Friday, 3 November 2017

[Video POLITIK RASULULLAH & Tertinngal 'satu bundel borang Umno' di pejabat Ustaz Ahmad Fahmi] Itulah belanjawan (Bajet 2018) duit itu raja, dan raja duit adalah Najib.

Sabtu, 4 November 2017

Duit itu raja, dan raja duit adalah Najib


Belanjawan atau dalam bahasa Inggeris “budget” (baru-baru ini dimelayukan menjadi bajet) adalah kontrak di antara kerajaan di satu pihak dengan rakyat jelata di pihak yang lain.
Ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi di mana rakyat jelata memilih kerajaan dan membayar cukai untuk menampung pengurusan negara.
Rakyat jelata mengamanahkan pengurusan negara kepada wakil-wakil yang mereka pilih. Wakil-wakil itu pula tidak menjalankan tugas dengan percuma. Mereka dibayar gaji, elaun dan pencen.
Mereka tidak perlu berniaga untuk hidup selesa apatah lagi mencuri, menyamun dan melanun duit rakyat jelata dan aset negara.
Duit cukai yang dibayar oleh rakyat jelata itu juga adalah untuk mengurus dan membangunkan negara.
Justeru itu, segala duit dan harta negara adalah milik rakyat jelata. Kerajaan hanya menjalankan amanah yang dibagi oleh rakyat jelata melalui peti undi lima tahun sekali.
Setiap sen duit yang kerajaan belanjakan dan setiap inci tanah yang kerajaan jual adalah duit dan tanah negara yang dimiliki secara bersama oleh rakyat jelata.
Ia bukan duit Perdana Menteri atau Menteri kewangan.
Rakyat jelata mempunyai kuasa mutlak ke atas kerajaan melalui dua cara, iaitu dengan mengundi kerajaan yang mereka sukai dan membayar cukai bagi membiayai kerajaan yang mereka pilih itu.
Wakil rakyat dan kerajaan yang mereka pilih melalui peti undi itu sekadar memegang amanah dan menjalankan tugas saja.
Dalam sistem demokrasi macam yang kita amalkan, kuasa rakyat adalah mutlak dan mutakhir menentukan siapa memerintah dan mentadbir negara.
Ada YB Peduli?
Wakil yang dipilih itu adalah Yang Berhormat kerana pengundi dan rakyat jelata memberikan penghormatan kepadanya untuk mewakili mereka.
Yang Berhormat tidak dipilih untuk menjadi diktator, lanun, perompak dan pencuri. Mereka tidak sekali-kali dipilih untuk membuli dan memperbodohkan rakyat jelata.
Mereka sekadar memegang amanah rakyat jelata. Untuk itu mereka diberikan upah yang secukupnya oleh rakyat jelata dan pembayar cukai supaya dengan itu mereka tidak perlu mengemis apatah lagi mencuri untuk hidup selesa.
Maka dalam konteks dan landasan itulah kerajaan menyediakan belanjawan tahunan.
Belanjawan ada dua bahagian – hasil (revenue) dan perbelanjaan (expenditure). Sebahagian besar hasil datang daripada rakyat jelata dalam bentuk cukai.
Sejak dulu lagi rakyat jelata bayar cukai tetapi mereka tidak mengeluh dan membantah kerana cukai tidak membebankan dan tidak juga menyusahkan. Tetapi selepas Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015 rakyat menderita dan ekonomi jadi tak tentu hala.
Bala bencana zaman Najib tak payah kiralah. Satu demi satu bala bencana dan kesialan menimpa negara dan rakyat jelata. Kita tertanya-tanya, di manakah berkatnya?
GST Kebanggaan Najib
Sejak Najib perkenalkan GST dengan sokongan para YB BN, semua orang yang berbelanja, tidak kira dia seorang papa kedana atau Tan Sri yang berpendapatan beribu juta akan bayar kadar yang sama.
Rakyat biasa dan rakyat miskin merasa beban GST kerana cukai kebanggaan Najib itu tidak memilih bulu. Siapa berbelanja akan kena.
Najib sangat bangga dengan GST. Dia kata GST penyelamat negara. Saya tidak pasti sama ada negara selamat kerana GST tapi yang pasti GST sangat lumayan bagi Najib.
Dalam Belanjawan 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober lepas, Najib menganggarkan kutipan GST sebanyak RM43.8 bilion. Naik daripada RM41.5 bilion tahun ini.
Selain GST ada cukai lain macam cukai pendapatan, cukai korporat, cukai import, cukai eksport, cukai setem, cukai jalan, tarif dan macam-macam lagi bayaran yang rakyat jelata kena bayar. Mati pun kena cukai juga dalam bentuk cukai harta peninggalan.
Hanya sebahagian kecil saja hasil kerajaan datang daripada perniagaan macam yang dilakukan oleh Petronas, Khazanah Nasional Berhad dan 1MDB.
Petronas ditubuhkan pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak (1974) dan untung. Tahun 2016 keuntungan Petronas RM23.5 bilion.
Khazanah yang ditubuhkan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (1993) pun untung juga. Tahun 2016 keuntungan Khazanah RM1.56 bilion.
Tapi 1MDB yang berupa tsunami minda Najib rugi beratus juta dan dilanda skandal bilion ringgit sampai nak sediakan akaun tahunan pun susah. Dianggarkan RM39 bilion duit 1MDB lesap kerana kerugian perniagaan dan penyelewengan.
Tapi Peguam Negara pilihan Najib, (Tan Sri) Apandi Ali kata tak ada kes. Peliknya dalam tak ada kes itu, laporan Ketua Juruaudit Negara mengenai 1MDB diOSAkan. Parlimen pun tak boleh bincang. Kalau tak ada kes pasal apa berahsia?
Bagi tahun 2018, Najib menganggarkan hasil sebanyak RM239.9 bilion tapi dia bercadang belanja RM280.25 bilion.
Perbelanjaan ada dua bahagian. Satu perbelanjaan mengurus macam bayar gaji dan pencen kakitangan awam (termasuk menteri dan wakil rakyat), selenggara kemudahan awam dan bayar balik hutang kerajaan.
Satu lagi perbelanjaan pembangunan macam untuk bina jalan raya, MRT, sekolah, hospital dan beli peralatan tentera.
Dalam belanjawan 2018, Najib cadang belanja RM234.25 bilion untuk pengurusan dan RM46 bilion untuk pembangunan.
Perbelanjaan tahun ini naik 7.5 peratus pasal Najib nak guna duit cukai rakyat jelata untuk pancing undi. Akibatnya peruntukan pembangunan dibekukan pada kadar RM46 bilion.
Najib kutip cukai daripada rakyat jelata kemudian guna duit itu untuk sogok rakyat jelata supaya undi BN. Dia kelentong kita. Dia kata kerajaan bagi duit kepada rakyat jelata.
Bukan kerajaan bagi tapi kita sendiri yang bagi. Kita bayar GST dan macam-macam cukai lagi untuk tadbir dan bangunkan negara. Najib ambil duit itu untuk sogok kita supaya undi parti dia. Dia ingat kita bangang.
Persis Cash is King
Bukan itu saja. Tak cukup dengan bayar cukai, kita kena pula tanggung hutang yang banyak yang Najib ambil atas nama kita, anak dan cucu cicit kita.
Dalam Belanjawan 2018, kerajaan kurang duit sebanyak RM40.35 bilion pasal hasil berjumlah RM239.9 bilion tapi belanja RM280.25 bilion. Jadi kena hutang RM40 juta lebih.
Kerana percaya duit adalah raja (cash is king), Najib berhutang kiri kanan. Dalam zaman dialah hutang kerajaan naik melambung – daripada kira-kira RM200 bilion zaman Tun Dr Mahathir kepada RM685.05 bilion sekarang.
Untuk jadi Raja Duit (King of Cash), Najib cadang ambil 25 peratus daripada belanjawan 2018 untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang dia jaga.
Inilah keistimewaan Najib berbanding semua Perdana Menteri Malaysia yang lepas. Dia bolot kewangan negara untuk kukuhkan kedudukan dia di dalam parti dan kerajaan.
Kalau menteri mahu peruntukan tambahan silalah sembah Najib. Itulah dasarnya. Sebab itulah, (Datuk Seri) Shahidan Kassim dari awal-awal lagi kata Belanjawan 2018 adalah yang terbaik dalam dunia. Ampu jangan tak ampu.
Najib dengan penuh emosi kata Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi kawan dia sehidup semati sampai sebut dalam ucapan belanjawan.
Tapi bila sampai masa bagi peruntukan, dia bagi 6 peratus saja kepada Zahid.
Zahid ni bukan calang-calang orang. Dia keturunan Jawa. Dia TPM. Dia Menteri Dalam Negeri. Dia jaga polis. Dia pemangku Timbalan Presiden Umno. Tapi Najib bagi dia 6 persen saja.
(Datuk Seri) Hishammuddin Hussein, sepupu Najib yang jaga askar, dapat 7.3 peratus.
Najib berucap dekat tiga jam sampai berbuih mulut dan kering tekak janji itu dan ini, bagi duit kepada orang itu dan ini.
Tapi adakah kita sedar bahawa dia kurangkan peruntukan pendidikan dan latihan sebanyak 11 peratus daripada RM5.9 bilion kepada RM5.2 bilion?
Sebenarnya kalau kita dalami belanjawan Najib itu, kita akan temui banyak lagi mantera dan jampi yang tujuannya adalah untuk mengabui mata rakyat jelata kononnya dia simpati dan peduli sedangkan matlamat dia adalah memancing undi dan melincirkan peti undi dengan menggunakan duit rakyat jelata.
Itulah belanjawan “duit itu raja” dan raja duit adalah Najib.
Wallahuaklam. – Roketkini.com
*Dipetik dari blog Tan Sri A Kadir Jasin dengan tajuk asal, ‘Belanjawan 2018 Guna Duit Rakyat Pancing Undi’ (http://kadirjasin.blogspot.my/2017/10/belanjawan-2018-guna-duit-rakyat.html)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena