Sunday 31 December 2017

[Video Sorotan 'Iimelda Marcos' negara kita? Najib penyamun ke tidak (pemimpin disanjungi pas)?] Rakyat sedang menilai dan memerhati! Krisis ekonomi rakyat & Agihan kekayaan yang tempang di Malaysia.

Isnin, 1 Januari 2018


Related image


Krisis ekonomi rakyat di Malaysia

Krisis ekonomi rakyat di Malaysia

Adakah rakyat biasa dapat merasai perkembangan pesat ekonomi negara ini dan paling penting apakah poket rakyat turut sama merasai pertumbuhan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.


EKONOMI negara Malaysia didakwa sedang berkembang dengan pesat jika diukur dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di mana ia berkembang 5.8% pada suku kedua 2017.
Pelaburan asing juga didakwa masuk berpuluh-puluh bilion setahun menandakan betapa baik dan makmurnya ekonomi Malaysia. Malaysia juga disenarai antara negara yang paling pesat membangun ekonominya di dunia jika dirujuk laporan yang dipaparkan oleh akhbar perdana.
Tetapi persoalannya, adakah perkembangan pesat ekonomi negara ini dirasakan oleh rakyat kebanyakan? Apakah ekonomi poket rakyat turut sama merasai pertumbuhan pesat itu?
Ekonomi rakyat yang dimaksudkan adalah hal ekonomi yang memberikan “direct impact” kepada rakyat seperti harga rumah, persoalan gaji, harga barang keperluan harian, kemampuan menyimpan dan lain-lain. Rencana ini akan menyentuh persoalan ekonomi rakyat yang dilihat berjalan tidak seiringan dengan loncatan ekonomi negara. 
Rumah tak mampu milik
Isu harga rumah di Malaysia merupakan antara isu yang sangat penting untuk dibincangkan. Ini kerana harga rumah di Malaysia sudah mencapai kepada satu tahap yang tidak masuk akal. Sentimen rumah mahal ini bukan sekadar cakap-cakap kosong, tetapi disokong oleh kajian Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk “Making Housing Affordable” dan terbit pada 2015.
Menurut kajian KRI, harga rumah di Malaysia pada 2014 berada dalam kelas “sangat tidak mampu milik” dengan kadar 4.4. Kajian ini dilakukan oleh KRI mengikut kaedah Median Multiple yang mana mengira penengah pendapatan isi rumah selama setahun dan diganda dengan tiga sebagai asas kepada harga rumah mampu milik.
Jika harga rumah berkadaran lebih daripada ganda tiga, maka jatuh kepada kelas tidak mampu milik, dan jika jatuh pada ganda tiga dan ke bawah maka ia akan jatuh dalam kategori mampu milik. Pada 2012, Median Multiple di Malaysia berada pada kadar 4.02, kemudian pada 2014 ia meningkat kepada kadar 4.4. Ini bermakna, harga rumah di Malaysia menjadi semakin tidak mampu milik saban tahun.
Pendapatan penengah isi rumah di Malaysia pada 2014 sekitar RM4,585 sebulan, manakala untuk setahun RM55,020. Harga rumah mampu milik di Malaysia secara idealnya RM55,020 digandakan dengan tiga iaitu bersamaan dengan RM165,060 dan ke bawah.
Tetapi apa yang berlaku, 60% harga rumah di Malaysia pada 2014 ialah RM242,000 dan ke atas (Nilai Median Multiple ialah 4.4). Ini bermakna, harga rumah di Malaysia pada 2014 lebih mahal daripada kemampuan pendapatan rakyat sekurang-kurangnya sebanyak RM77,000.  
Jika diperincikan lagi kajian daripada KRI ini kepada pecahan negeri, kita akan dapati Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur merupakan negeri atau wilayah yang mempunyai kadar Multiple Median yang sangat tinggi iaitu lebih angka 5 dan jatuh di dalam kelas “sangat teruk”.
Di Malaysia, hanya Melaka saja yang jatuh dalam kelas harga rumah mampu milik. Kaedah Median Multiple ini dibangunkan oleh United Nations Centre for Human Settlement (UNCHS) dan World Bank pada 1988 di bawah program Housing Indicators Program.
Antara punca kepada isu harga rumah menjadi tidak mampu milik adalah apabila kerajaan Umno-Barisan Nasional di bawah pimpinan Pak Lah menghapuskan sistem Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) pada 2008 dan diteruskan oleh Najib Razak pada 2009.
