Saturday 15 July 2017

[Video HARAPAN Komited Tumbangkan Kerajaan BN Yang Rasuah & Melawan Fahaman 'Celaka'!] Tentang Mahathir dan anak panah Arjuna di logo HARAPAN.

Ahad, 16 Julai 2017

Tentang Mahathir dan anak panah Arjuna di logo HARAPAN


Semalam saya berjabat tangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk kali ke berapa saya tidak ingat. Saya cium tangan tuanya dan ucap terima kasih.
Jam sudah menunjukkan lewat 12.30 tengah malam. Sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan baru sahaja selesai. Baru mencecah usia 92 tahun, beliau pasti sahaja keletihan; duduk bermesyuarat sejak jam 8.50 malam.
Sisi gelap saya tiba-tiba berbisik jahat. “Hang tak rasa jijik ka salam cium tangan orang tua tu?”
Lama juga saya duduk termangu dalam kereta sebelum beransur pulang. Memikirkan hal itu – bagaimana Mahathir yang dahulunya saya benci, kini menjadi orang yang saya hormati.
Ketika perhimpunan Bersih 4 berlangsung di Dataran Merdeka, saya bertugas menyelia media. Maka saya tidak turun ke lapangan. Sekonyong-konyong tiba lah berita bahawa Mahathir sudah mencemar duli, dan mahu berucap kepada para demonstran.
Darah saya menyirap. Mana mungkin punca segala gila ini diberi peluang naik ke pentas dan mencuri tumpuan daripada tuntutan Bersih yang tidak disokongnya. Jangan benarkan dia berucap, tegas saya.
Keesokannya Mahathir datang lagi, mengulang mesej serupa. Hadir tidak kerana menyokong tuntutan Bersih, tetapi untuk bersama orang ramai yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilengser. Tersudut dan tidak diberi ruang oleh para aktivis, Mahathir sekadar bikin sidang media.
Mana pula kita menyangka Mahathir akan duduk semeja dengan bekas-bekas banduan di bawah tahanan ISA yang dikurungnya, menandatangani Deklarasi Rakyat. Macam orang bodoh juga saya ke acara itu. Dengan panas berkuap, ruang dipenuhi wartawan; saya hanya mendengar suaranya sahaja menuturkan tuntutan reformasi institusi.
Saya ketawa berdekah. Dunia sudah terbalik. Mahathir sudah jadi pembangkang. Dan dengan bertukarnya Mahathir menjadi pembangkang, maka bermulalah dekonstruksi segala yang telah terbina dengan dua tangan yang baru saya salam itu. Tidak kiralah yang buruk mahu pun yang baik.
Kemuncak dekonstruksi ini saya rasakan bermula dengan perhimpunan Bersih 5, ketika Mahathir dikhabarkan tidak akan hadir kerana berada di luar negara. Mahathir ternyata muncul, turun dari pesawat siap dengan kemeja-t Bersih 5 dan memberi ucaptama ketika finale perhimpunan tersebut di perkarangan KLCC; bangunan ikonik yang direkanya sendiri.
Itu kemudiannya disusuli penubuhan parti cap bunga raya bagi gerombolan yang meninggalkan UMNO, dan kemudian diikuti aksi-aksi bersama pimpinan Pakatan Harapan, menafikan fitnah-fitnah lampau dan berkemuncak dengan gambar bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah.
Mahathir ternyata melalui jalan panjang untuk membasuh karat dosa-dosa lalu. Entah berapa baldi ludahnya sepanjang puluhan tahun terhadap parti-parti pembangkang telah ditogoknya semula. Berapa berat pula ego yang perlu dibuangnya untuk duduk sebaris bersama musuh-musuh lama yang pernah disumbat ke penjara.
Pada usia 92 tahun, Mahathir telah menyaksikan negara ini dibangun dari puing dan debu sehingga menjadi apa yang kita saksikan hari ini. Dua puluh tahun menjadi kepala negara, Mahathir kini sedang merungkai sendiri simpul mati yang diikatnya sendiri dengan tangan tua itu.
Semua ini saya kira adalah ritual istighasah bagi seorang Mahathir, untuk membersihkan dosa dan kesilapan lampau sebelum mewariskan negara kepada anak cucu cicit yang bakal menyusul.
Tangannya yang membina, tangan itu jugalah yang meruntuh. Tangan itulah juga barangkali yang akan melayangkan panah Arjuna tepat ke dada para kleptokrat yang sedang tenggelam dalam kemabukan kuasa di Putrajaya.
Apa kena mengena panah Arjuna dan Mahathir?
Dalam hikayat Mahabharata, ketika perang Bharatayuddha, Arjuna, salah seorang Pandawa Lima menggunakan senjata busur dan anak panah Rudra.
Peperangan masuk hari ketujuh belas, dan Arjuna terlibat dalam pertempuran sengit melawan Karna, panglima pihak Korawa.
Sedang saling menyerang, ditakdirkan kereta kuda Karna telah terperosok ke dalam sebuah lubang. Karna kemudian terpaksa turun dari pedatinya itu bagi mengangkatnya keluar dari lubang tersebut.
Arjuna, mematuhi peraturan pertarungan menghentikan bedilannya, sementara Karna selesai membebaskan pedatinya yang tersangkut. Pada ketika itu, Krishna yang menjadi ‘kusir’ pedati perang Arjuna mengingatkan si Pandawa itu tentang kematian tragis anaknya, Abimanyu yang terkorban pada hari ketigabelas.
Abimanyu terbunuh dalam keadaan tidak bersenjata dan tanpa kenderaan. Kepalanya dihentak hancur berkecai setelah kuda dan kusirnya dibunuh, dan perisainya habis luluh.
Berhadapan pergolakan antara emosi dan pertimbangan akal, Arjuna melepaskan anak panahnya tepat ke tenggorok Karna, lalu memenggal kepalanya.
Pakatan Harapan semalam menampilkan lambangnya yang baru dipersetujui setelah cadangan terdahulu ditolak mentah-mentah kerana buruk yang amat. Lambang yang baru ini meletakkan suatu bentuk seperti anak panah di tengah-tengah kata HARAPAN, menggantikan huruf A.
Meski disebut orang sebagai simbol illuminati, bukit, Star Trek, ciplak logo Parti Demokrat Singapura dan sebagainya, saya melihat simbol di tengah-tengah itu sebagai sebilah anak panah.
Seakan-akan kena dengan seloka yang ditulis arwah Adlan Benan Omar pada tahun 1992:
Ku layangkan panah ke udara
Hilangnya jatuh entah ke mana
Nun jauh di kebun getah
Bila ku ambil tak jua patah
Memang canggung sebenarnya melihat semua ini. Seloka orang Anwar, bagai perekat mencantum kembali carik-carik bulu ayam sejak hampir dua puluh tahun lampau. Akhirnya biduk lalu, kiambang bertaut. Anwar dan Mahathir kembali bersama di baris depan pertempuran Kurukshetra, menentang saudara lama yang kini gelong mabuk kuasa.
‘United Front’ parti-parti pembangkang dengan panji-panji merah berhias anak panah, berdepan gabungan Barisan Nasional. Tiada yang lebih ‘epic’ dari ini dalam sejarah pertempuran politik di Malaysia. Cuma tidaklah ‘epic’ macam Mahabharata.
Semalam, saya melihat Tun perlahan-lahan mengatur tapak menuju keretanya dengan nombor pendaftaran W2020M. Beliau sebelum itu memandang sekeliling ke arah ramainya orang yang baru turun dari Ibu Pejabat PKR itu.
Saya merenung matanya agak lama. Sedikit sayu barangkali, melihat mata tuanya yang berkaca. Mata yang sama telah melihat legasi pemerintahan lampau dicemari anak didik sendiri yang kini harus diperangi habis-habisan. Sepasang mata itu semalam kelihatan cuba merakam sejarah yang tidak pernah beliau sendiri impikan.
Sejarah di mana seorang Mahathir memihak kepada pembangkang, mengatur gerak menuju pilihanraya; untuk menewaskan parti yang dibinanya sendiri dengan tangan tua yang saya ciumi itu.
Tiada yang jijik tentang mencium tangan Mahathir. Generasi saya dan yang seterusnya lahir di zaman Mahathir diangkat sebagai sang dewata raya yang penuh berjasa kepada bangsa dan negara. Meski tangannya itu terpalit nista Reformasi 1998; saya kira tindakannya sepanjang waktu ini sudah lebih dari cukup untuk membasuh segala cela dan daki.
Tidaklah saya mengatakan bahawa tangan Mahathir itu suci murni.
Tetapi jika ada yang masih mendesak orang tua itu untuk melutut memohon maaf setelah segala yang dia lakukan setakat ini; saya kira itu melebih-lebih dan suatu kekejaman.
Tangan itu sekarang sedang menggamit kita semua untuk menyelamatkan negara. Kalau hanya kerana itu tangan Mahathir maka kita berpaling; maka kita lah yang sebenarnya jijik dan celaka. – Roketkini.com

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena