Saturday 25 March 2017

KERAJAAN UmnoBN masih gagal bela nasib polis! Selamat Hari Polis.

Sabtu, 25 Mac 2017
Foto Parti Amanah Negara.
Selamat Hari Polis
Daripada Parti Amanah Negara
Foto Dr Siti Mariah.
KERAJAAN UMNO-BN MASIH GAGAL BELA NASIB POLIS
25 Mac 2017
Saya mengucapkan Selamat Hari Polis ke-210 yang disambut saban tahun sebagai usaha untuk mengenang jasa dan pengorbanan anggota penguatkuasa itu yang banyak berkhidmat untuk memelihara keamanan dan keselamatan rakyat dan negara.
Ulangtahun yang menjangkau lebih dua abad ini juga menunjukkan betapa mendalam dan eratnya hubungan antara polis, rakyat dan negara sehingga terungkap kata-kata "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada".
Walau bagaimanapun, jasa dan pengorbanan yang sebegini hebat nampaknya tidaklah mendapat balasan yang setimpal oleh Kerajaan Umno-BN apabila masih terdapat pelbagai keresahan lama yang belum selesai ditangani sehingga sekarang.
Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini saya anggap cukup menghiris hati apabila beliau mengugut untuk mengambil tindakan drastik termasuklah membuang anggota polis daripada perkhidmatan sekiranya didapati terlibat membuat pinjaman di luar kemampuan.
Realiti polis yang berhadapan masalah kewangan yang meruncing nampaknya tidak mendapat perhatian yang baik oleh Kerajaan Umno-BN. Bagi Kerajaan, pinjaman yang dibuat oleh anggota polis adalah satu budaya 'tidak mengukur baju di badan sendiri'.
Polis seperti ditohmah kononnya berbelanja mewah semata-mata untuk memuaskan kehendak keluarga sahaja.
Pada pandangan saya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepatutnya membuat kaji selidik yang menyeluruh untuk menyiasat mengapa gejala berhutang ini menular dalam kalangan anggota tersebut.
Sebenarnya, polis tetap menjalani kehidupan seperti rakyat yang lain. Pendapatan yang diperoleh juga tidaklah begitu tinggi untuk mereka membina kehidupan yang selesa bersama keluarga.
Peningkatan kos sara hidup tidak mengecualikan mereka daripada turut menanggung azab sengsaranya. Keperluan keluarga dan persekolahan anak juga perlu dilunaskan.
Dalam keadaan ini, masih belum cukupkah untuk Kerajaan memahami mengapa bilangan anggota polis yang berhutang meningkat lebih tinggi?
Malah bukan sesuatu yang aneh lagi apabila muncul kes-kes jenayah lain yang turut melibatkan anggota polis terutamanya jenayah rasuah. Laporan-laporan seperti inilah yang akhirnya menyebabkan persepsi umum yang negatif terhadap polis masih sukar dipulihkan sehingga hari ini.
Lebih menyedihkan kawasan perumahan polis yang disediakan juga ada yang tidak sepadan dengan kedudukan mereka sebagai pihak berkuasa ditambah lagi infrastruktur yang tidak lengkap dan rosak. Keadaan kediaman ini adakalanya lebih buruk berbanding kediaman pekerja asing.
Adakah ini keadaan yang selayaknya untuk penguatkuasa seperti polis jadikan tempat tinggal selepas mereka berpenat lelah memastikan masyarakat dan negara boleh hidup dengan tenang dan selamat?
Apa yang mengecewakan, polis turut dilibatkan dalam urusan politik kepartian parti pemerintah. Tugas polis yang sepatutnya melindungi keselamatan awam sudah dialihkan kepada menjaga kepentingan parti pemerintah dengan bertindak menahan pemimpin parti pembangkang yang membongkar penyelewengan pihak Kerajaan.
Penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Umno-BN ini dengan menjadikan polis sebagai jentera adalah satu tindakan yang cukup memalukan bukan sahaja kepada negara bahkan kepada institusi polis itu sendiri.
Keadaan beginilah yang saya yakin menyebabkan polis masih dianggap sebagai salah satu institusi paling korup dalam negara seperti yang didedahkan oleh Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar pada 1 Mac lalu.
Saya masih optimis satu perubahan baharu dalam institusi polis ini boleh dilakukan, tetapi jika negara masih kekal di bawah pemerintahan Umno-BN, harapan itu sukar untuk dijelmakan.
DR SITI MARIAH MAHMUD
Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena