Campurtangan asing: Kenapa kerajaan tidak putus sahaja hubungan dengan Amerika?
KUALA LUMPUR, 7 JUL: Jika benar tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) itu merupakan campur tangan asing yang menggugat keharmonian dan kestabilan negara, kerajaan Malaysia wajar memutuskan hubungan dengan Amerika.
Namun sebaliknya, perkara tersebut katanya tidak berlaku malah kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga kuat mencemuh tindakan DOJ kelihatan gembira meraikan ulangtahun kemerdekaan ke-241 Amerika Syarikat di majlis anjuran Kedutaan Amerika di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur.
Demikian kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menempelak kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang dilaporkan berkata tindakan DOJ tersebut memalukan kerana bertindak berdasarkan maklumat yang tidak tepat.
“Sekiranya Amerika begitu jahat, Aziz sepatutnya mendesak presiden partinya yang kebetulan juga Perdana Menteri, untuk menghentikan operasi kedutaan Amerika di Malaysia dalam rangka menghentikan usaha-usaha jahat negara itu bagi menghancurkan keharmonian dan kestabilan negara.
“Kenapa Aziz tak ikut sekali (ke majlis itu) dan nyatakan tuduhannya terhadap DOJ dan kerajaan Amerika?” soalnya lagi.
Menurutnya lagi, jika tindakan DOJ itu berdasarkan maklumat yang tidak tepat, bagaimana mungkin empat pegawai bank Singapura telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara kerana terlibat dalam skandal tersebut
“Sekurang-kurangnya empat orang pegawai bank telah disabitkan kesalahan dan dipenjara di Singapura kerana terlibat dalam skandal 1MDB; manakala siasatan sedang berjalan di sekurang-kurangnya empat negara: Singapura, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat terhadap jenayah pengubahan wang haram yang terkait 1MDB.
“Adakah Aziz ini sedang cuba menyatakan bahawa keempat-empat pegawai bank tersebut tidak bersalah dan telah dihukum secara tidak adil oleh mahkamah Singapura berdasarkan keterangan dan bukti-bukti palsu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau secara sinis mempersoalkan kenyataan Aziz yang seolah-olah menggambarkan empat negara tersebut bertindak ‘bodoh’ kerana telah menghabiskan banyak masa, tenaga dan wang menyiasat apa yang dipercayainya sebagai ‘maklumat palsu’ 1MDB. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment