Faiz: Kerjasama PAS-Umno poligami yang ditolak rakyat
Pemuda AMANAH menyifatkan kenyataan presiden PAS yang tetap mahu meneruskan kerjasama politik dengan PKR tetapi pada masa yang sama mahu bekerjasama dengan Umno sebagai 'suatu poligami yang ditolak rakyat'.
"PAS tidak mampu berjuang bersendirian, justeru kerjasama dengan Umno adalah pilihan terbaik," kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil.
Semalam, dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan "tali silaturahim" kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
Najib, yang juga perdana menteri melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas "disepak dan diterajang keluar" oleh rakan-rakan pembangkangnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Faiz berkata pentadbiran negara sekarang yang diterajui Umno telah disokong PAS.
"Perhimpunan aman BERSIH 4 bagi menuntut pemulihan pentadbiran negara ditolak dan diperlekeh PAS. PAS juga menolak untuk mengundi di Parlimen bagi menolak bajet 2016. Begitu juga keengganan untuk mengangkat plakad 'Mana RM2.6 bilion' di Parlimen," katanya.
Menurut Faiz lagi, propaganda PAS bahawa Pakatan Harapan kononnya dipimpin oleh DAP, juga disambut presiden Umno dalam ucapan dasarnya, walaupun ianya tidak benar.
"Kedua-dua parti Melayu ini yang memainkan isu sentimen perkauman umpama pinang dibelah dua, sudah sepadan untuk bersama dalam satu bahtera baru politik tanahair," katanya.
Sehubungan itu, Faiz mengingatkan bahawa bukan Umno atau PAS yang akan menentukan nasib dan halatuju negara, tetapi rakyat.
"Rakyat yang akan memilih gabungan parti politik manakah yang mampu mentadbir Putrajaya dalam pilihanraya umum ke-14. Sepertimana kata keramat Anwar Ibrahim 'suara rakyat suara keramat'.
"Percayalah bahawa rakyat sudah bijak untuk menentukan nasib dan masa depan sendiri," kata Faiz.
Katanya, rakyat tidak akan mudah tertipu lagi dengan ucapan berdegar-degar pimpinan Umno termasuk Ketua Pemudanya untuk membela rakyat.
Sedangkan, tegasnya, keputusan kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan pengangkutan awam dan tol dibuat bersama di meja kabinet.
"Rakyat terutamanya kaum Melayu perlu dibela. Pakatan Harapan harus terus memandang ke hadapan untuk menyusun strategi yang lebih ampuh dan merangka dasar dan polisi terbaik yang mampu membawa agenda perubahan rakyat ini," katanya.
Mk.
0 comments:
Post a Comment