers (PwC), salah satu syarikat audit terkemuka dunia.


3. Laporan audit PWC juga mendedahkan bahawa laporan kewangan Tabung Haji telah dimanipulasi untuk menunjukkan bahawa status kewangan badan berkenaan adalah sihat. Pada tahun 2017, Tabung Haji sepatutnya mencatatkan KERUGIAN sebanyak RM1.43 bilion namun ini telah dicatatkan sebagai KEUNTUNGAN RM3.41 bilion dalam laporan tahunan 2017 Tabung Haji.

4. Pemuda AMANAH menyokong tindakan YB Mujahid untuk mendedahkan secara terbuka salah tadbir yang berlaku dalam Tabung Haji ketika pemerintahan Barisan Nasional sebelum ini. Namun, amat mengecewakan apabila terdapat segelintir pemimpin agama di negara ini yang memandang rendah pendedahan kewangan Tabung Haji ini sedangkan ianya dibuat berdasarkan fakta yang kredibel dan konkrit. Pendedahan ini seharusnya disiasat segera oleh pihak SPRM tanpa perlu menunggu laporan rasmi oleh mana-mana pihak. Seharusnya, pemimpin agama bangkit mendesak pengurusan terdahulu Tabung Haji untuk bertanggungjawab dan bukannya membela mereka. Pendedahan ini bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa melalui media tetapi sebagai proses undang-undang yang telus dan bebas. 

5. Pada masa yang sama, Pemuda AMANAH juga menyelar Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang telah membidas YB Mujahid atas pendedahan terbuka tersebut. Saudara Asyraf gagal memahami pentingnya pentadbiran negara berasaskan prinsip ketelusan atau “transparency”. Skandal ini melibatkan salah tadbir urus berskala besar dan telah disembunyikan oleh pentadbiran yang terdahulu. Salah tadbir urus Tabung Haji ini perlu disiasat untuk mengetahui sama ada wujud unsur jenayah kolar putih termasuk pecah amanah dan rasuah telah berlaku. 

6. Pemuda AMANAH yakin pendedahan terbuka ini akan memberikan para pendeposit keyakinan yang baharu terhadap pengurusan simpanan mereka. Pemuda AMANAH mendesak saudara Asyraf, yang sebelum ini memegang portfolio Timbalan Menteri berkaitan agama Islam untuk menjelaskan apakah inisiatif yang diambil beliau untuk memantau kestabilan kewangan Tabung Haji walaupun Bank Negara telah mengeluarkan surat amaran pada Disember 2015 bahawa liabiliti Tabung Haji melebihi nilai asetnya. Apakah usaha pengurusan risiko atau “risk management” yang telah dicadangkan oleh saudara Asyraf kepada Tabung Haji ketika itu? 

7. Selain pendedahan YB Mujahid, Tabung Haji juga telah menyaksikan beberapa perkembangan lain baru-baru ini. Hampir dua minggu lepas, dua laporan polis telah dibuat oleh lembaga pengarah baharu Tabung Haji terhadap bekas pengerusi badan itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah, dan empat ahli pengurusan tertinggi Tabung Haji.

8. Laporan pertama adalah melibatkan program Yayasan Tabung Haji pada tahun 2017, di mana dana Tabung Haji sebanyak RM22 juta telah dilaporkan disalah guna untuk aktiviti berkecenderungan politik. Manakala, laporan kedua adalah membabitkan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting berkaitan penjualan 95% pegangan saham Tabung Haji dalam aset perladangan di Indonesia, PT TH Indo Plantations, pada tahun 2012. Pegangan ekuiti Tabung Haji dalam PT TH Indo ketika itu adalah menerusi dua subsidiarinya, TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd.

9. Berhubung laporan polis pertama iaitu salah guna dana Yayasan Tabung Haji sebanyak RM22 juta, ia dipercayai telah digunakan dengan sengaja untuk program-program yang memberi manfaat kepada kerajaan UMNO-BN terdahulu. Sebanyak RM7 juta daripada amaun ini telah disumbangkan oleh Tabung Haji, manakala bakinya, antara lain, datang daripada hasil sumbangan Kerajaan Persekutuan dan bayaran zakat beberapa syarikat korporat. 

10. Program Ziarah Kasih Ramadan (ZKR) yang telah dijalankan oleh Yayasan Tabung Haji menggunakan dana berkenaan, walaupun bertujuan membantu golongan asnaf, telah membabitkan parti UMNO secara terbuka dalam majlis penyampaian sumbangan. Program Yayasan Tabung Haji sepatutnya bebas daripada unsur politik dan bukannya sengaja dipolitikkan untuk manfaat UMNO. Pemuda AMANAH memandang berat penyalahgunaan institusi awam sebegini untuk kepentingan politik atau “political mileage” sesetengah parti politik yang tidak bertanggungjawab. 

11. Di samping itu, imej Tabung Haji juga telah tercemar dan integriti pengurusannya sebelum ini menjadi persoalan apabila Laporan Ketua Audit Negara terbaru telah menyatakan Tabung Haji gagal merekodkan rosot nilai atau “impairment” berjumlah RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam tiga syarikat subsidiari dan tiga syarikat bersekutu untuk TK2017. Ini secara jelas bertentangan dengan piawaian Malaysian Financial Reporting Standards. 

12. Pengurusan terdahulu Tabung Haji bukan sahaja gagal merekodkan rosot nilai berkenaan, tetapi juga tidak konsisten dalam melaksanakan polisi rosot nilai dalam proses perakaunan mereka. Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan bahawa polisi rosot nilai aset Tabung Haji telah kerap ditukar oleh pentadbiran sebelum ini. Kegagalan merekod rosot nilai Tabung Haji ini berkemungkinan bagi menunjukkan prestasi keuntungan yang lebih tinggi untuk menutup kepincangan tadbir urus badan ini.,Justeru, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan pihak SPRM bagi merungkai salah laku ini. 

13. Justeru, Pemuda AMANAH berharap pengurusan baharu Tabung Haji mengangkat tinggi nilai tadbir urus korporat atau “corporate governance” yang baik selepas ini supaya dapat memperoleh kembali keyakinan 9.3 juta pendeposit dan rakyat Muslim Malaysia secara menyeluruh. Pemuda AMANAH juga menyokong keputusan kerajaan untuk meletakkan Tabung Haji di bawah seliaan Bank Negara bagi memulihkan kewangan institusi Islam ini memandangkan Bank Negara mempunyai regulasi dan autoriti yang lebih ketat mengawal tadbir urus korporat badan ini.

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH

13 DISEMBER 2018

2 comments:

Lone ranger pomen said...

Biase la walaun, kalau ayat2 alquran Yg menegur perangai mereka. Buat bodoh je la. Kalau ade Yg berucap dlm ceramah mereka, menegur perangai lebai mereka. Bukan saja diusir, Malah kalau boleh nak ditendang jatuh Dari pentas. Ingat program pasal husam keluar pas. Dia kata husam takut. Bila kawan tu timbul. Dikata menganggu program memperbodohkan walaun mereka. Diusirnya Kawan tu. Betul la gamaknya cerita 90juta tu. Kalau tak, masakan lebai bermatian membela geng penyangak.. Melayu ni biasa la. Makan budi banyak sgt. Nak dilawan kang. Pecah lobang... Jadi ikut je La. Yg mangsa golongan walaun.

nick said...

Masalah walaun ni bukan apa cuma ingin menutup malu pemimpin2 PAS yang dah berpuas hati dengan kedudukan kewangan 1MDB dan tabung Haji. Skandal 1MDB dan Tabung Haji telah mendedahkan mereka sebagai lebai2 jahil yang tak tahu satu benda pun. Ini menyebabkan mereka mudah tertipu dan bila terdedah bahawa mereka senang ditipu maka bagi menutup malu dan menjaga air muka lebai2 jahil ni pun buat bising semata2 untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada kejahilan dan ketidakupayaan mereka ini untuk menguasai ilmu kira2, pelaburan dan ekonomi.

Lebai2 PAS sedar bahawa jika mereka dilihat sebagai orang2 jahil lagi tidak berkeupayaan dalam hal2 keduniaan maka mereka secara langsung juga tidak layak untuk jadi ahli politik apatah lagi untuk jadi pemimpin dan kerajaan. Reaksi PAS dalam skandal inilah reaksi biasa puak2 pandir bila terserlah kebodohan mereka cuba menutup malu dan kebodohan dengan berteriak datau bertakbir tak tentu hala. Sudah jelas bahawa PAS ini adalah Parti politik paling sengkek dalam Malaysia dan pemimpin2 mereka bukan sahaja tak layak jadi pemimpin kerajaan malah nak pimpin orang buta melintas jalan pun kena fikir dua tiga kali.

Nick.
Cape Tiger.

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena