Jamal bawa arak dan pecahkan depan pagar SUK Selangor
'Ini sebabnya saya bantah pesta arak'
Oleh DR SITI MARIAH MAHMUD
ULASAN | Saya bimbang melihat ada anggota parlimen bukan Melayu dan di Wilayah Persekutuan yang menyokong Better Beer Festival.
Saya fikir sebab utama bantahan mereka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah kerana mereka merasakan sedang mempertahankan hak orang bukan Islam untuk meminum alkohol, dan kerana pihak yang membantah pesta itu menggunakan hujah-hujah agama.
Islam melarang umatnya meminum alkohol tetapi tidak mengganggu hak orang bukan Islam untuk meminumnya.
Asas bantahan saya terhadap Better Beer Festival adalah ia merupakan satu pesta untuk menggalakkan budaya meminum arak.
Ketika ia pertama kali dianjurkan, festival itu tidak begitu popular dan jumlah kehadiran tidaklah tinggi. Tetapi sejak ia dipolitikkan, ada segelintir yang mahu menghadirinya hanya kerana membantah apa yang mereka rasakan sebagai usaha orang Melayu-Islam untuk menyekat hak, serta memaksakan nilai kepada orang bukan Melayu.
Seperti rokok, minuman keras membahayakan kesihatan.
Para doktor tahu bahawa ketagihan alkohol akan membawa kepada masalah sirosis hati dan sama bahaya dengan ketagihan dadah.
Masyarakat India di negara kita juga telah melihat kesan negatif ketagihan alkohol dan kesannya ke atas keluarga.
NGO mereka telah pun mendesak agar penjualan alkohol dikawal dengan lebih ketat, termasuklah minuman bir memandangkan hari ini lesen tidak diperlukan untuk menjualnya.
Anggota parlimen sekalian, adakah anda mahu lebih ramai warga bukan Melayu menjadi ketagih alkohol? Jangan beri alasan kandungan alkohol dalam bir adalah rendah dan tidak akan membawa kepada ketagihan. Anda salah sama sekali.
Jika setiap tahun diadakan pesta arak ini, ia hanya menandakan semakin ramai rakyat yang meminumnya. Pastinya industri arak akan meraikannya. Ia adalah tentang keuntungan.
Adakah anda akan gembira apabila semakin ramai yang mula minum arak sebagai aktiviti sosial (social drinker), tetapi kemudian akan membawa kepada kemungkinan ketagihan?
Saya bimbang apabila semakin ramai rakyat kita yang menjadi ketagih, serta kesan kesihatan dan sosial yang berkaitan dengannya. Kalau boleh pada masa akan datang, saya mahu penjualan semua bahan berbahaya dikawal sama seperti rokok.
Ini tidak bermakna orang bukan Islam tidak lagi boleh mendapatkan minuman sosial mereka. Tetapi apabila kita melakukan promosi, itu bermakna kita menggalakkannya.
Sebagai anggota parlimen, adakah kita mahu mempromosikan minuman alkohol? Saya faham pesta ini tidak melibatkan orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga rakyat kita.
______________________
SITI MARIAH MAHMUD merupakan Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) dan ahlli parlimen Kota Raja.
JAMAL TAK PEDULI UMNO MENANG ATAU KALAH DI SELANGOR, YANG DIKEJARNYA HANYA JAWATAN KETUA PEMUDA
Jamal Md Yunos, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar merangkap Ketua Gerakan Baju Merah tampil lagi dengan gimiknya untuk mengejar populariti, kali ini dengan memecahkan botol-botol minuman keras di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di Shah Alam.
Tindakan itu adalah sebagai protes terhadap Menteri Besar, Azmin Ali berhubung penganjuran pesta arak di Selangor.
Sebelum ini beliau sudah beberapa kali tampil dengan gimiknya seperti memecahkan meja dengan penukul ketika sidang akhbar sebagai bantahan terhadap judi haram, menyerbu pusat-pusat judi secara sendirian, membawa katil dan bertuala mandi juga ke pejabat SUK Selangor di Shah Alam.
Dalam semua tindakannya, Jamal memang menyasarkan Azmin. Sekali imbas ia terlihat seolah-olah beliau mahu membantu UMNO dan BN merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan.
Namun, aksi terbaru Jamal memprotes pesta arak dengan memecahkan botol-botol minuman keras di hadapan pagar Bangunan SUK dan kemudian membiarkan ia menjadi sampah yang tidak dikutip, bukan saja memperlihatkan ketidakmatangan dan kebudak-budakannya sebagai pemimpin dalam masyarakat yang berbilang kaum, malah menimbulkan ketakutan kepada bukan Melayu seolah-olah UMNO parti yang ekstrem tidak bertoleransi terhadap kaum-kaum lain.
Membantah pesta arak jika ia diadakan secara terbuka memang tidak salah, tetapi ia tidak seharusnya dilakukan dengan tindakan kasar seperti memecahkan botol-botol minuman keras dan meninggalkannya sebagai sampah di bangunan pentadbiran kerajaan negeri.
Politik adalah gerakan menggunakan akal, bukan semata-mata dengan tenaga dan kekasaran. Jika tenaga yang diutamakan, tentulah semua pemimpin dunia terdiri daripada ahli gusti, juara tinju dan ahli bina badan yang ototnya berketul-ketul.
Pas juga sebelum ini membantah pesta arak, tetapi cara mereka ialah dengan mengemukakan memorandum bantahan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya atau MBPJ, bukan dengan aksi seperti yang dilakukan oleh Jamal. Sejumud-jumud Pas pun nampak lebih cerdik daripada Jamal.
Malangnya, dalam konteks Selangor, kelulusan pesta arak itu belum pun lagi diluluskan. Azmin secara jelas menyebut, ia terserah kepada PBT menentukannya setelah semua syarat-syarat dipatuhi.
Dalam hal ini, sudah pasti antara syaratnya ialah ia mesti diadakan secara tertutup, tiada penyertaan orang Islam dan beberapa syarat yang lain lagi, malah dalam perkembangan terbaru MBPJ telah pun menolak permohonan penganjur setelah mendapat nasihat pihak polis.
Dalam masa yang sama, selain pesta yang sama sudah pun dilakukan sejak lima tahun lalu di Kuala Lumpur, tahun ini juga ia dilaporkan dibenarkan diadakan di Sarawak, Melaka dan Johor.
Kenapa kali ini saja bising? Mengapa Jamal hanya tumpu di Selangor saja?
Tapak politik Jamal ialah di Selangor dan beliau sebelum ini telah mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan akan datang. Untuk tujuan popularitinya dan kebetulan Selangor ditadbir oleh Pakatan Harapan dan Azmin, Jamal perlu menunjukkan beliau sebagai hero di negerinya sendiri.
Meskipun UMNO, BN dan seluruh kepimpinannya menyasarkan negeri Selangor yang kaya dan mempunyai rizab sebanyak RM4 bilion untuk dirampas kembali dalam pilihanraya akan datang, perlakuan dan gerakan yang ditunjukkan oleh Jamal jelas bertentangan dengan hasrat tersebut.
Jamal lebih ghairah mahu menunjukkan dirinya sebagai pejuang Melayu dan bagai tidak melihat realiti pengundi Selangor yang bercampur-campur. Sebab itu, aksi terbaru Jamal ini mendapat tentangan daripada MCA sendiri yang menyifatkannya sebagai aksi bodoh yang akan menghakis sokongan pengundi bukan Melayu kepada BN.
Melihat aksi Jamal yang ekstrem itu, sudah pasti pengundi bukan Melayu tambah tidak selesa dengan BN. Tingkah laku Jamal adalah gambaran kepimpinan masa depan BN yang menakutkan dan tidak toleran.
Tidak dinafikan aksi Jamal ini akan menyukarkan lagi hasrat Najib, UMNO untuk menawan kembali Selangor. Membawa Muhammad Mohd Taib kembali ke dalam parti itu yang kemudian menggandingkannya dengan Abu Hassan Omar dan Khir Toyo bersama-sama Noh Omar, nampaknya hanya menjadi usaha sia-sia jika pengundi bukan Melayu semakin menjauhi BN.
Lebih-lebih lagi kerana yang menyumbang kepada kesukaran menawan Selangor itu Jamal, seorang pemimpin di Selangor sendiri. Tetapi, beliau tidak peduli semua itu. Hasratnya bukan mahu melihat UMNO dan BN berkuasa semula di Selangor. Cita-cita sebenarnya ialah untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO selepas Khairy Jamaluddin.
Menjadi Ketua Pemuda UMNO lebih meningkatkan popularitinya berbanding jika Selangor kembali ke pangkuan BN. Kiranya UMNO dapat ditawan kembali oleh BN, yang dapat nama ialah Mat Taib yang kemasukannya ke dalam UMNO baru-baru ini diraikan dengan begitu meriah oleh semua pimpinan UMNO.
Mat Taib, malah akan mendakwa kerana peranan dan sumbangan beliaulah Azmin dapat dikalahkan. Sebaliknya Jamal tidak mendapat apa-apa dengan kembalinya Selangor ke tangan BN, malah mungkin semakin tidak penting. Sudah pasti tokoh-tokoh muda lain yang jauh lebih berpendidikan dan berkelayakan akan mengisi banyak jawatan-jawatan utama.
Sebab itu, jangan hairan jika Jamal terus dengan pelbagai aksi dan gimiknya lagi selepas ini yang secara terbuka akan menyinggung dan menyakitkan hati pengundi bukan Melayu di sebalik UMNO terus ghairah mahu menawan Selangor.
Bukan Melayu tidak penting bagi Jamal. Jamal hanya mahu mengejar dan mengekalkan popularitinya di kalangan orang Melayu kerana itulah tiket terbaiknya untuk menang jawatan Ketua Pemuda UMNO. (ShahbudinHusin 06/10/2017)
0 comments:
Post a Comment