Monday 17 December 2018

[Video Tidak Mustahil PH Tewas PRU15 - Nurul Izzah] Yang besar, yang kecil dalam konvensyen Amanah.

Selasa, 18 Disember 2018





Yang besar, yang kecil dalam konvensyen Amanah

Sekiranya terdapat kelemahan besar sepanjang berlangsungnya Konvensyen Nasional (Amanah) selama tiga hari mulai Jumaat lalu, perkara itu adalah proses perbahasan usul yang menimbulkan banyak tanda tanya.
Contohnya usul solidariti masyarakat Islam untuk menyelamatkan Tabung Haji.
Untuk apa usul itu susah-susah didebatkan sekiranya bertujuan untuk menyeru umat Islam menyokong usaha kerajaan menyelamatkan Tabung Haji?
Adakah terdapat mana-mana umat Islam yang tidak menyokong usaha tersebut? Apa perlunya usul ini dibahaskan? Kenapa ia diterima sebagai usul pada mulanya?
Bagi usul pembinaan semula ekonomi di bawah lembayung Malaysia Baru pula, pembentang banyak membahaskan masalah (misalnya harga komoditi utama turun, kos hidup melambung), lalu meminta kerajaan lekas-lekas menyelesaikannya.
Walaupun gesaan itu ada benarnya, tetapi ia kedengaran sangat klise dan tarafnya seperti komen-komen di Facebook atau YouTube saja.
Perbahasan paling sengit ialah terhadap usul perlunya konsep rahmatan lil alamin menjadi agenda utama negara. Ia memancing 12 perwakilan tampil membahaskannya.
Terus dibayangi PAS
Nasib baik speaker campur tangan dan menamatkan sesi perbahasan kerana faktor masa yang tidak mengizinkan.
Daripada 12 pembahas, lapan menyokong manakala empat membantah, memaksa undian dilakukan di kalangan perwakilan.
Tetapi itulah, sesi 'undian' berlangsung agak pelik. Speaker mengarahkan perwakilan yang menyokong supaya berdiri.
Selang beberapa saat kemudian speaker mengumumkan usul berkenaan diterima majoriti perwakilan tanpa perlu membuat kira.
Pada perhatian penulis, tidak sampai separuh pun perwakilan yang sempat berdiri semasa sesi 'undian' itu dijalankan. 
Usul Malaysia harus memainkan peranan proaktif memimpin masyarakat dunia bagi menghentikan krisis di Yaman pula adalah usul yang masuk akal - antara lain kerana menggesa gencatan senjata antara pihak yang terlibat.
Ia juga menggesa Arab Saudi menarik balik tenteranya dari Yaman.
Paling tidak, usul itu boleh dianggap sebagai suatu solidariti Amanah terhadap mangsa krisis di Yaman.
Satu hal yang sangat mencuri perhatian sepanjang konvensyen di Ipoh itu ialah, bagaimana sebahagian daripada Amanah masih dihantui oleh bayangan PAS.
Jika perwakilan mengambil pendekatan dua naib presiden parti itu - Dr Mujahid Yusof dan Mahfuz Omar - pastilah tidak mengapa.
Mujahid yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan sikap berpatah arang dengan PAS, manakala Mahfuz - timbalan menteri di Kementerian Sumber Manusia - mencadangkan PAS dibimbing supaya menyertai Amanah.
Masalahnya ialah, kebanyakan perwakilan yang berucap tidak ubah seperti orang yang baru putus cinta tanpa rela. Pada kesempatan yang ada mereka bermati-matian tidak mahu menyebut PAS sebagai PAS, sebaliknya merujuk parti itu dengan gelaran "parti silam" atau "parti lama".
Memang luculah, kerana PAS seolah-olah Voldemort di mata orang yang hidup dalam dunia magis Harry Potter.
Malah Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan, sampai perlu menyanyikan lagu Broery Marantika - Biarlah Bulan Bicara Sendiri - untuk membuat rujukan PAS (dengan beberapa kesalahan lirik).
Bersungguh-sungguh dia enggan menyebut nama PAS.
Biarlah bulan bicara sendiri
biarlah bintang 'kan menjadi saksi
takkan ku ulangi
hingga akhir hayat nanti
walau derita kutanggung sendiri.
Sany kemudian mengajak hadirin bernanyi bersama-samanya. Entah apa perlunya dia berbuat demikian.
Dengar teguran perwakilan
Keadaan itulah barangkali yang mendorong seorang lagi Naib Presiden Amanah Dr Hasan Bahrom - dalam ucapan penggulungannya - melahirkan rasa hairan dengan sikap takut-takut perwakilan Amanah menyebut nama PAS.
“Saya amat berterima kasih kepada orang sebelah saya ini, Datuk Mahfuz yang berani (menyebut dengan jelas): parti PAS.

"Apa yang kita nak takut? Parti lama, parti lama. Sebut sajalah (PAS). Sonang cerito,” kata anggota parlimen Tampin itu dalam loghat Negeri Sembilan, disambut tawa para hadirin.
Sekiranya sesi perbahasan mahu dijadikan kayu ukur kepada kejayaan Amanah kali ini, maka konvensyen di Ipoh itu pasti mendapat status "gagal" oleh pemerhati.
Pembahas tidak mampu mendukung isu-isu besar yang mereka sendiri usulkan.
Mujur sekali konvensyen Amanah itu diselamatkan oleh perkara-perkara kecil yang dizahirkan perwakilan sebelum tirai persidangan dilabuhkan.
Antara yang menarik perhatian ialah perubahan yang dibuat serta-merta Amanah selepas perwakilan menegur penyediaan hidangan makan yang dikelaskan di antara pemimpin dan orang biasa.
Selepas teguran dibuat, speaker terus mengarahkan urusetia konvensyen mengubah lokasi tempat makan pemimpin Amanah supaya disekalikan dengan perwakilan.
Begitu juga apabila masa ucapan pemimpin berstatus menteri dan timbalan menteri yang dilanjutkan bagi memberi ruang kepada mereka menjawab persoalan dibangkitkan perwakilan.
Pada asalnya, tiada masa khusus untuk mereka berbuat demikian.
Jawapan menteri pun tidak mengarut, terus kepada persoalan yang dibangkitkan perwakilan. Malah ada yang berani membayangkan tidak takut kalah pada pemilihan parti yang akan diadakan pada tahun depan demi prinsip. 
“Ada sahabat yang menegur saya mengatakan tahun hadapan (ialah) tahun pemilihan, saya tidak akan dapat undi mereka… tak apa.
"Biar saya kalah atas mendirikan prinsip menjamin kesihatan rakyat,” katanya Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Menteri Kesihatan.
Namanya 'panas' kerana membuat keputusan yang memanaskan hati ramai perokok.
Ada juga kenyataan menteri yang menimbulkan kontroversi, seperti Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad mengenai nabi pun pernah tak tunaikan janji.
Masa dapat keutamaan
Tetapi, agak mengejutkan (dan melegakan), apabila Menteri Wilayah Persekutan itu bersikap matang dan berjiwa besar kerana mengakui kesilapannya lalu memohon maaf tanpa banyak alasan.
Langkah Khalid itu ternyata berbeza benar dengan sifir sesetengah menteri yang suka melakukan pusingan U setiap kali ucapan mereka mengundang kontroversi, atau menyalahkan media kononnya tersilap lapor.
Dalam kenyataannya semalam, Khalid menjelaskan beliau tidak berniat langsung untuk menyandarkan kelemahan PH melunaskan manifestonya kepada peribadi Nabi Muhammad SAW, atau menuduh baginda memungkiri janji.
“Jika ada yang faham begitu, saya memohon maaf dan memohon ampun kepada Allah dan rasul-Nya itu.
“Apa yang saya ingin sampaikan adalah manusia hanya mampu berusaha. Namun bukan semua yang diusahakan akan dapat terlaksana dengan sepenuhnya,” kata Khalid. 
Mudah, bukan? Beri penjelasan, lalu memohon maaf. Tiada kata-kata seperti "media tersalah lapor" atau "media tersalah petik" seperti selalu kita dengar daripada mulut menteri lain.
Sikap Khalid itu setidak-tidaknya menunjukkan kerendahan hati seorang menteri dan rasa tanggungjawabnya terhadap kata-kata yang keluar daripada mulutnya sendiri.
Akhir sekali, ialah soal ketepatan masa yang sangat positif ditonjolkan pada konvensyen kali ini.
Konvensyen itu sehabis boleh cuba mematuhi masa yang mereka tetapkan dalam jadual. Biarpun pada hari pertama berlaku sedikit kelewatan, tetapi kemudiannya konvensyen berlalu dengan lancar.
Cuma pada hari terakhir konvensyen berlanjutan sehingga petang (sepatutnya tamat tengah hari) kerana memberikan ruang kepada menteri-menteri dalam kalangan parti Amanah untuk memberikan ucapan dan maklum balas terhadap isu dibangkitkan perwakilan.
Kelewatan atas sebab itu tidaklah menjengkelkan dan boleh diterima.
Di Malaysia, sukar sekali berjumpa dengan penganjur konvensyen yang begitu komited mahu menjaga masa terutamanya jika pesertanya ramai Melayu.
Jadi apabila kesungguhan itu ditemui dalam konvesyen Amanah - yang merupakan salah satu parti komponen PH - sedikit sebanyak omong-omong tentang ‘perubahan’ yang selalu dicanang oleh kerajaan sudah terzahir di depan mata.
Walaupun kecil, ia tetap bermakna, kerana fitrah dunia begitulah - perubahan besar bermula daripada perubahan-perubahan kecil.
Namun, Amanah perlu sedar, perubahan bukan sahaja boleh terjadi kepada perkara positif, tetapi juga negatif.
Contohnya, ada rungutan remeh-temeh yang timbul termasuk tentang bilik hotel yang didakwa sempit - sedangkan sebelum memegang kuasa dan jawatan, mereka tiada masalah tidur di masjid dan markas PAS. Ia ditegur oleh Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.
Itu pun perubahan juga. Perubahan yang kecil, tetapi hodoh.
Sebagai parti kerajaan jangan sampai perubahan kecil yang negatif itu dibiarkan subur hingga memberi kesan besar kepada parti - dan negara - pula nanti. 

M FAKHRULL HALIM ialah wartawan Malaysiakini yang membuat liputan konvensyen Amanah di Ipoh baru-baru ini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena