Saturday 14 September 2013

Menilai kembali Tahaluf Siyasi - TOLERANSI BERLEBIHAN punca hilang sokongan Melayu? - Ustaz Harun Taib

Sabtu, 14 September 2013
Pengarah Multaqa, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib

PAS gagal meyakinkan pengundi Melayu?

ALOR SETAR: PAS gagal meyakinkan pengundi Melayu bahawa ia mampu memainkan peranan penting dan berkesan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan memelihara kepentingan Islam termasuklah dalam pelaksanaan syariat Islam di Malaysia.

Demikian kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Ustaz  Harun Taib sewaktu menyampaikan ucaptama di Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Menurut beliau, sikap toleransi berlebihan dan tidak berhati-hati PAS terhadap tawar menawar bukan Islam dan bukan Melayu juga amat meragukan pengundi Melayu terhadap kemampuan PAS dalam memelihara kepentingan mereka.
 
"Sekalipun undi Cina meningkat 14.1 peratus terhadap PAS pada PRU13 lalu, PAS tetap tidak akan dapat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya dalam parlimen.

"Adalah mustahil bagi PAS untuk terus berkembang selagi ia tidak mampu memperjuangkan haknya dalam Pakatan Rakyat bagi menambah memenangi lebih banyak kerusi parlimen, apatah lagi untuk PAS menjadi teras kerajaan Malaysia sekiranya Pakatan memerintah kelak," ujarnya.

Beliau berharap PAS Pusat segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali tahaluf siyasi.
 
Ketua Dewan Ulamak itu juga menyarankan kepada kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat agar memberikan ruang yang munasabah dan sesuai kepada golongan ulamak untuk turut serta dalam kepimpinan dan pengurusan kerajaan negeri.

Mutaqa Ulamak dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang dijadualkan sehari suntuk hari ini, menghimpunkan perwakilan ulamak dari setiap negeri.

Antara yang disenaraikan terbabit dengan ucapan, perbahasan dan wacana ialah Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mahfuz Omar, Naib Ketua Dewan Ulamak, Dato' Dr. Mahfodz Mohamad, Datuk Dr. Mohamad Khairuddin at Takiri, Dato' Dr. Johari Mat, Dato' Nik Zawawi Salleh, Ustaz Zaharuddin Mohamad, Ustaz Mokhtar Senik dan Dr. Ahmad Nazri Mansor.
Harakahdaily.

Ulama dilihat hebat secara zahir jadi alat musuh

ALOR SETAR: Ulama dilihat hebat secara zahir, tetapi tidak mempedulikan hal ehwal masyarakat Islam menjadi alat kepada musuh Islam, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Beliau menjelaskan, ulama yang bagus dan mengambil berat kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar.

Memetik kata-kata Imam Ghazali, katanya orang memusuhi lelaki memakai emas, tetapi tidak memusuhi pemerintah yang melanggar hukum Allah adalah ulama jahat.

Justeru, beliau menjelaskan lagi bahawa ciri ulama yang bersama dengan Nabi Muhammad s.a.w ialah yang bersikap keras ke atas kekufuran orang kafir dengan mempertahankan dasar Islam dan tidak menukar agama dengan dunia.

Mereka, ujarnya berkasih sayang sesama dengan orang beriman dan tidak suka berbalah sesama sendiri termasuk ketika ketiadaan musuh kerana mereka mahukan keredhaan Allah.

“Mereka yakin dengan janji Allah bahawa Islam akan menang, walaupun yang mereka cuba laksanakan dimusuhi oleh orang musyrik, kafir dan munafik,” jelasnya ketika berucap pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Jelas beliau lagi, golongan yang memusuhi Islam ialah orang yang jahil dan tidak kenal Islam, ulama yang jahat (ussu') yang menjual agama untuk kepentingan dunia, kerajaan yang mewarisi dasar-dasar kufur penjajah, orang-orang kafir, Yahudi dan Nasara.

Katanya, mereka tidak perlu masuk Yahudi dan Kristian, tetapi dasar Yahudi dan Nasrani diamalkan di dalam semua urusan kehidupan.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menerusi facebooknya mengucapkan selamat berultaqa buat semua para alim ulama, para asatizah dan ilmuan Islam yang menggabungkan diri mereka dengan PAS.

“Semoga multaqa ini benar-benar mampu memberi izzah dan meningkatkan prestasi ulama agar lahir ulamak yang haraki yang gigih berjuang, memimpin dan membimbing ummah ke arah mendaulatkan Islam di atas tanah air tercinta,” ujarnya.
Harakahdaily.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena