Friday 24 March 2017

[Video Tak Ada Sebab Nak Mempertahankan Najib] Lawan BN, bukan Sultan & Kini negeri yang termaju di Malaysia bukan ditadbir UmnoBN!

Jumaat, 24 Mac 2017

Foto Suara Rakyat.
TERKINI: Ribuan Bangsa Johor memenuhi ruang legar untuk membuat pendaftaran sempena majlis pelancaran Rumah Mampu Milik Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim, yang di lancarkan oleh DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di Galleria@Kotaraya, Johor Bahru.
Permohonan boleh dibuat melalui online di www.yayasansultanibrahim.org.my
Semoga rezeki berpihak pada kita semua. Aamiin~
Foto Suara Rakyat.

Foto Suara Rakyat.

Lawan BN, bukan sultan

ULASAN Ruang di Galleria, Kotaraya di Johor Bahru penuh sesak. Warga Johor berpusu-pusu datang. Semua itu membayangkan harapan tinggi rakyat untuk memiliki rumah.
Rumah adalah hak asas setiap orang. Sama seperti pentingnya makanan untuk mengisi perut, dan pakaian untuk menutup tubuh.
Seperti biasanya politik Johor, Umno-BN cuba mengambil kredit. Kita tahu rumah mampu milik yang dikenali sebagai “Rumah Impian Bangsa Johor” itu adalah atas inisiatif DYMM Sultan Johor bawah Yayasan Sultan Ibrahim. Di situ pun sudah jelas, dan tentulah usaha sultan mustahil terkait dengan mana-mana parti politik termasuk Umno-BN.
Perasaan kecewa rakyat Johor sudah terpendam lama. Ramai yang kebingungan apakah puncanya sehingga selama ini terlalu susah untuk dapat membeli rumah mampu milik di Johor? Tanda tanya itu sedikit terjawab apabila terdedah cerita wujudnya dakwaan pengkhianatan terhadap kuota rumah Melayu-Bumiputera beberapa minggu lepas yang melibatkan seorang exco Johor dan anaknya.
Sepertimana biasa apabila tersepit akibat kelemahan, kecuaian dan kegagalan sesuatu dasar atau program, Umno-BN akan cuba berselindung di sebalik tembok istana. Harapannya apabila ada suara penentangan, maka digambarkan penentangan itu ibarat “derhaka kepada sultan”. Padahal tidak!
Dalam temu bual dengan sebuah surat khabar perdana sehari sebelum sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, baginda sendiri tidak menafikan peranan pihak atau parti yang bertentang dengan kerajaan.
Titahnya begini, “Kalau negeri Johor ini tak ada pembangkang, tak adalah semak dan seimbang. Kadang kala saya letak diri saya pun sebagai ada kala saya hitam ada kala saya putih. Ini bagi memastikan menyemak dan menyeimbangkan kerajaan.”
Ungkapan itu telah menggambarkan mengenai fungsi dan pentingnya demokrasi. Baginda sendiri sedar untuk menjadi “hitam”. Bukan sahaja “putih”.
Demokrasi bukanlah hanya bermakna pergi mengundi lima tahun sekali, sedangkan di sepanjang lima tahun pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Tanpa demokrasi yang subur dan berkesan maka sukarlah rakyat untuk menilai setiap dasar dan program yang dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan.
Jadilah kita seperti Singapura, Korea Utara, Brunei atau barangkali juga negara-negara Arab yang tidak ada kebebasan sama sekali. Keterlibatan rakyat adalah sangat penting dalam sistem kenegaraan. Kewujudan sesebuah negara itu sendiri kerana adanya wilayah dan rakyat.
Kita juga selalu mendengar Sultan Johor atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga tak lekang mengkritik menteri persekutuan atau dasar-dasar Putrajaya termasuklah sistem cukai GST. Apakah ketika dengan kritikan yang kadangkala cukup lantang, maka telah berlaku penderhakaan kepada Malaysia atau Yang di-Pertuan Agong? Tentulah tidak!
Maklumat seperti air
Zaman ini bukan zaman pemikiran rakyat boleh ditutup dan diperbodohkan oleh media yang dikawal oleh kerajaan. Maklumat mengalir seperti air hujan ke hujung jari. Propaganda dan dakyah pemerintah akan segera diukur timbang dengan cepat oleh rakyat.
Tajuk muka depan sebuah surat khabar media perdana yang menerbitkan temu bual Sultan Johor itu wajarlah dipersoal, sehingga seakan-akan boleh menggambarkan sultan Melayu tidak memahami makna asas demokrasi.
Menjadi tanda tanya yang besar, apakah niat surat khabar kawalan BN itu membesarkan perkataan “berambus” sebagai tajuk besar di muka depannya?
Kalau surat khabar mempunyai seorang ketua pengarang dengan jiwa Melayu dan kebangsaan, dia tentu mempunyai sensitiviti dan akan memilih perkataan yang lebih sepadan dengan darjat istana yang tinggi tempatnya. Menghitam dan membesarkan sesuatu istilah yang tidak secocok dengan bahasa istana—walaupun disebutkan oleh Sultan—boleh pula mencela institusi raja-raja Melayu yang tinggi peradabannya.
Walaupun apa juga bentuk spin yang hendak diputar menjadi propaganda, perlu diingatkan bahawa ketinggian darjat raja-raja Melayu adalah lebih perlu dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia yang kasihkan bangsa dan negara.
Sungguh jengkel dan tidak bertanggungjawab sekali sekiranya institusi yang melampaui politik kepartian cuba digunakan dengan memberikan persepsi yang salah di mata rakyat bahawa kononnya raja-raja Melayu tidak memahami demokrasi dan berbahasa yang tidak secocok dengan bahasa istana.
Prinsip “raja berperlembagaan” sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan adalah suatu yang perlu dipelihara sebijaknya. Tidak boleh dicemar sama sekali.
Dalam perlembagaan yang sama juga membenarkan wujud parti-parti politik. Parti politik yang dibenarkan bukan sahaja Umno-BN. Parti lain juga punya hak sama untuk merebut kuasa di peringkat persekutuan dan negeri-negeri.
Satu masa yang lama dahulu, memanglah hanya Umno-BN yang menjadi kerajaan di semua negeri dan juga di peringkat persekutuan. Hari ini tidak lagi.
Sudah ada negeri-negeri yang ditadbir oleh gabungan parti yang bukan lagi Umno-BN. Mitos atau karut-marut bahawa hanya Umno yang tahu memelihara kepentingan orang Melayu, atau hanya BN yang tahu memerintah negara sudah pecah bercerai. Zaman itu sudah berakhir. Sudah jadi kenang-kenangan.
Kalau ditakdirkan selepas PRU ke-14 nanti Umno-BN kalah di Johor, mereka juga perlu menjadi pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang itu. Harapannya agar lebih baik daripada sekadar melakukan protes dengan tuala di depan bangunan SUK.
Ketika PAS menjadi satu-satunya parti yang mempunyai pemerintahannya sendiri iaitu di Kelantan, pentadbiran PAS selalu dikaitkan dengan kemiskinan. Kelantan yang miskin diejek-ejekan pemimpin Umno dengan dakwaan hanya mereka yang tahu memajukan negeri.
Mana propaganda, mana kebenaran?

Dakyah sedemikian ditaburkan berpuluh tahun lamanya sehingga masuk menjadi iman pemimpin Umno sendiri. Mereka sudah tidak dapat membezakan mana satu propaganda, mana satu kebenaran.
Sehinggalah apabila gabungan parti-parti bukan BN yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat mendapat sokongan rakyat untuk membentuk kerajaan baru di Pulau Pinang dan Selangor sejak 2008, satu lagi mitos dan karut-marut yang diciptakan Umno-BN berderai jadi debu.
Kini negeri yang termaju di Malaysia bukan ditadbir BN. Kawasan-kawasan bandar yang maju juga banyak yang sudah dimenangi parti pembangkang. Menjadi satu kebimbangan kepada Umno-BN apabila Selangor yang ditadbir gabungan parti bukan BN terus menjadi gedung ekonomi negara dan menyumbang sekitar satu perempat daripada KDNK Malaysia.
Usaha untuk gabungan parti pembangkang menang di Johor adalah usaha berdepan dengan BN. Kemenangan di Johor akan menyumbang kepada cita-cita 52 peratus pengundi dalam PRU lalu yang mahu menukar rejim kleptokrasi di Putrajaya. Semua itu sama sekali tidak mustahil.
Sekiranya tekad dan usaha untuk menggantikan presiden dan melakukan reformasi dalam FAM boleh dilakukan, usaha menggantikan kerajaan BN di Johor dan Putrajaya juga nampaknya semakin menjadi kenyataan.
Bagi mereka yang sering mendambakan perubahan, wajarlah kita mengucapkan jutaan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang berjaya menjadi presiden FAM yang baru.
Dirgahayu juga kepada DYMM Sultan Ibrahim Iskandar sempena hari keputeraan baginda. Allah peliharakan sultan.
Kepada Allah berserah.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena