Sudah tiga kali pecah tanah, Hospital Balik Pulau baharu belum nampak bayang
Zolkifly ketika meninjau kawasan Hospital Balik Pulau baru-baru ini.
Pengundi di kawasan Parlimen Balik Pulau diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji manis yang akan ditaburkan oleh Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti.
Saranan tersebut dizahirkan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.
Menurut beliau, Hospital Balik Pulau (HBP) sedia ada umpama hospital tahun 1970an dengan hanya mempunyai 82 katil serta tidak mempunyai bilik wad yang spesifik.
“Tinjauan yang dibuat ke HBP juga mendapati ia sudah tidak dapat menampung keperluan penduduk sekitar kawasan Parlimen Balik Pulau.
“Apabila kemudahan tidak sempurna, penduduk kawasan parlimen ini berada dalam keadaan yang kritikal.
“Sudah tiga kali BN melakukan pecah tanah bagi membina hospital yang didakwa sebagai hospital yang akan mempunyai pelbagai kemudahan,” ujarnya.
Namun begitu katanya, apa yang dijanjikan hanya setakat janji semata-mata, tapi tidak akan menjadi realiti walaupun Balik Pulau diwakili sebelum ini oleh Timbalan Menteri Kesihatan.
“Cuba bayangkan penduduk yang mengalami kesakitan yang kritikal terpaksa mengambil masa selama satu jam untuk sampai ke Hospital Besar Pulau Pinang.
“Selain itu mereka terpaksa naik dan turun bukit dari Balik Pulau untuk sampai ke Georgetown dan amat menyukarkan.
“Negara mempunyai lebihan doktor, sebaliknya ia tidak mampu dimanfaatkan oleh kerajaan BN yang sedang memerintah,” tegasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan pemilik Hospital Bersalin Muslimah turut berkata, sepatutnya kerajaan sudah lama membina HBP setelah ia dijanjikan sejak dahulu lagi.
Malah katanya, adalah tidak wajar bagi BN cuba menabur janji sekali lagi, sedangkan janji yang lama belum mereka kotakan.
Oleh kerana itu katanya, menjelang pilihan raya umum yang begitu hampir, lebih 50 ribu pengundi di Balik Pulau harus bertekad supaya tidak lagi memberi mandat kepada BN.
Zolkifli ketika turun padang menemui pengundi keturunan Cina di Sungai Pinang, Balik Pulau kelmarin .
“Jangan beri sokongan sekali lagi kepada sebuah kerajaan yang telah memperagakan keperluan rakyat tanpa merealisasikan apa yang mereka janjikan sejak sekian lama.
“Sewajarnya mereka sedar kedudukan Balik Pulau dengan Georgetown adalah begitu jauh dengan perjalanan naik dan turun bukit yang amat merbahaya.
“Tetapi mereka memperjudikan harapan penduduk Balik Pulau dengan mencabuli apa yang mereka janjikan selama ini sehingga keperluan yang terdesak ini tidak menjadi kenyataan,” tambahnya.
Dalam pilihan raya umum ke 13 yang lalu, BN berjaya memperolehi sebanyak 22,348 undi dengan mengalahkan calon PKR yang mendapat sebanyak 20,779 undi bagi kerusi Parlimen Balik Pulau.
Manakala bagi kerusi Dun Teluk Bahang majoriti tipis sebanyak 801 undi yang dimenangi oleh BN bukanlah sesuatu yang sukar untuk PH merampas kerusi tersebut dalam pilihan raya umum kali ini.
MD.
0 comments:
Post a Comment