Sunday 29 October 2017

[Video Rakyat Perlu Berubah Daripada Umno Kepada Pakatan Harapan] Bajet 2018 mengecewakan sektor swasta, kata MTUC.

Ahad, 29 Oktober 2017

Bajet 2018 mengecewakan sektor swasta, kata MTUC

Bajet 2018 mengecewakan sektor swasta, kata MTUC
MTUC berkata kerajaan sepatutnya menyelesaikan isu membabitkan isi rumah kumpulan B40 dan M40 kerana bajet yang inklusif sepatutnya memberi manfaat kepada semua golongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2017.

BAJET 2018 yang diumumkan hari ini mengecewakan bagi sektor swasta, sama seperti bajet tahunan sebelum ini, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Setiausaha agungnya J. Soloman berkata yang paling teruk ialah kerajaan gagal menangani isu besar dalam kumpulan B40 dan M40.
“Setiap tahun, bajet mengecewakan pekerja sektor swasta dan Bajet 2018 tidak ada beza pun.
“Kerajaan perlu ingat dalam ekonomi dunia sekarang, sesebuah bajet sepatutnya memberi manfaat kepada semua dan bukan pilih tertentu saja; dengan cara itu barulah ia benar-benar bajet inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Soloman berkata walaupun ramai yang suka dengan sesetengah cadangan dalam Bajet 2018, mereka hanya berharap pelaksanaannya efektif, dilakukan dengan adil dan sampai kepada kumpulan sasaran.
MTUC menyentuh lapan perkara dalam bajet itu yang berkait dengan pekerja, termasuk perumahan, kebajikan dan pemerkasaan wanita, perubatan, pengangkutan, penjagaan anak dan pendidikan.
Perumahan
Soloman berkata bajet kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion untuk rumah mampu milik dan kos rendah tidak cukup untuk membina 385,900 unit yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen hari ini.
“Jangka waktu untuk menyiapkan unit yang diumumkan itu juga tidak diperincikan.
“Mampu milik kekal menjadi isu dan aspek pembiayaan juga tidak ditangani.”
Kebajikan dan pemerkasaan wanita
Soloman memuji kerajaan dalam menangani isu wanita yang dipinggirkan selama bertahun-tahun ini dengan meningkatkan sehingga 30% jumlah penyertaan mereka dalam lembaga pengarah GLC, GLIC dan badan berkanun.
“Ini langkah yang baik dengan memberi tempoh masa yang akan dilaksanakan pada penghujung 2018. Ini selaras dengan syor Organisasi Buruh Antarabangsa.”
Soloman juga mengalu-alukan cadangan kerajaan mewajibkan syarikat swasta untuk menambah cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari.
“Memandangkan ini hanya satu cadangan, kami harap syarikat swasta akan ambil maklum perkara ini dan menjadikan ia satu polisi.
“Amat bagus kerajaan mengambil langkah membenarkan ibu hamil lima bulan ke atas pulang awal,” katanya.
Penjagaan kesihatan
Berhubung isu penjagaan kesihatan, Soloman berkata peruntukan RM27 bilion amat menggalakkan kerana rakyat kini boleh menggunakan hospital kerajaan, dan tidak perlu berbelanja besar di hospital swasta.
Pengangkutan
Soloman berkata walaupun mereka bersetuju dengan pemansuhan empat tol, tetapi tidak bersetuju dengan kawasan yang dipilih.
“Contohnya, di tol Bukit Kayu Hitam, iaitu sempadan di utara tidak menyelesaikan beban kos ditanggung orang ramai yang berulang-alik ke tempat kerja.
Katanya, rakyat Malaysia terutama isi rumah B40 dan M40 membayar jumlah besar dalam cukai langsung dan tidak langsung.
“Oleh itu, sistem jalan dan pengangkutan perlu menjadi tanggungjawab negeri dan tidak membebankan bayaran tol kepada rakyat.”
Taska
Soloman berkata ia langkah yang baik untuk mengarahkan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di semua bangunan baharu.
“Diharapkan ia akan memberi dorongan kepada majikan untuk menjadikan ia tanggungjawab moral terhadap kakitangan.”
Pendidikan
Soloman berkata peningkatan peruntukan untuk PTPTN tidak menangani isu semasa dihadapi sejumlah besar belia terutama daripada isi rumah B40 dan M40 yang masih berhutang.
“Bajet 2018 hanya melihat kepada diskaun bagi pembayaran balik. Itu cara untuk dapat semula hutang dan bukannya menyelesaikan masalah mereka.”
Pekerjaan
Soloman berkata mereka mengalu-alukan langkah untuk rakyat Malaysia mengambil pembantu rumah terus dari negara luar, dan tidak perlu melalui ejen.
“Cara pengambilan kerja langsung itu patut diperluaskan kepada semua pekerja asing.
“Tetapi kerajaan perlu menangani isu kebergantungan kepada pekerja asing.” – 27 Oktober, 2017.
The Malaysian Insight


0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena