Tuesday 18 December 2018

[Video SEMBUNYI KEROSAKAN Demi Lindungi Keaiban] Pendarahan Umno Sukar Disekat & Sudah mencapai tahap kritikal.

Rabu, 19 Disember 2018
Image result for Foto pesakit kritikal

Pendarahan Umno Sukar Disekat

A Kadir Jasin
PENDARAHAN Umno sudah mencapai tahap kritikal. Tanpa transfusi ia akan mati kekurangan darah atau menderita anemia yang teruk.

Barisan Nasional (BN) tidak perlu disebutkan lagi. Umno terlalu lemah untuk mempedulikannya manakala MCA mahu ia dibubarkan.
Kita pun tidak pasti lagi daripada 13 atau 14 buah parti ketika pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu, berapa buah yang masih tinggal. Rasanya tiga atau empat saja.

Setakat ini, mengikut kiraan organisasi media, seramai 17 ahli Dewan Rakyat, 2 ahli Dewan Negara dan 22 ahli Dewan Undangan Negeri Umno/Barisan Nasional telah mengumumkan keluar parti.

Beberapa orang daripada mereka telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi majoriti memilih untuk menjadi ahli bebas di Parlimen dan DUN.

Selain PPBM, dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang berkata mereka bersedia membuka pintu kepada bekas ahli Umno adalah DAP dan Amanah. PKR menyatakan yang ia tidak akan menerima mereka.

Sokong Dr Mahathir

Setakat ini, boleh dikatakan semua yang keluar Umno itu mengikrarkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ikrar sokongan mereka menguatkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, tetapi boleh menjadi masalah kepada PH.

Sudah ada di kalangan pemimpin PH yang tidak mahu mana-mana parti komponen menerima bekas pemimpin Umno.

Malah ada pihak dari dalam dan luar PH yang membuat kesimpulan bahawa ikrar sokongan kepada Dr Mahathir itu ada kaitan dengan kedudukan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri.

Bagi saya, yang lebih utama bukan sokongan kepada Dr Mahathir tetapi bagaimana Anwar meyakinkan kepemimpinan PH dan rakyat jelata bahawa beliau layak menjadi Perdana Menteri dari segala sudut dan pertimbangan.

Keadaan menjadi lebih tidak tenteram apabila anak reformasi, Nurul Izzah Anwar secara mengejut meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR yang dimenanginya semula dengan cemerlang bulan lalu. Beliau memberi alasan mahu menumpukan perhatian kepada reformasi.

Beliau juga meletakkan jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang dan jawatan dalam komiti Parlimen.

Dalam kenyataan peletakan jawatannya, beliau mengulas panjang lebar mengenai idealisme reformasi yang beliau perjuangkan sejak tahun 1998.

Ini mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai sebab tersirat yang menyebabkan beliau mengambil tindakan drastik itu.

Maladi Umno

Masalah dalaman Umno tidak dijangka selesai dalam masa yang singkat malah mungkin menjadi lebih buruk.

Ini bermakna kemungkinan ada lagi ahli Parlimen dan Adun Umno akan keluar parti, tidak boleh diketepikan.

Semakin banyak gesaan dibuat agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan Presiden atau bercuti sehingga kes mahkamah beliau selesai.

Tetapi beliau menegaskan hanya mesyuarat agung parti boleh menyingkirkannya. Buat masa ini kedudukan beliau selamat kerana proses memanggil mesyuarat agung memakan masa.

Ia melibat ahli akar umbi dan mengambil masa yang panjang untuk diadakan. Bayangkanlah kalau hendak mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pun liat, apatah lagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa.

Sebaliknya dalam tempoh itu Umno mungkin dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan kerana melanggar syarat dan perlembagaannya sendiri. Zahid pernah memberi amaran mengenai banyak cawangan parti itu yang tidak menghantar laporan tahunan.

Begitu juga kes mahkamah beliau. Ia pasti tidak akan selesai dalam masa yang singkat bagi membolehkan beliau membersihkan nama atau dijatuhkan hukuman.

Pada masa yang sama, tanpa pemimpin yang berwibawa adalah sukar bagi Umno mengekalkan sokongan ahli akar umbi.

Kecuali seorang dua, boleh dikatakan majoriti pemimpin yang masih tinggal adalah terdiri daripada jenis rebus tak empuk yang lantang bersuara tetapi cetek budi bicara.

Boleh Terima

Mana-mana parti anggota PH pun boleh terima masuk bekas pemimpin dan ahli Umno jika mereka mahu. Tetapi kemasukan mereka wajiblah bersyarat.

Yang terbukti bermasalah kerana terlibat dengan jenayah tentulah tidak boleh diterima apatah lagi bagi menduduki barisan kepemimpinan.

Mereka mungkin boleh diterima sebagai ahli biasa. Itu pun mereka masih perlu diingatkan tentang kesalahan atau kesilapan masa lalu mereka.

Orang lama dalam politik macam Dr Mahathir, Lim Kit Siang, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Anwar tentu kenal dan tahu siapa yang saya maksudkan itu.

Dalam keghairahan untuk menambah ahli atau menjadi hero parti, saya harap pemimpin parti-parti PH, khususnya PPBM, janganlah menjadi terlalu murah dengan menerima siapa saja yang hendak menjadi ahli.

Kaji dan fahami dulu latar belakang bekas pemimpin Umno yang hendak diambil dan dimuliakan itu.

Maaflah kalau saya kata, sudah ada bekas pemimpin Umno yang tak laku lagi di dalam Umno, tetapi diambil oleh PPBM dan diuar-uarkan sebagai kejayaan besar.

Saya mohonlah kepada mereka yang ghairah memujuk bekas pemimpin Umno masuk PPBM agar berhati-hati sikit bagi mengelak PPBM daripada menjadi parti murahan dan dalam proses itu melemahkan semangat ahli yang sedia ada, khususnya golongan muda.

Ingatlah, walaupun hari ini mereka keluar Umno dan menyertai atau menyokong kita, dulu mereka adalah musuh politik kita.

Sekarang mereka hendak menyertai kita kerana parti mereka sudah rosak dan kalah. Siapakah yang rosakkan Umno kalau bukan mereka sendiri? 

Kita wajib mengutamakan pemimpin dan ahli kita sendiri yang berjuang mati-matian dan mengambil risiko besar. Jangan sekali-kali kita menyusukan kera di hutan hingga anak di rumah mati kebuluran.

Jaga elok-elok orang kita sendiri sebelum kita menimang dan menatang orang yang mengetuk pintu kita hanya setelah kita menang.

Ada bekas pemimpin dan ahli Umno yang menyertai kita kerana keikhlasan tetapi ada juga kerana mencari peluang dan perlindungan.

Selepas tujuh bulan kita mentadbir negara, ke mana pun saya pergi, orang kita  bersungut mengenai orang Umno yang masih menguasai jentera akar umbi dan membolot kontrak kecil.

Jadi berwaspadalah. Kemenangan kita pada 9 Mei terlalu berharga untuk dikorbankan.

Wallahuaklam.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena