Sunday 16 December 2018

[Video Ahli Umno mengintai-ngintai Amanah - Mat Sabu] Sekali air bah, sampah datang melimpah.

Ahad, 16 Disember 2018
Sekarang pengundi boleh pangkah yg anda suka! Pangkah anda adalah rahsia.
Foto Otai BERSIH.
Boleh tandakan yang akan datang..

Sekali air bah, sampah datang melimpah

Penghijrahan ada ketikanya menjadi puncak kepada sesebuah perjuangan. Seseorang yang berjuang untuk membuat perubahan sentiasa menuntut hasil daripada penghijrahan.
Berhijrah kepada yang lebih baik ialah apa yang kita imani atas pelantar perjuangan ini. Malah dalam konteks politik demokrasi pergelutan untuk mengeluarkan rakyat ke kedudukan yang lebih baik ada cabaran tersendiri.
Inilah cabaran ketika kita mengajak manusia yang membuat kerosakan menjadi manusia membawa kebaikan. Penghijrahan itulah idealnya. Itulah tujuannya asalnya.
Kita mahu memperbaiki negara dan menjaga kebajikan rakyat.
Maka apabila berbondong-bondong pemimpin pembangkang mula mengisytihar diri keluar Umno untuk menyertai blok bebas lalu memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) sebelum menyertai Bersatu.
Kita pun mula mempersoalkan, mengapa penghijrahan itu mahu dihalang?
Mengapa kita terjentik dengan fenomena aneh ini? Semacam kita sedang berlanggar dengan idea kita sendiri - mengajak orang berubah dan apabila ada yang mahu berubah, kita menjadi gusar. Betulkah begitu?
Rompak depan hidung
Mari kita imbas semula mengapa kemenangan PRU-14 lalu menjadi begitu signifikan buat rakyat Malaysia dan saling berkait rapat dengan isu melompat ini.
Dari kisah pengundi di luar negara yang cuba dinafikan haknya mengundi melalui undi pos, logo PH dinafikan untuk digunakan, Bersatu cuba diharamkan, pemilihan parti DAP dipertikaikan, mengundi pada hari Rabu - ya, PRU pada hari bekerja - dan gambar calon perdana menteri diturunkan dari poster kempen adalah antara kekangan dihadapi.
Semuanya tidak lain hanya bertujuan mengekalkan sebuah parti yang hari ini satu demi satu wakil rakyat mereka melompat keluar.
Semua tindakan tersebut hanya bertujuan untuk mengekalkan satu-satunya pemimpin yang memalukan negara dan mempertahankan gerombolan mereka yang membiarkan dana awam dirompak di depan batang hidung. Tidak ada tujuan lain.
Malah mereka yang melompat ini dulu tidak sedikit pun bersuara membantah tindak-tanduk pemimpin mereka ketika itu. Puji-pujian melambung, adalah!
Tidakkah kita berasa begitu hina untuk menerima mereka yang seperti itu? Jika anda tidak, saya akui, sebagai pengundi yang benar-benar mengharapkan perubahan daripada kerosakan yang dilakukan oleh mereka itu, saya benar-benar terhina.
Maruah dan harga diri saya bagai disiat-siat apabila melihat dengan mudahnya kita menerima mereka yang melompat ini.
PH sepatutnya memperbaiki negara akibat kerosakan yang dibuat oleh mereka yang disokong oleh pemimpin-pemimpin yang melompat, bukannya mendepang tangan meraikan mereka.
Cebik pun tidak
PH mendapat sokongan termasuk daripada kalangan orang tidak berparti. Mereka memberi PH kemenangan bukan untuk kita menerima pemimpin yang melompat ini.
Pendirian kita harus keras dan tegas. Anda boleh nyatakan sokongan, namun cukup sekadar di luar gelanggang dahulu.
Takkanlah mereka boleh dengan tiba-tiba menjadi insaf dan baru menyedari segala kedurjanaan dibawa Najib Razak kepada negara walaupun berbuih mulut pemimpin PH melaungkannya dulu.
Garis yang memisahkan di antara hak dan batil masih sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.
Dasar ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat tidak pula dibantah oleh mereka etika itu. Mencebik pun tidak.
Takkanlah waktu itu mereka tidak membaca laporan-laporan media mengenai presiden sendiri, atau tidakkah mereka tahu lebih awal salah laku bekas presiden mereka tetapi memilih untuk mendiamkan diri sebelum PH membongkarnya?
Bagai hujan dan banjir
Atau adakah mereka sebenarnya menjadi cemas menyaksikan siri pendakwaan dan penangkapan ke atas bekas pemimpin mereka dan mula mencari dahan baru untuk berpaut?
Takkanlah kita menjadi terlalu naif untuk memahami ‘penghijrahan’ ini.
Bagaimana jika BN kekal di Putrajaya? Inilah persoalan besarnya.
Jangan ditanya mereka yang melompat akan persoalan asas ini, tetapi tanyalah diri anda sendiri. Apakah mereka yang melompat itu akan "hilang kepercayaan kepada Najib dan Umno" jika BN masih pada 9 Mei lalu?
Adakah mereka akan beramai-ramai menyertai Bersatu seperti hari ini jika BN masih kekal berkuasa di Putrajaya?
Malang buat Bersatu jika mereka gagal memahami sifir mudah ini. Adakah kuasa telah menjadikan Bersatu begitu naif, atau DNA Umno masih kuat membalut urat nadi parti Bersatu sehingga lupa hasrat pengundi pada PRU yang lalu?
Agenda perubahan yang kita peluk bukan sekadar menyebut-nyebut supaya kuat bekerja, walhal cara bekerja kuat itu dibuat dengan membelakangi mereka yang memberi kemenangan kepada kita.
Jika mereka boleh mengkhianati parti lama mereka yang sudah dikalahkan, tidak mustahil mereka akan mengkhianati PH di kemudian hari.
Mereka perlu belajar menerima erti kekalahan dan kita pula perlu memberi pengajaran supaya rakyat benar-benar faham kesungguhan kita mahu membuat perubahan.
Dan biarlah kerajaan PH menawarkan pilihan yang lebih baik pada masa hadapan.
Ya, keinsafan selalunya datang selepas malapekata yang menambat nafsu. Namun, keinsafan itu juga datang seperti air hujan dan banjir.
Walaupun ia hadir membersihkan tanah gersang kontang, tetapi ia datang bersekali sampah sarap yang hanyut bersama-samanya!

NOR MISWARY RAMLI ialah pengerusi DAP USJ, Subang Jaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena