Pelik, Pas belum ambil tindakan ke atas Husam, kata Khairuddin
Adalah suatu yang pelik dan amat menghairankan apabila Husam yang didakwa melemparkan fitnah, tetapi sehingga kini Pas masih belum berani untuk mengambil sebarang tindakan terhadap beliau.
Sekiranya ini terjadi, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena sedang berlegar dalam pemikiran orang yang dituduh.
Demikian dinyatakan oleh Koordinator Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ketika ditemui di Kepala Batas semalam.
Jelas beliau, isu menerima dana daripada Umno seperti yang dinyatakan oleh Adun Salor, Datuk Husam Musa sebenarnya harus dicabar oleh Pas.
Dakwaan pimpinan Pas menerima dana daripada Umno seperti yang dinyatakan oleh Adun Salor, Husam Musa sebenarnya harus dicabar oleh Pas, kata Khairuddin.
Malah katanya, yang lebih mencelarukan pemikiran apabila Pas terpaksa berdiam diri dan tidak berani untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Husam.
“Husam adalah seorang pemimpin yang konsisten dan sedar Pas akan berdolak-dalik dengan pelbagai alasan dalam isu dakwaan dana tersebut.
“Sebagai sebuah parti yang dikatakan mempunyai maruah, Pas harus berani mengambil tindakan bagi membersihkan nama mereka yang telah pun tercalar.
“Seandainya mereka tidak berani mengambil apa-apa tindakan, sudah pasti persepsi masyarakat mengatakan dakwaan Husam tersebut ada asas kebenarannya,” ujarnya lagi.
Khairuddin juga berkata, adalah sukar bagi Pas untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Husam kerana ia mempunyai bukti yang tidak boleh dipadamkan.
“Jika ada tuduhan yang didakwa tidak berasas, maka Pas seharusnya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang dengan segera.
“Bak kata pepatah Melayu, berani kerana benar, takut kerana salah.
“Oleh itu, pimpinan tertinggi Pas mestilah berani untuk menetapkan pendirian mereka dan membuktikan bahawa dakwaan tersebut selama ini adalah fitnah yang direka atau sebaliknya,” tegasnya lagi.
Beliau juga berkata, dakwaan berani Husam dengan menyatakan bahawa ia mempunyai maklumat mengenai penerimaan dana Umno oleh Pas setelah melihat sendiri bukti tersebut bukan satu perkara enteng.
“Hadi mesti tampil ke hadapan dan bukan hanya setakat penafian semata-mata. Buktikan dengan jelas bahawa apa yang didakwa oleh Husam itu tidak benar.
“Pimpinan tertinggi Pas harus menjadi pemimpin yang ‘gentleman’ bagi mempertahankan kebenaran yang mereka sering laung-laungkan selama ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu katanya, kerjasama yang cuba diwujudkan oeh Umno dengan Pas amat dialu-alukan dan sepatutnya disegerakan.
“Pas dan Umno seharusnya menyatakan pendirian kolaborasi mereka yang sebenar dengan segera. Segera sahkan kepada penyokong Pas dan Umno bahawa mereka sudah ada kesepakatan yang tidak boleh diselindungi lagi.
“Pas mesti berani dan jangan lagi bersembunyi di belakang tabir, nyatakan segera bahawa mereka akan bersama Umno dalam pilihan raya umum akan datang, ” tambahnya lagi.
Katanya, dengan keberanian yang dipamerkan oleh Pas mengenai pendirian mereka, akan memudahkan rakyat khususnya penyokong akar umbi Pas untuk membuat pendirian mengenai sokongan mereka terhadap parti tersebut.
Malaysia Dateline
0 comments:
Post a Comment