Sistem cukai ini diperkenalkan sebelum ini untuk mengekang spekulator hartanah menaikkan harga hartanah secara tidak terkawal. Sejak 1995 hingga ke 2007, CKHT dikenakan 30% pada tahun pertama penjualan semula hartanah.
Apabila CKHT mula dihapuskan pada 2008 dan 2009, kenaikan harga rumah secara mendadak boleh dikesan apabila pada 2009 ke 2014, secara purata kenaikan harga rumah pada 10.1% (CAGR) berbanding sebelum pemansuhan CKHT iaitu hanya 3.1%.
Menyedari hal ini, kerajaan Umno-Barisan Nasional mula kembali memperkenalkan CKHT secara berperingkat bermula dengan 5% pada 2010 sehinggalah kembali kepada asal iaitu 30% pada 2014.
Kadar kenaikan gaji dan kadar inflasi
Menurut Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah yang di keluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) pada Mei 2017, gaji penengah (Median Salary) pekerja di Malaysia pada 2016 adalah RM1,703 meningkat +6.2% berbanding 2015 iaitu RM1,600. Secara kasarnya, separuh pekerja Malaysia pada 2016 mempunyai gaji RM1,703 dan ke bawah iaitu bersamaan lima juta pekerja.
Jika laporan ini diperincikan lagi mengikut negeri, kita akan dapati kenaikan gaji pekerja di Johor pada 2016 hanyalah RM50 saja dan bersamaan dengan +2.6% kenaikan.
Pekerja di Wilayah Persekutuan Labuan pula tidak menerima sebarang kenaikan gaji. Jika nilai inflasi pada 2016 diambil kira (+2.1%), kenaikan gaji pekerja di Johor sebenarnya kurang daripada RM10 (+0.5%).
Lebih malang di Labuan, kenaikan gaji mereka sebenarnya -2.1%. Hal sama pernah berlaku di Kuala Lumpur (KL) pada 2014-2015 apabila kajian daripada JPM menunjukkan pekerja di KL tidak menerima sebarang kenaikan gaji dan jika mengambil kira faktor inflasi, maka kenaikan gaji mereka sebenarnya adalah -2.1%.
Laporan yang dikeluarkan pada November 2017 pula menunjukkan, kadar inflasi di Malaysia sehingga Oktober 2017 berada pada 3.7% dan pada Mac 2017 mencatatkan kadar inflasi tertinggi sepanjang lapan tahun iaitu sebanyak 5.1%. Bank Negara menjangkakan pada 2017 kadar inflasi negara berada pada kadar 3% – 4% dan ini lebih tinggi daripada 2016 iaitu hanya 2.1%.
Kos sara hidup meningkat
Jabatan Perangkaan Malaysia ada mengeluarkan laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 24 November 2017 yang menunjukkan kenaikan harga barang pengguna sebanyak +3.6% dari Oktober 2016 hingga ke Oktober 2017.
Peningkatan paling tinggi kadar IHP adalah dalam sektor pengangkutan iaitu 12.1%. Hampir semua harga barang harian pengguna meningkat seperti daging ayam (dari RM8.28 ke RM8.48 per kilogram), ikan kembung (dari RM12.39 ke RM13.84 per kilogram), sawi (dari RM3.72 ke RM4.46 per kilogram) dan ikan cencaru (dari RM8.82 ke RM9.58 per kilogram).
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh badan kerajaan itu, hanya ada dua sektor saja mengalami penurunan harga, sektor komunikasi dan barangan pakaian dan kasut. Tetapi barangan dalam sektor ini bukanlah menjadi keperluan harian pengguna dan tidak begitu mendatangkan kesan yang signifikan kepada pengguna.  
Menurut laporan akhbar pada 28 Disember, 2017 Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pimpinan SM Mohamed Idris mendapati harga barangan keperluan persekolahan meningkat antara 30% hingga 40% tahun ini, berbanding tahun lalu.
Hasil tinjauan CAP mendapati peningkatan harga kelengkapan lengkap persekolahan bagi murid lelaki pada tahun ini naik sehingga RM180.90 berbanding RM133.90 pada 2016, manakala murid perempuan pula meningkat antara RM174.70 hingga RM189.60 berbanding RM157.60 pada tahun lalu.
Agihan kekayaan yang tempang
Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Strategik KWSP, Balqis Yusoff terdapat 65% daripada 6.7 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 ketika tiba usia persaraan mereka.
Dengan simpanan sebanyak ini, pesara boleh bertahan hanya selama lima tahun sahaja itu pun jika mereka hanya berbelanja RM820 sebulan. Menurut beliau lagi, hanya 22% daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan yang mencukupi iaitu RM196,800 bagi menampung tempoh persaraan mereka pada usia 54 tahun dan ke atas.
Selain simpanan KWSP, indikasi kekayaan sesuatu masyarakat itu boleh dirujuk dengan unit saham yang dimiliki. Menurut kajian pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid, 72% pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai hanya RM536 saja di dalam akaun simpanan.
Ini jauh ditinggalkan dengan golongan teratas 0.2% yang mana mereka mempunyai pelaburan ASB sebanyak RM745,038 di dalam akaun mereka. Ini merupakan jurang perbezaan agihan kekayaan yang sangat ketara di kalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Perbezaan jurang ini jika dirujuk pada Pekali Gini adalah pada kadar 0.838 untuk 2014. Pekali Gini ialah ukuran ketidaksamaan agihan yang digubah oleh ahli statistik dan ahli sosiologi, nilai 0 menyatakan kesamaan jumlah dan nilai 1 ketidaksamaan paling maksimum.
Ketidakmampuan untuk menyimpan kekayaan atau membuat simpanan sebahagian besar rakyat Malaysia berkait rapat dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kadar gaji yang agak mendatar.
Menurut Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), “Savings are a function of income and expenditure. If expenditure rises but incomes do not rise proportionately, then there will be little savings.”
Kenyataan daripada Bank Negara Malaysia pada 2015 membenarkan kenyataan ini apabila melaporkan tiga daripada empat rakyat Malaysia tidak mampu mengadakan RM1,000 ketika waktu kecemasan. Ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia tiada duit dalam simpanan mereka.
Usaha kerajaan
Isu ekonomi rakyat yang dibangkitkan dalam rencana ini bukanlah bermakna tidak ada sebarang usaha daripada pihak kerajaan untuk menanganinya, tetapi persoalan pokok adalah kadar keberkesanan usaha yang dilakukan.
Contohnya, inisiatif menangani isu harga rumah oleh pihak kerajaan dengan memperkenalkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim memaklumkan kepada Dewan Rakyat sejak penubuhan PR1MA pada 2013 sehingga kini, kira-kira 8,475 unit rumah siap dibina.
Daripada jumlah itu, hanya 934 unit rumah PR1MA diserah kepada pemilik, manakala selebihnya masih lagi dalam proses serahan kunci.  Jumlah ini sangat kecil dan mencerminkan kegagalan pelaksanaannya.
Kerajaan juga pernah mencadangkan penubuhan makmal kaji kos sara hidup pada 2013 seperti yang di umumkan Khairy Jamaluddin. Kemudian pada 2015, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengumumkan penubuhan jawatankuasa bagi membincangkan kos sara hidup. 
Pada hujung 2017, kerajaan melalui Hamzah Zainuddin mengumumkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi menangani masalah kos sara hidup. Kita dapat lihat kesungguhan kerajaan Umno-Barisan Nasional hanya sekadar menubuhkan Jawatankuasa. Tidak dapat dipastikan, apakah yang jawatankuasa ini lakukan atau cadangkan. Berkemungkinan, ia berakhir sekadar menjadi cadangan di muka akhbar sahaja.
Krisis ekonomi rakyat
Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah krisis bagi menggambarkan betapa teruk situasi ekonomi rakyat sekarang, tetapi apa yang pasti, jika kerajaan Umno-Barisan Nasional berterusan gagal menguruskan isu ini dengan baik, maka tidak mustahil akan berlaku krisis yang sebenar pada masa hadapan.
Memahami perit pedih ekonomi rakyat kebanyakan bukan dengan menjadikan ratusan manusia yang beratur membeli I-Phone sebagai kayu ukur, tetapi ia harus datang dengan bersandarkan fakta dan angka, bukan sangkaan.
Ingatan sama harus diberikan kepada Pakatan Harapan yang ingin memerintah negara, ini antara isu yang dekat dengan rakyat. Pakatan Harapan harus beralih daripada hanya tahu mengkritik dan membangkang, kepada pakatan yang boleh menawarkan idea, solusi dan alternatif yang lebih baik.
Rakyat sedang menilai dan memerhati. – 31 Disember, 2017.
* Abdul Azim Roslan ialah penolong setiausaha Pemuda Bersatu Bahagian Selayang.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
TMI.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena