ADA YANG KENA ATAU SANDIWARA?
Felda dilaporkan telah mendapat kembali tanahnya yang sebelum ini dipindah-milik secara meragukan kepada Synergy Promenade Sdn Bhd, pemaju Kuala Lumpur Vertical City.
Perolehan kembali tanah itu berikutan persetujuan syarikat terbabit menyerahkannya kepada Felda secara sukarela.
Pemindakan semula tanah itu kepada Felda dilaporkan tanpa melibatkan sebarang kos.
Beserta berita gembira itu, Pengerusi Felda, Shahrir Samad juga mengumumkan bahawa Najib Razak tidak terlibat dalam pertukaran tanah Felda itu kepada Synergy Promenade Sdn Bhd.
Malah, katanya, PMO langsung tidak mengetahui mengenai pertukaran tanah tersebut.
Dengan Felda mendapat kembali tanah tersebut melalui penyerahan sukarela oleh Synergy Promenade Sdn Bhd kepada Felda dan Najib pula disahkan tidak terlibat oleh Shahrir, siapakah sebenarnya yang terlibat serta akan terus disiasat?
Adakah Isa Samad, bekas Pengerusi Felda dan bekas Pengerusi Felda Investment Corporation merupakan satu-satunya sasaran siasatan?
Bagaimana pula dengan syarikat terbabit yang sebelum ini memindahkan tanah Felda itu menjadi milik mereka melalui surat kuasa penuh yang diperolehi daripada Felda sendiri?
Masihkah mereka dianggap telah melakukan kesalahan seperti menipu dan memperdaya atau kedudukannya bakal menjadi saksi utama selepas setuju menyerahkan tanah itu kepada Felda?
Atau apakah dengan berjaya mendapatkan kembali tanah itu, akhirnya tiada sesiapa yang akan didapati bersalah, apalagi di dakwa meskipun audit forensik dan siasatan polis masih diteruskan?
Sandiwara apa pula kali ini agaknya?(ShahbudinHusin 15/01/2018)
0 comments:
Post a Comment