Azmin: Kenyataan Dr M boleh selesai tanpa campur tangan media
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina masyarakat Bugis dapat diselesaikan tanpa campur tangan media.
"Saya yakin perkara yang berbangkit antara Dr Mahathir dengan dakwaan kononnya beliau menghina masyarakat Bugis itu boleh diselesaikan secara baik, bersopan, tanpa campur tangan media," kata Azmin kepada pemberita.
Azmin berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam sebaik sahaja selesai sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2018 Selangor, hari ini.
Wakil rakyat BN dalam sidang medianya di lobi bangunan Annex DUN Selangor hari ini menyatakan akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Shukur Idrus berkata penyerahan memorandum itu dibuat selepas kecewa usul tergempar untuk membahaskan isu kenyataan Mahathir itu ditolak.
Mengulas lanjut berhubung langkah wakil rakyat BN berkenaan, ini jawab Azmin:
"Tak akan saya boleh halang, itu demokrasi. Siapa nak hantar, hantarlah," kata Azmin ringkas.
Pada 2 November lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui satu kenyataan menyatakan rasa murka terhadap kenyataan yang dibuat Mahathir dan menyifatkan ia cuba menghasut rakyat untuk membenci masyarakat Bugis.
Mahathir pula menjelaskan perkara itu dengan berkata kenyataan 'lanun Bugis' hanya ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bukannya seluruh masyarakat Bugis.
malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment