Mahfuz Omar rasmi dilantik Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar pagi ini diumumkan secara rasmi perlantikan beliau sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).
Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung AMANAH, Haji Mohd Anuar Tahir dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur.
Menurut Mohd Anuar, Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH yang bermesyuarat pada 1 April lalu telah sebulat suara bersetuju untuk melantik Mahfuz mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden AMANAH yang ke-5.
Kata beliau, menurut Perlembagaan parti, terdapat lima peruntukan untuk jawatan berkenaan dan sebelum ini empat daripadanya telah diisi.
Empat Naib Presiden AMANAH yang lain ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Hasanuddin Mohd Yunus, Dr Hasan Baharom dan Haji Husam Musa.
Dalam majlis pengumuman ini juga Anuar Tahir turut menyerahkan sijil keahlian parti AMANAH kepada Mahfuz.
Mahfuz mengisytiharkan diri menyertai AMANAH pada 15 Mac lalu bersama Dr Rosli Yaakub di bangunan parlimen.
Bercakap kepada media selepas pengumuman tersebut, Mahfuz berkata, biarpun teras berat, beliau terpaksa menerima amanah yang diberikan kepada beliau.
Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk jawatan tersebut dan berjanji akan memberikan khidmat yang terbaik.
Kata Mahfuz lagi, sebelum ini, beliau adalah Ahli Parlimen Pas yang pertama mengalu-alukan penubuhan AMANAH dan beliau juga hadir sewaktu penubuhan Pakatan Harapan (PH) dan mengangkat tangan memberikan persetujuan atas penubuhannya.
Beliau juga berkata, beliau bersama pimpinan yang lain akan berusaha memastikan AMANAH mempunyai masa depan dan menjadi parti pilihan buat umat Islam di Malaysia.
Tambahnya, beliau juga akan turut memastikan semangat dan harapan rakyat negara ini untuk melihat peralihan kuasa berlaku, dapat direalisasikan.
MD.
0 comments:
Post a Comment