Saturday 28 October 2017

[Video SHAFIE APDAL DISAMBUT OLEH RIBUAN RAKYAT SABAH SELEPAS DIBEBASKAN] Orang Sabah tak kenal Najib kalau saya tidak bantu, kata Shafie.

Sabtu, 28 Oktober 2017

Orang Sabah tak kenal Najib kalau saya tidak bantu, kata Shafie

Orang Sabah tak kenal Najib kalau saya tidak bantu, kata Shafie
Sebagai orang yang ada jasanya pada kerjaya politik Najib Razak, Shafie rasa dikhianati apabila dipaksa mengharungi pengalaman pahit ditahan SPRM minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2017.

SHAFIE Apdal mendakwa orang Sabah tidak terima Perdana Menteri Najib Razak kalau selama ini bukan beliau yang membantu memajukan politik Presiden Umno itu di Sabah.
Bekas Naib Presiden Umno itu berkata sebagai orang yang ada jasanya pada kerjaya politik Najib, beliau rasa dikhianati apabila dipaksa mengharungi pengalaman pahit ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), minggu lalu.
Di hadapan lebih dua ribu penyokongnya di Semporna, Shafie berkata pengalaman pahit itu tidak patut berlaku kepada seorang pemimpin yang juga sudah berkorban demi negara.
"Saya sedar bagaimana pahitnya adik saya diheret, bagaimana rasa isteri saya, perasaan anak saya. 
"Seorang pemimpin negara yang telah banyak berkorban demi negara ini. Pemimpin yang membantu menaikkan Datuk Najib dalam gelanggang politik di Malaysia. 
"Orang Sabah tak kenal Najib. Saya bantu dia untuk menjayakan politik dia di Sabah ini,” katanya disambut tepuk sorak para penyokongnya.
Shafie pulang ke kampung halamannya sehari selepas dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu setelah lapan hari ditahan reman.
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu ditahan reman sejak 20 Oktober lalu bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana kementerian itu antara 2009 hingga 2015. 
Dana berjumlah RM1.5 bilion yang didakwa diseleweng itu sepatutnya digunakan bagi tujuan bekalan air dan elektrik serta membuat jalan raya di Sabah.
SPRM turut menahan untuk membantu siasatan dua adik Shafie, Hamid dan Yusof, serta 12 yang lain, kebanyakannya pemimpin kanan Parti Warisan Sabah yang beliau pimpin sekarang. 
Shafie bagaimanapun berkali-kali meluahkan beliau tidak gentar dan redha segala tindakan dan cemuhan yang dilemparkan sejak keluar daripada Umno pada 4 Julai tahun lalu.
Malah beliau berkata Umno sebelum ini telah cuba memujuknya menerusi bapa saudaranya, bekas yang dipertua negeri dan ketua menteri Sabah Sakaran Dandai namun beliau memilih untuk terus menjadi pembangkang.
“Saya sedar dalam gelanggang politik ni dari awal lagi saya masuk nak bantu rakyat sebab saya nak jadi wakil rakyat. Saya bukan masuk bantu diri saya. Bukan juga masuk politik untuk bantu poket saya. 
“Saya boleh saja berdiam diri dan kekal dalam Umno. Ini diberitahu minta disampaikan oleh bapa saudara saya Tun Sakaran Dandai itu. Tapi saya berjuang untuk orang miskin. Kalau saya nak senang saya tetap di situ (Umno) saja,” kata beliau selepas mengucapkan peribahasa Bajau yang membawa maksud “susah nak jadi baik tapi senang nak jadi jahat”.
Pada 28 Ogos 2015 Shafie merupakan antara lima menteri kabinet yang digugurkan dalam senarai portfolio baru kabinet yang diumum Najib, selain Muhyiddin Yassin; G Palanivel;  Hasan Malek serta Ewon Ebin.
Beliau bagaimanapun dilihat lebih berdiam diri dan tetap menghadiri Perhimpunan Agung Umno hujung tahun itu walaupun tidak dibenarkan berucap.
Pengguguran beliau dan Muhyiddin dikatakan kerana kritikan terhadap 1MDB dan terbukti apabila kedua mereka bersama Mahathir Mohamad dalam forum khas di Kampung Baru pada malam 7 Disember 2015, sehari sebelum parti Umno bersidang.
Majlis Tertinggi Umno pada 24 Jun 2016 kemudiannya memutuskan Muhyiddin dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta kerana sepentas dengan pembangkang mengkritik pentadbiran Najib sementara Shafie Apdal digantung daripada jawatan naib presidennya.
Shafie mengumumkan keluar daripada Umno pada 4 Julai tahun yang sama sebelum muncul di pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 17 Oktober 2016 mengumumkan penubuhan Parti Warisan Sabah yang turut disertai Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking daripada PKR, Adun Likas Junz Wong daripada DAP serta Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia Peter Anthony.
Warisan mengambil alih sebuah parti kecil di Sabah yang ditubuhkan pada 2013. – 28 Oktober, 2017.
The Malaysian Insight.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena