Umno heret agamawan untuk pertahan salah laku 1MDB
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata golongan agamawan dijadikan perisai untuk mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak dalam isu melibatkan 1MDB semasa ceramah di Kepala Batas, Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar The Malaysia Insight oleh Zainal Abdul Halim, 7 Julai, 2017.
DEMI mempertahankan jenayah rompak yang dilakukan Perdana Menteri Najib Razak, Umno sanggup mengheret para agamawan bagi melindungi salah laku skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
Saifuddin dalam ceramah "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi, membentangkan isu 1MDB kepada penduduk kampung di situ.
Beliau menjelaskan bagaimana Umno bertindak mengheret agamawan untuk melindungi mereka dengan membuat kenyataan dakwaan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat merupakan campur tangan kuasa asing.
"Umno terpaksa heret mufti untuk mempertahankan rompakan dan jenayah terbesar pada abad ini, yang dilakukan Najib dan Rosmah (Mansor).
"Sangat jelas. Mereka jadi perisai untuk mempertahankan Najib," katanya sambil menunjukkan gambar Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Mufti Pahang Abdul Rahman Osman dalam pembentangannya di atas pentas kepada lebih 200 hadirin.
Hadi sebelum ini membuat kenyataan tidak bersetuju dengan campur tangan asing seperti DoJ yang dianggap bertujuan menjatuhkan Najib.
Manakala awal tahun ini Abdul Rahman membidas kenyataan bekas perdana menteri yang juga pengkritik tegar Najib, Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa jemaah menunaikan ibadat haji dengan menggunakan duit 1MDB, tidak akan mendapat haji mabrur.
Bagaimanapun, Abdul Rahman mempertahankannya dengan berkata, jika ada pihak memberi wang untuk menunaikan haji, ia menjadi hak mutlaknya dan tidak wajar dipersoalkan sumbernya.
"Kita nak rampas balik berlian daripada Rosmah tapi dia (Hadi) ini cakap ia merupakan satu campur tangan asing," kata Saifuddin sambil menunjukkan gambar Hadi.
Tambahnya, agama Islam diajar untuk menentang kemungkaran, dan apabila duit rakyat dirompak dan dibelanjakan di luar negara untuk membeli barang kemas, ia merupakan satu kemungkaran.
"Kita tengok pemimpin kanan Umno seperti Shahrizat (Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil) dan Khairy (Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin) tidak berkata apa-apa tentang dakwaan DoJ terkini.
"Yang menjawab hanya (Abdul) Rahman Dahlan dan Salleh (Said) Keruak," katanya.
Saman DOJ terbaru menyatakan bagaimana Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, membeli rantai leher berlian merah jambu 22 karat bernilai RM117 juta menggunakan wang daripada 1MDB untuk isteri "Malaysian Official No. 1” (MO1).
MO1 sebelum ini dikenal pasti sebagai Najib Razak oleh Abdul Rahman yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
DoJ memohon menyita, antara lain, kapal layar Equanimity milik Jho Low, bernilai AS$165 juta dan hak filem "Dumb and Dumber To" dihasilkan Red Granite, sebuah syarikat penerbitan dimiliki bersama Riza Aziz, anak tiri Najib.
Susulan saman itu, beberapa personaliti terkenal yang dinamakan dalam tuntutan itu – didakwa menerima hadiah dibeli hasil penyelewengan daripada syarikat pelaburan negara berkenaan, memulangkan semula hadiah kepada DoJ. – 7 Julai, 2017.
The Malaysia Insight
0 comments:
Post a Comment