Sunday 14 January 2018

[Video Shafie Apdal: Gandingan TERBAIK Semenanjung dgn Sabah Menumbangkan UmnoBN & PH Sedia Lakukan Perubahan Tolak UmnoBN] Hanya Dr Mahathir mampu selesaikan krisis hutang negara, kata Shafie.

Ahad, 14 Januari 2018


Hanya Dr Mahathir mampu selesaikan krisis hutang negara, kata Shafie

Hanya Dr Mahathir mampu selesaikan krisis hutang negara, kata Shafie
Presiden Parti Warisan Shafie Apdal bergambar bersama penyokongnya ketika program Bicara Pemimpin Warisan di Kota Belud, semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

SHAFIE Apdal memberikan sokongannya kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai bakal perdana menteri, berkata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu satu-satunya pemimpin yang mampu mengeluarkan Malaysia daripada krisis hutang semasanya.
Presiden Parti Warisan itu berkata kemampuan pemimpin berusia 92 tahun itu terbukti ketika beliau membantu Malaysia ketika krisis kewangan Asia pada 1997.
“Beliau tahu bagaimana selesaikan masalah negara. Dr Mahathir ada pengalaman. Kita tidak perlu tahu umurnya, tetapi kita masih perlukan pengetahuan dan pengalamannya yang membawa Malaysia keluar daripada perangkap hutang.
“Hutang negara semakin bertambah dan tunggu masa saja bila kerajaan tidak akan ada lagi kewangan untuk selesaikan hutang,” katanya di depan kira-kira 2,000 penyokong pada program “Bicara Pemimpin Warisan” di Kadamaian, Kota Belud semalam.
Dalam mendesak orang ramai melupakan dendam terhadap Dr Mahathir, Shafie berkata orang Sabah perlu melihat melangkaui dendam itu untuk membawa “perubahan besar” pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dr Mahathir dipersalahkan kerana menyebabkan Sabah dibanjiri pendatang haram dari Filipina dan Indonesia menerusi "Projek IC” di mana pendatang diberikan kewarganegaraan Malaysia.
Ramai warga Sabah masih percaya "Projek IC" dibuat bagi membolehkan pendatang asing mengundi untuk Umno pada 1990-an.
Presiden Parti Warisan Shafie Apdal berkata Dr Mahathir Mohamad tahu bagaimana selesaikan masalah negara kerana beliau berpengalaman luas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.
Presiden Parti Warisan Shafie Apdal berkata Dr Mahathir Mohamad tahu bagaimana selesaikan masalah negara kerana beliau berpengalaman luas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.
Shafie berkata bekas seteru Dr Mahathir seperti penasihat DAP Lim Kit Siang dan ketua umum PKR Anwar Ibrahim juga dapat mengetepikan perbezaan mereka demi matlamat lebih besar, iaitu menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Dr Mahathir kini yang mahu memusnahkan Umno, parti yang ditubuhkannya selepas Umno lama dibatalkan pendaftaran pada 1985.
“Lim ialah musuh Dr Mahathir dan Anwar individu yang dipenjarakannya ketika beliau jadi perdana menteri. Tetapi, mereka masih boleh menerimanya sekarang. Mereka juga menyokong beliau sebagai perdana menteri.
“Manusia buat silap dan Dr Mahathir sudah mohon maaf. Permohonan maafnya sudah diterima oleh Anwar dan Lim. Mereka terima permohonan maaf itu untuk Malaysia dan rakyat Malaysia, serta untuk perubahan terhadap rejim semasa,” katanya.
Bercakap tentang isu hutang, Shafie berkata itu sebabnya mengapa kerajaan BN melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), namun berkata tidak perlu melaksanakan rejim cukai yang regresif.
“Apa yang lebih penting, jika kerajaan dapat menguruskan kewangan negara dengan sempurna, tidak perlu ada GST, yang dikutip pada setiap peringkat sistem perniagaan,” katanya.
Shafie yang juga graduan ekonomi berkata ada mekanisme lain yang kerajaan boleh guna untuk menjana pendapatan.
Beliau ialah bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah sebelum disingkirkan daripada kabinet persekutuan pada Julai 2015 kerana mengkritik Perdana Menteri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau kemudian keluar Umno pada Julai 2016 untuk membentuk Warisan.
Warisan akan mansuh GST
Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna berkata jika Warisan membentuk kerajaan negeri Sabah, salah satu perkara yang akan dilakukan ialah memansuhkan GST dan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk mencapai sasarannya.
Bagaimanapun, sekali lagi beliau berkata Warisan tidak akan menyertai gabungan dipengerusikan oleh Dr Mahathir itu tetapi akan menyokong mereka untuk menjatuhkan kerajaan BN.
“Warisan parti untuk rakyat Sabah. Kami tidak terikat dengan mana-mana gabungan. Kami tidak akan menyertai PH. Saya tidak menandatangani apa-apa rancangan dengan Dr Mahathir.
“Saya sudah memaklumkan Dr Mahathir bahawa PH akan menyingkirkan BN di semenanjung dan saya akan melakukan yang sama di Sabah,” katanya.
Shafie berkata Warisan mempunyai matlamat yang jelas untuk mengubah Sabah seperti Sarawak di mana hanya parti tempatan mempunyai kuasa mutlak di negeri itu.
“Tun (Dr Mahathir) menawarkan saya jawatan naib presiden dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Tetapi saya tolak, saya mahu parti untuk rakyat Sabah. Cukup-cukuplah saya ikut Umno,” katanya.
Shafie sebelum ini berkata Umno Sabah tidak dapat membawa kuasa autonomi kepada kerajaan negeri kerana pemimpinnya tahu melakukan apa-apa yang akan menyinggung pemimpin parti. – 14 Januari, 2018.
TMI.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena