GEORGETOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RSN Rayer hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dalam ceramahnya di Jalan Delima, Island Glades Jelutong, di sini, dua tahun lepas.
Hakim Roslan Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, di akhir kes pendakwaan.
Roslan dalam penghakimannya berkata, perkataan yang digunakan oleh tertuduh  tidak membuktikan kecenderungan untuk menghasut.
"Umno bukanlah satu kaum, tetapi merupakan sebuah parti politik, dengan ini mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie dalam kes di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Rayer beri keterangan kenyataan berbaur hasutan]
Hakim itu turut melepaskan dan membebaskan Rayer yang juga seorang peguam daripada pertuduhan pilihan yang dihadapinya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana pihak pendakwaan turut gagal membuktikan elemen menghasut yang dibuat oleh tertuduh.
Pada 27 Ogos 2014, Rayer mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut pada ceramahnya di Taman Permainan Kanak-kanak, Jalan Delima Island Glades, Jelutong di sini pada pukul 10 malam, 22 Mei 2014.
Dia didakwa menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan.
Rayer turut didakwa atas pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli Umno dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh  memecahkan keamanan awam, di tempat dan pada masa serta tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau  kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala Rayer diwakili oleh barisan peguam diketuai oleh Gobind Singh Deo. - Bernama