Tiada perancangan, Pas Kelantan digelar 'kerajaan melancong'
| ARIF ATAN
Kerajaan Pas Kelantan didakwa tidak mempunyai perancangan dalam memajukan bidang pelancongan dengan memanfaatkan kekayaan alam semula jadi dan warisan budaya di negeri itu.
Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri lebih tertumpu kepada sektor perlombongan dan pembalakan yang bersifat tidak mampan.
"Aset pelancongan kita di Kelantan terlalu banyak berbanding sumber lombong dan balak yang tidak boleh diteruskan secara berpanjangan.
"Sungai kita dari hulu sampai ke kuala dan segala cabangnya, pulau, tinggalan sejarah, warisan budaya, kedudukan strategik kita semuanya aset pelancongan yang dibazirkan kerajaan Pas Kelantan hari ini," bidasnya.
Menurutnya, hal tersebut terjadi akibat Exco Pelancongan tidak fokus sebaliknya lebih banyak melancong ke luar negara.
"Exco Pelancongan dulu Datuk Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas). Saya minta maaf. Saya kena buat satu penilaian. Anda sendiri boleh buat penilaian.
"Apa yang dibuat oleh Datuk Taki sebagai Exco Pelancongan? Apakah yang dibuat oleh Datuk Mejar Anizam sekarang sebagai Exco Pelancongan?
"Bolehkah kerajaan Kelantan bentangkan apakah perancangan lima tahun akan datang? Jawabnya, tidak ada. Yang ada adalah kerajaan melancong," tempelaknya pada program Dialog Isu Semasa Perantau Bersama Pakatan Harapan di Kota Bharu kelmarin.
Untuk rekod, Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan pada masa ini dipengerusikan Datuk Mejar (B) Mohd Anizam bin Abdul Rahman.
Husam yang juga Naib Presiden Amanah turut mendakwa pemimpin kerajaan negeri Kelantan memiliki ejen pelancongan dan pada masa sama kerap melancong ke luar negara bukannya merangka usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.
"Semua pesanan untuk melancong melalui ejen pelancongan yang dimiliki oleh pemimpin kerajaan negeri Kelantan. Pergi ke Sepanyol lebih 30 orang. Balik dari Sepanyol, pergi ke China.
"Sampai hari ini, soalan saya mengenai jadual pelancongan kerajaan negeri kelantan ke luar negara tidak boleh dijawab. Kita ini melancong lebih daripada membawa pelancong," ujarnya.
Sehubungan itu, Husam berhasrat untuk Amanah Kelantan membentangkan Pelan Pembangunan Pelancongan Negeri Kelantan yang berpatutan, mampan tetapi menarik.
Mengulas lanjut, beliau menceritakan pengalaman negara seperti China dan Vietnam membangunkan sektor pelancongan yang pada masa sama menyumbang kepada pertambahan pendapatan masyarakat setempat.
"Di China, mereka buat pelancongan yang mudah. Ada satu orang anak kampung dengan latar kampungnya gunung dan sungai terfikir untuk buat satu pentas terapung atas sungai.
"Letak unsur pencahayaan dan bunyi. Speaker yang baik, cahaya lampu yang cantik. Sinar yang mengenai pentas terapung itu bila orang buat persembahan macam lari atas air.
"Sebelum itu, kerja orang kampung hanya sebagai nelayan sungai. Pendapatan rendah, pelancong tidak datang. Akhirnya, bila ada pentas terapung itu, setiap malam 300 nelayan ada kerja sampingan buat persembahan budaya.
"Kita ada dikir barat, wayang kulit, mak yong, menora yang telah kita Islamkan. Ramai artis kita boleh mainkan peranan. Di mana? Pulau Gagak, Pulau Pok Nik Mat, Pulau Seratus. Kawasan MB (Menteri Besar) saja ada banyak pulau tapi tidak dimanfaatkan.
"Kita ada terowong nipah yang besar lebih cantik di Tumpat. Sangat cantik dengan airnya jernih tapi tiada siapa bangunkan. Kalau Amanah memerintah, benda-benda ini kita bangunkan dahulu," tambah Husam lagi.
0 comments:
Post a Comment