Saturday 30 December 2017

[Video Ucapan Pergulungan Tun Dr Mahathir Pengerusi Parti PPBM] Azam baru kerajaan baru 2018.

Ahad, 31 Disember 2017

Image result for Gambar pakatan harapan

Azam baru kerajaan baru

SAYA sering kecewa dengan diri sendiri apabila mengenangkan azam peribadi setiap tahun baru gagal dicapai. Oleh itu, untuk tahun baru ini, biarlah saya simpan azam peribadi di dalam hati sahaja.
Untuk azam umum, saya hanya ada satu impian sahaja. Saya ingin melihat sebuah kerajaan pusat yang baru ditubuhkan dalam pilihanraya umum 2018. Sudah tentu kerajaan baru itu bukan lagi Barisan Nasional yang telah bersama kita sejak lahir sebagai Perikatan lebih 60 tahun lalu.
Apakah sebuah kerajaan baru, mungkin namanya Pakatan Harapan, dapat membawa perubahan besar yang kita nanti-nantikan? Sebuah pentadbiran yan amanah, bersih, cekap, telus, tegas dan saksama? Satu era baru gilang-gemilang untuk Malaysia?
Bagi saya, jawapan yang paling jujur adalah “tidak semestinya”.
Pakatan Harapan menggabungkan parti pembangkang tegar seperti DAP dengan pembangkang baru seperti Bersatu yang rata-ratanya bekas UMNO, bersama PKR dan Amanah yang bercampur-aduk agenda Melayu-Muslim- demokrat. Sukar untuk dibayangkan Dr Mahathir Mohamad selaku pemimpin de facto Harapan dilihat sebagai tokoh reformasi.
Sukar juga dibayangkan DAP yang demokratik separa sekular dapat melaksanakan impian peluang saksama dan keadilan sosialnya apabila dipayungi tiga parti sahabat yang berpegang kepada agenda Melayu, yang kadangkalanya tidak begitu jauh beza dengan UMNO dari segi keutamaan kaum.
Dalam keadaan sebegini, PH sebagai kerajaan baru tidak mungkin membawa reformasi radikal yang diimpikan oleh golongan liberal atau segelintir radikal progresif. Apa pun ini tidak menggemparkan kerana kebanyakan pengundi Malaysia, khususnya Bumiputera, memang berminda konservatif di segi kaum dan agama.
Jadi, jika PH tidak akan membawa perubahan besar, mengapa kerajaan baru menjadi impian saya untuk 2018? Mengapa tidak terima sahaja kerajaan yang ada?
Kerana saya sudah di peringkat usia yang telah melalui pahit-getir politik sejak 1980-an dapat melihat bahawa apa yang diperlukan oleh masyarakat Malaysia sekarang ialah sedikit ruang untuk bernafas, dan tidak selamanya dicengkam pemerintah.
Bagi saya, lebih baik berlaku sedikit perubahan daripada kekal di takok lama yang menyakitkan serta menjangkitkan wabak keruntuhan semangat. Apatah lagi sikap, amalan dan dasar kerajaan yang ada hari ini seolah-olah tidak bermaya untuk bergerak.
Dengan adanya ruang bernafas melalui kerajaan baru – yang menjanjikan reformasi, kebebasan, demokrasi dan hak asasi serta jaminan mendukung Perlembagaan Persekutuan – rakyat boleh mula bersuara tanpa rasa takut. Ia hanya satu detik permulaan.
Namun, ada orang kata, apa guna jika sekadar sedikit sahaja perubahannya. Ada pula yang marah kerana menganggap tiada guna memilih yang kurang buruk berbanding dengan yang betul-betul buruk. Suara-suara ini mahukan perubahan radikal.
Memang mudah membuat pelbagai tuntutan apabila kita tidak memegang sebarang amanah atau mewakili mana-mana wadah yang memerlukan suara majoriti. Apatah lagi jika kita merupakan golongan kelas menengah ke atas yang berdikari dan berkemampuan serta tidak mempunyai apa-apa pergantungan dengan kerajaan.
Bagi kebanyakan kita daripada kelas pekerja, petani dan golongan makan gaji dengan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan, ada yang inginkan perubahan yang tidak radikal. Tetapi timbul satu ketakutan untuk membuat perubahan.
Fitrah manusia terhadap perubahan adalah negatif. Diri mudah selesa dengan apa yang ada, dan dengan itu, sukar untuk membuat perubahan. Seperti sesetengah haiwan yang dikurung terlalu lama dalam sangkar; ia takut apabila bebas di luar sana. Kerana itu kita sukar melakukan perubahan walaupun ia berkemungkinan baik untuk kita.
Tetapi jika kita sedar bahawa perubahan yang mahu dibawakan oleh PH bukan sesuatu yang radikal (yang mungkin menghampakan segelintir manusia berjiwa progresif radikal) ia mungkin lebih mudah diterima golongan majoriti yang tidak bersedia, malah enggan menerima perubahan yang drastik.
Apabila kita berbicara tentang kebebasan, ia bukan soal pornografi. Ia juga bukan soal menghina kaum, agama dan budaya. Entah kenapa ada golongan tertentu yang suka sekali mengaitkan kebebasan dengan kelucahan. Kenapa agaknya?
Yang dimaksudkan kebebasan di sini adalah sekadar menjamin hak kita sebagai warga untuk menyuarakan cadangan dan kritikan terhadap pemerintah dan wakil- wakil mereka tanpa rasa bimbang atau takut.
Malah, ia bukan sekadar bersuara demi hak bersuara. Kita perlu bersuara atas hal- hal yang berlaku di sekeliling kita, sama ada soal harga barang dan perkhidmata naik, GST, kemerosotan nilai Ringgit, peluang pekerjaan dan kreativiti orang muda, hak-hak sah Sabah dan Sarawak, sistem pendidikan yang memerlukan reformasi, hak-hak wanita, pengurusan Felda yang lebih jujur, telus dan mengutamakan peneroka serta waris-waris mereka, dan pelbagai isu lain.
Kerajaan PH yang pastinya bersungguh-sungguh mahu membuktikan ia jauh lebih baik daripada BN sudah tentu mampu melakukan perubahan yang tidak begitu radikal ini dalam masa yang singkat.
Tiada apa pindaan besar dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia hanya mahu memastikan hak setiap rakyat terjamin serta tugas menteri adalah untuk rakyat, bukan untuk diri dan keluarga.
Hanya itu sahaja yang saya harapkan daripada kerajaan baru. Tidak perlu menjanjikan matahari, bulan dan bintang; cukup sekadar melaksanakan reformasi yang telah dijanjikan. Hal-hal yang lebih abstrak boleh dibincangkan bersama rakyat nanti.
Yang penting, rakyat akan mempunyai ruang bicara. Yang penting naratif tidak ditentukan oleh seorang dua manusia yang berada di tampuk kuasa. Yang penting, keperitan selama lebih setengah abad dapat disembuhkan dengan era baru, walaupun tidak segemilang yang dicita-citakan. Semoga hilang gelap timbul terang. – 29 Disember, 2017.
* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

TMI.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena