Tuesday 31 October 2017

[Video Tun M: Tunggu minggu ni...] Protes senyap menanti BN di Kedah & PAS pun sokong Mukhriz.

Selasa, 31 Oktober 2017

Protes senyap menanti BN di Kedah


Protes senyap menanti BN di Kedah
Seorang penunggang motosikal di Kedah melewati bendera Bersatu, parti yang diterajui anak kelahiran negeri itu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamed. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Oktober, 2017.


WALAUPUN sudah lebih 18 bulan sejak bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir dipaksa meletakkan jawatan, MB baharu yang menerajui negeri itu pada masa ini masih berdepan masalah untuk memenangi hati pengundi muda.
Dan selain Mukhriz, MB daripada Barisan Nasional (BN), Ahmad Bashah Md Hanapiah terpaksa berdepan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga anak jati Kedah dan kini mengetuai Bersatu dan gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).
Tidak cukup dengan faktor penolakan itu, Umno juga tidak boleh bergantung harap kepada perpecahan undi pembangkang jika berlaku pertandingan tiga penjuru – antara BN, PH dan PAS kerana penyokong parti Islam itu cenderung mengundi Amanah dan Bersatu, dua parti yang membentuk PH bersama PKR dan DAP.
Pengundi muda negeri Jelapang Padi itu yang ditemui oleh The Malaysian Insight baru-baru ini mengeluh kerana Umno Kedah kini ketandusan pemimpin yang berwibawa dan boleh mereka percaya.
"Siapa pemimpin BN dan Umno yang boleh diharapkan," kata seorang anak muda yang hanya mahu dikenali sebagai Bob.
Beliau menyebut beberapa nama pemimpin Umno negeri dan menceritakan satu demi satu dakwaan salah laku dan skandal serta gaya hidup yang mencolok mata dan jadi buah mulut orang di Kedah.
“Pemimpin begini yang kita nak pilih sedangkan rakyat hidup susah.
"BN kalau letak calon apa sekali pun tidak akan dapat memenangi hati rakyat di Kedah lagi. Memang sekarang sangat jelas dan nampak pemberontakan dalaman ini," katanya yang ditemui di sebuah gerai di Kampung Langgar, Bedong, Kedah, baru-baru ini.
Protes senyap
Bob, 30, yang membuka perniagaan komputer, berkata protes dalaman senyap-senyap terhadap Umno ini bermula sejak Mukhriz tersingkir daripada jawatan menteri besar pada Februari 2016.
Katanya, rasa tidak puas hati itu semakin memuncak dari hari ke hari selepas rakyat melihat perbezaan antara Mukhriz dengan penggantinya, Ahmad Bashah.
"Kita boleh tengok jurang yang ditinggalkan Mukhriz semasa beliau jadi menteri besar dan kemudian diganti Ahmad Bashah, terlalu besar.
"Tengok pembangunan di Kedah. Masa Mukhriz dulu walaupun cuma pegang jawatan sekejap tapi pelbagai program dan pembangunan dilakukan. Beliau sangat pandang ke depan," katanya memberikan contoh projek tebatan banjir semasa pentadbiran Mukhriz.
"Tapi ketika Ahmad Bashah, beliau tahu masalah pemuda di sini ialah untuk membeli rumah, tapi mana skim rumah pertama yang dijanjikan untuk rakyat Kedah?
"Ia tidak pernah berlaku," kata anak jati Kedah itu.
Mukhriz menjawat menteri besar Kedah antara 2013 hingga 2016. Beliau dicalonkan sebagai menteri besar Kedah dalam strategi Umno menawan semula Kedah selepas kalah kepada PAS pada PRU12.
Selepas bapanya, Dr Mahathir lantang menyerang Perdana Menteri Najib Razak bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mukhriz didesak meletak jawatan kerana beliau juga cenderung tidak mempertahankan perdana menteri.
Kemuncaknya, Ahmad Bashah mengetuai sekumpulan pemimpin Umno Kedah menyatakan secara terbuka hilang percaya kepada kepimpinan Mukhriz pada 20 Januari, 2016. Dua minggu kemudian, Mukhriz letak jawatan selepas sah beliau hilang kawalan terhadap Adun.
Apa kata kaji selidik?
Ilham Centre, sebuah badan yang membuat kajian politik, mengakui adanya sentimen protes dalaman terhadap Umno di Kedah, berdasarkan kajian lapangan yang dibuat di negeri itu.
" Umno negeri lemah dan menteri besarnya, Ahmah Bashah tidak popular dalam kalangan rakyat Kedah mahupun orang Umno.
"Protes dalaman Umno akan berlaku, dan ia akan menguntungkan PH," kata Pengerusi Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar kepada The Malaysian Insight.
Menerusi kaji selidik di Kedah yang dijalankan pada Mei, Ilham Centre mendapati antara kawasan di mana Umno berdepan protes dalaman ialah Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Alor Setar, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Merbok.
Katanya, protes turut berlaku di Sik, Baling dan Padang Terap tetapi pada tahap minimum. Manakala di Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim Bandar Baru di daerah selatan Kedah, rekod menunjukkan pengundian ditentukan oleh pengundi kaum Cina.
"Saya rasa (Umno dan BN) ada penilaian tersendiri untuk mengukur keupayaannya di Kedah. Kalau mereka tidak dapat kesan sentimen ini, maknanya memang Umno bermasalah," katanya.
Bagaimanapun, katanya sentimen menolak BN saja bukan jaminan yang selesa untuk PH kerana ia mesti memberikan tawaran yang lebih baik kepada rakyat.
PAS pun sokong Mukhriz
Di Kampung Langgar, Bedong, dalam kawasan Parlimen Pokok Sena, Umno berdepan cabaran yang lain juga. Kawasan itu majoriti penduduknya penyokong tegas PAS.
Namun ada dalam kalangan penyokong PAS itu, apabila ditanya tentang Mukhriz, berkata anak Dr Mahathir itu seorang pemimpin yang baik semasa jadi menteri besar.
Muhammad Nasri, 53, berkata Mukhriz tidak pilih bulu dan menjaga kebajikan rakyat walaupun mereka tidak menyokong Umno dan BN.
"Saya rasa kalau Mukhriz bertanding, kalau dia yang gerakkan PH di Kedah, kemungkinan mereka menang adalah besar sebab kawasan sini semua ahli Umno dah hilang arah.
"Saya ini kalau benda betul, saya cakap betul, saya tak sorok," katanya. – 30 Oktober, 2017.
The Malaysian Insight

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena