Wednesday 27 July 2016

Pemuda Umno dikritik berkait laporan polis berhubung 'Konspirasi Cubaan Guling Najib'...Zeti Dapatkan Khidmat Peguam.

Rabu, 27 Julai 2016


Cubaan Guling Najib: Zeti Dapatkan Khidmat Peguam

Bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sedang mendapatkan khidmat peguam selepas beliau diadukan kepada polis oleh Pemuda Umno siang tadi.

Ditanya wartawan berhubung laporan polis dibuat pemimpin pemuda itu, Zeti bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

"Saya tidak akan berkata apa-apa tanpa peguam saya," katanya di Kuala Lumpur malam ini.

Siang tadi Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dengan mendakwa Zeti terlibat dalam satu konspirasi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak serta kerajaan.

Turut dinamakan dalam laporan berkenaan ialah dua individu berprofil tinggi, iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam laporannya yang turut diperolehi Malaysiakini, Khairul Azwan berkata, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Gani dipetik Bernama malam ini menyifatkan dakwaan beliau terlibat dalam konspirasi berkenaan hanyalah muslihat untuk mencari publisiti.

"Dakwaan sembrono ini merupakan muslihat mencari publisiti tanpa asas," katanya.

Zeti ditemui di majlis makan malam perpisahan untuk Abu Kassim yang bersara secara rasmi daripada agensi pencegahan rasuah itu mulai 1 Ogos ini.

Pada 23 Jun lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa mengatakan Abu Kassim memohon supaya perkhidmatannya bersama SPRM tidak diteruskan.

Ali berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima permohonan berkenaan selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Abu Kassim, 55, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010.

Sementara itu ditanya wartawan, Abu Kassim pula memberitahu beliau akan membuat kenyataan mengenai laporan polis berkenaan kemudian.

"Saya tak mahu komen malam ini. Saya akan buat kenyataan esok," katanya.
BLM.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena